Mayat Bayi Perempuan Dalam Parit - Bonda

Wednesday 11 July 2018

Mayat Bayi Perempuan Dalam Parit

ANGGOTA polis forensik membawa mayat bayi perempuan yang ditemui di Kampung Atas Pengget, Kota Bharu. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

MAYAT bayi perempuan dipercayai baru lahir ditemui di dalam parit di Kampung Atas Pengget, Kota Bharu, hari ini.

Difahamkan, mayat bayi masih bertali pusat itu ditemui mekanik Mat Jusoh Awang, 54, ketika mahu masuk ke tandas yang terletak di belakang rumahnya.

Mat Jusoh berkata, dia pulang ke rumah pada jam 1 tengah hari untuk memberi makan biri-biri peliharaannya.

Menurutnya, ketika ingin masuk ke tandas, dia melihat objek seakan-akan anak patung di dalam parit itu.

“Sebaik ingin memijak kaki di tangga tandas, mata saya terpandang satu objek di dalam parit dan menyangkakan ia anak patung.

“Saya melihat objek itu mempunyai tali pusat dan rupa-rupanya ia adalah bayi perempuan yang sudah mati.

“Saya juga ternampak uri dipercayai milik bayi itu beberapa meter dari mayatnya,” katanya ketika ditemui di lokasi.

Menurutnya, terdapat juga kesan darah di bahagian bibir bayi terbabit.

Katanya, dia memaklumkan perkara itu kepada penduduk kampung dan membuat laporan di Balai Polis Nilam Puri.

“Saya tinggal bersama isteri di rumah ini dan ketika penemuan bayi itu tadi, isteri tiada di rumah kerana bekerja, malah tiada kelibat individu yang melalui kawasan rumah sebelum ini.

“Saya masih terkejut dan menggeletar kerana belum pernah lagi mengalami situasi seperti ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan mayat bayi perempuan terbabit.

Sumber : Harian Metro

No comments:

Post a Comment