Sekiranya anda meminati geografi, anda pasti pernah mendengar tentang istilah 'negara mikro' atau 'micronation.'
Negara mikro adalah negara-negara kecil yang terhasil melalui bermacam jenis cara dan sebab, bergantung kepada sejarahnya. Namun, bukan semua negara mikro diiktiraf dengan kewujudannya dianggap tidak sah malahan ada yang dilabelkan melanggar peraturan undang-undang antarabangsa.
Sealand adalah salah sebuah negara mikro yang layak dikategorikan dalam jenis tersebut. Sebuah 'negara' kecil yang terletak di tengah lautan, Sealand mempunyai sejarah panjang yang sangat menarik untuk sebuah negara sekecil itu.
Sejarah awal Sealand
Sealand pada awalnya adalah sebuah pengkalan tentera laut British yang dibina pada tahun 1943, dengan nama Fort Rough. Fort Rough dibina khas untuk mengekang serangan dan ancaman kapal-kapal Nazi di sekitar kawasan tersebut. Pengkalan itu digunakan semasa perang dunia kedua sehinggalah ditinggalkan pada tahun 1956.
Kedudukan Fort Rough agak strategik, berada 6 km daripada garis sempadan milik kerajaan United Kingdom seterusnya meletakkan Fort Rough berada dalam perairan antarabangsa namun lebih 11 tahun Fort Rough dibiarkan begitu saja tanpa penunggu.
Bagaimanapun semua itu berubah sekitar tahun 1967. Oleh kerana statusnya berada di luar taklukan mana-mana negara, Fort Rough menjadi rebutan beberapa individu yang mahu menjadikan lokasinya sebagai pusat operasi stesen radio bebas. Seorang individu bernama Jack Moore menjadikan Fort Rough pusat operasi Wonderful Radio London kerana tidak mahu dibelenggu undang-undang kawalan radio yang baru diperkenalkan.
Wonderful Radio London tidak dapat beroperasi lama sebelum Fort Rough diserang oleh Mejar Roy Bates, seorang tentera pencen bersama rakan serta anaknya yang mahu mengambil alih Fort Rough untuk tujuan sama. Invasi mereka berjaya dan Fort Rough mula menjadi lokasi operasi milik Roy, dengan 'Radio Essex' mahu memulakan siarannya.
Rancangan Roy tergendala selepas kerajaan Britain sekali lagi mengeluarkan larangan siaran daripada lokasi marin oleh warga British walaupun yang beroperasi dari perairan antarabangsa. Menukar rancangannya dan atas nasihat peguamnya, Roy mengumumkan penubuhan negara bebas Sealand di Fort Rough - satu langkah yang sebenarnya tidak melanggar sebarang undang-undang yang ada.
Kedudukan Fort Rough di atas perairan antarabangsa serta menjadi struktur yang telah lama ditinggalkan, melayakkan Sealand ditubuhkan secara rasmi.
Menentang pemberontakan di negara sendiri
Bagi membuktikan kewujudan Sealand, Roy mula berusaha menulis perlembagaan negara tersebut, mereka bentuk bendera negara, mencipta lagu kebangsaan, matawang, setem serta passport pada tahun 1975. Berkat usaha Roy, Sealand akhirnya berjaya ditubuhkan secara rasmi walaupun banyak pihak menganggap kewujudannya tidak sah.
Walau demikian, kedudukan Sealand yang strategik menjadikannya rebutan ramai. Pada tahun 1978, sekumpulan peniaga daripada Belanda dan Jerman bertemu dengan Roy di Austria bagi membincangkan berkenaan urusniaga berlian. Roy dan isterinya tiba di Austria namun mendapati mesyuarat yang dijanjikan tidak benar-benar wujud.
Rupa-rupanya itu hanyalah helah untuk sebuah pasukan yang diketuai oleh Alexander Achenbach dengan askar-askar upahan mahu mengambil alih Sealand. Sealand yang dijaga oleh anak Roy, Putera Michael berjaya ditawan dengan mudah atas kesilapan Michael membenarkan helikopter yang membawa pemberontak mendarat. Michael dikurung selama beberapa hari sebelum Roy kembali dengan pasukannya, mengambil alih semula negaranya serta menyelamatkan anaknya.
Status Alexander sebagai salah seorang pemegang passport Sealand meletakkan dirinya sebagai pemberontak. Alexander didakwa cuba menggulingkan kerajaan Sealand yang sah dan dipenjarakan selagi dia belum membayar wang denda sebanyak RM145,000. Alexander yang turut sama memegang kewarganegaraan Jerman mendapat bantuan kerajaannya yang cuba berunding dengan pemerintah Sealand, untuk tujuan pembebasan tahanan perang.
Walaupun dibebaskan, Alexander menubuhkan Sealand Rebel Government dan menamakan tuntutannya sebagai pemilik sah Sealand sehinggalah dia meninggal dunia.
Sealand kini
Berikutan kawasannya yang kecil dan sangat terhad, tidak banyak yang boleh dibuat oleh Sealand untuk menjana ekonomi mereka. Kegiatan ekonomi Sealand tertumpu kepada penjualan passport, dengan anggaran 150,000 orang pemegang keseluruhannya sebelum Roy membatalkan kesemua passport yang telah dikeluarkan pada tahun 1997.
Sealand juga menjual darjat kebesaran kepada mereka yang mahu, dengan bayaran RM180 anda layak bergelar Lord atau Lady of Sealand. Jika mahukan pangkat lebih tinggi, dengan bayaran RM1200, anda akan bergelar Count of Sealand.
Banyak tawaran diterima oleh pihak-pihak yang mahukan Sealand, kerana lokasinya yang bebas daripada tekanan undang-undang termasuklah kumpulan cetak rompak terkenal dunia The Pirate Bay yang menawarkan untuk membeli Sealand, bagi membolehkan operasi mereka diteruskan di situ.
Berikutan kawasannya yang kecil dan sangat terhad, tidak banyak yang boleh dibuat oleh Sealand untuk menjana ekonomi mereka. Kegiatan ekonomi Sealand tertumpu kepada penjualan passport, dengan anggaran 150,000 orang pemegang keseluruhannya sebelum Roy membatalkan kesemua passport yang telah dikeluarkan pada tahun 1997.
Sealand juga menjual darjat kebesaran kepada mereka yang mahu, dengan bayaran RM180 anda layak bergelar Lord atau Lady of Sealand. Jika mahukan pangkat lebih tinggi, dengan bayaran RM1200, anda akan bergelar Count of Sealand.
Banyak tawaran diterima oleh pihak-pihak yang mahukan Sealand, kerana lokasinya yang bebas daripada tekanan undang-undang termasuklah kumpulan cetak rompak terkenal dunia The Pirate Bay yang menawarkan untuk membeli Sealand, bagi membolehkan operasi mereka diteruskan di situ.
Sumber : iluminasi
No comments:
Post a Comment