Kementerian Kesihatan Rancang Tubuh 'Creche' di Hospital - Bonda

Wednesday, 11 July 2018

Kementerian Kesihatan Rancang Tubuh 'Creche' di Hospital


PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan merancang menubuhkan pusat penjagaan khusus untuk bayi atau 'creche' di semua hospital dan agensi di bawah kementerian itu selewat-lewatnya awal tahun depan.

Menterinya Dr Dzulkefly Ahmad berkata, perancangan penubuhan creche bagi menjaga bayi berusia enam bulan ke bawah itu kini dalam perincian sebelum dibentangkan pada mesyuarat jemaah menteri yang akan datang.

"Pada mesyuarat itu kita akan bincangkan perkara berkaitan infrastruktur, kewangan dan kos berkaitan supaya cadangan itu dapat dipercepatkan iaitu kalau boleh sebelum akhir tahun ini.

"Pusat penjagaan ini khusus untuk bayi sahaja... bukan taman asuhan kanak-kanak (Taska)," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Hospital Putrajaya, di sini pada Jumaat.

Katanya selepas mengambil kira tragedi menyayat hati yang menimpa Adam Rayqal Mohd Sufi Naef, bayi berusia lima bulan yang ditemui mati di rumah pengasuhnya baru-baru ini, kementerian berharap penubuhan creche dipercepatkan.

BACA: Adam Rayqal alami pendarahan dalaman di otak, retak tempurung kepala - Polis

Selain itu katanya creche tersebut juga dicadangkan beroperasi 24 jam bagi memenuhi keperluan kebanyakan penjawat awam di hospital dan agensi di bawahnya yang bekerja secara syif.

Beliau berkata pihaknya akan menjadikan creche di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, Pahang yang beroperasi 24 jam sebagai modul kepada penubuhan pusat jagaan itu di lain-lain hospital.

Selain HTAA, terdapat 35 daripada 144 institusi kesihatan telah mempunyai creche dan taska di jabatan dan agensi masing-masing setakat ini.

Dzulkefly turut menyambut baik hasrat Kementerian Wanita dan Pembangunan Keluarga yang menyasarkan untuk menubuhkan pusat jagaan kanak-kanak di semua agensi di bawah kementerian itu menjelang awal tahun depan.

"Tanpa ada perbincangan khusus, kami kini berada di landasan sama dalam mendepani keperluan menubuhkan pusat jagaan bagi membantu ibu bapa yang bekerja di kementerian masing-masing," katanya.

Dalam peristiwa tragis Rabu lepas, Adam Rayqal yang sebelum itu dilaporkan hilang selepas didakwa diambil oleh seorang lelaki tidak dikenali di rumah pengasuhnya di Batu Caves ditemui mati di dalam bahagian sejuk beku peti ais dua pintu di rumah pengasuh berkenaan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment