Qobin Beri Motivasi Percuma Untuk Universiti, Sekolah - Bonda

Thursday 19 July 2018

Qobin Beri Motivasi Percuma Untuk Universiti, Sekolah


KUALA LUMPUR: Penjelajah Grand Slam pertama negara, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin menawarkan program motivasi percuma untuk seluruh universiti dan sekolah sebagai sebahagian daripada sumbangan beliau kepada anak bangsa.

Muhamad Muqharabbin atau Qobin berkata, beliau ingin rakyat Malaysia, khususnya pelajar memperkasa jatidiri dan keberanian untuk menabur jasa bukan hanya dalam negara, bahkan di luar negara.

"Bagi saya, anak muda perlu dilatih berani dan didedahkan dengan aktiviti dan pencapaian luar biasa agar dapat menjadi antara manusia terbaik di dunia.

"Jangan tanamkan sifat berjaya alah kadar, sebaliknya perlu menempa nama di persada antarabangsa agar nama Malaysia tercatat dan harum di mata dunia," katanya kepada NSTP, di sini, hari ini.

Qobin yang dikenali sebagai ikon sukan lasak berkata, beliau sehingga kini sering menyampaikan ceramah motivasi atas jemputan syarikat korporat, badan kerajaan dan universiti.

Katanya, pengisian ceramahnya lebih tertumpu kepada beberapa siri penjelajahannya selama 14 tahun selepas berjaya menawan puncak Everest pada 2004.

"Dalam setiap ceramah, saya sering menyampaikan kisah hidup saya sebagai anak setinggan. Tiada siapa menyangka, saya yang dahulunya penghuni di kawasan setinggan Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur kini mampu bergelar penjelajah Grand Slam pertama Malaysia.

"Selain membentuk peribadi muslim yang baik, saya juga sentiasa berkongsi cerita jatuh bangun dalam perniagaan agar kita terus cekal berdepan cabaran.

"Insya-Allah, saya akan terus berbakti. Saya berhasrat untuk membuka peluang dan melatih anak muda untuk mencipta rekod yang lebih baik daripada saya," katanya.

Qobin menjadi manusia ke-60 dunia menamatkan penjelajahan Grand Slam selepas berjaya mendaki tujuh puncak tertinggi di tujuh benua, berski di Kutub Utara dan Kutub Selatan.

Mereka yang berminat menjemput beliau, boleh menghubunginya menerusi instagram qobin_grandslam dan tweeter beliau di qobin_gs atau hubungi Siti Zulaikha di talian 016-9035130.

Sumber : Berita Harian

No comments:

Post a Comment