Dukung sambil berjalan mundar-mandir adalah salah satu cara menenangkan anak menangis yang sangat popular di kalangan ibu bapa. Biasanya, kita tidak sempat tanya mengapa ini berlaku dan akan ikut saja seperti ibu bapa lain.
Tetapi kini sains boleh memberi penjelasan kepada kita, sebab mengapa cara menenangkan anak menangis ini amat berkesan.
Cara menenangkan anak menangis setiap masa
Kalau ibu bapa perasan, bayi anda akan menjadi lebih tenang ketika didukung oleh ibu bapa yang sedang berdiri. Pelik, bukan? Apakah yang menyebabkan bayi-bayi ini berhenti menangis?
Menurut pakar, semua ini disebabkan oleh evolusi.
Hasil kajian menunjukkan apabila bayi berhenti menangis ketika didukung oleh ibu bapa yang berdiri, ini adalah tindak balas semula jadi yang berpunca dari masa zaman purba lagi.
Kehidupan manusia pada masa itu tidaklah senang seperti kita hari ini. Selain memburu untuk mendapatkan makanan, ibu bapa seringkali perlu menyelamatkan diri dan anak dari pemangsa.
Oleh itu, seorang bayi akan berhenti menanggis disebabkan naluri ingin hidup, agar tidak mengganggu ibu bapanya yang sedang melarikan diri dari bahaya.
Inilah hasil kajian yang telah diterbitkan di dalam Jurnal Biologi Semasa setelah penyelidik memerhatikan bagaimana ibu manusia dan ibu tikus menenangkan bayi yang baru lahir.
Menurut penulis kajian itu,
“Tindak balas bayi menjadi tenang apabila didukung oleh ibu adalah penyelarasan kawalan pusat, motor dan fungsi jantung pada masa yang sama.
Bayi di bawah 6 bulan akan mengalami penurunan kadar jantung, berhenti menangis dan tidak melakukan apa-apa apabila didukung oleh ibu yang berjalan.
Tindak balas ini mampu meninggikan peluang kehidupan ibu dan anak, jika berlakunya kecemasan.”
Eksperimen untuk mengkaji cara menenangkan anak menangis
Sebanyak 12 bayi sihat telah dipasangkan alat ECGs untuk mengkaji tindak balas bayi dalam situasi yang berlainan, contohnya dibiar baring atas katil, didudukkan di atas paha ibu ataupun berdiri sambil bawa anak berjalan-jalan selama 30 saat.
Mereka mendapati bayi-bayi ini paling tenang apabila ibu bawa mereka berjalan-jalan. Ia jauh berbeza dari apabila ibu-ibu sedang duduk, ataupun apabila dibiarkan di dalam kot bayi.
Mereka pasti merengek dan menangis. Tetapi setiap kali ibu berdiri dan bawa anak berjalan-jalan, kadar denyut jantung anak terus berubah menjadi lebih tenang.
Cuba lihat sendiri video di bawah ini:
Para saintis mendapati kelakuan yang sama apabila mengkaji keluarga tikus juga. Tikus bayi akan menjadi lebih tenang apabila dibawa oleh tikus ibu pada bahagian leher.
Cara menenangkan anak menangis: Tip untuk ibu bapa
Sebenarnya tujuan kajian ini ialah untuk memberi kesedaran kepada ibu bapa dan kepada mereka yang menjaga bayi-bayi kecil. Jangan salah anggap cara menenangkan anak menangis ini kerana bayi anda terlalu manja dan perlu didukung selalu.
Ini cuma fisiologi bayi secara semula jadi. Apabila ibu bapa faham fisiologi seorang bayi, ini akan mengubah cara mereka menghadapi masalah bayi yang selalu menangis.
Sekurang-kurangnya ibu bapa akan lebih bersabar dan tenangkan diri dahulu sebelum cuba menenangkan si kecil mereka.
Biarpun ia bukan penemuan yang besar, kesedaran ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan risiko berlakunya ibu bapa hilang kawalan sehingga mendera anak sendiri.
Anak yang masih kecil tidak pandai menyatakan perasaan mereka dan hanya tahu menangis sahaja. Sebagai ibu bapa kita perlu banyak bersabar.
Jangan cepat hilang kesabaran kerana mereka tidak kecil selama-lamanya. Biar apapun cabaran hidup yang perlu dialami, jangan sehingga menganiayai insan yang tidak berdosa.
Sumber : https://my.theasianparent.com
No comments:
Post a Comment