Tiga Lagi Taska di Pulau Pinang Diarah Tutup Kerana HFMD - Bonda

Tuesday, 10 July 2018

Tiga Lagi Taska di Pulau Pinang Diarah Tutup Kerana HFMD



GEORGE TOWN, 10 Julai (Bernama) -- Tiga  lagi taksa di Pulau Pinang diarah tutup hari ini selepas kanak-kanak di tadika itu  dijangkiti penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD), kata Pengarah Kesihatan Pulau Pinang Dr Wan Mansor Hamzah.

Beliau berkata setakat hari ini, sejumlah 17 fasiliti membabitkan 13 taska, sebuah tadika, sebuah pusat jagaan dan dua buah kelas masing-masing sebuah kelas di sekolah kebangsaan dan sebuah kelas di sekolah antarabangsa ditutup 10 hari bagi proses pembersihan berikutan  jangkitan HFMD.

"Sehingga semalam 15 fasiliti ditutup namun hari ini tiga lagi taska ditutup manakala sebuah daripada dua buah tadika yang diarah tutup telah dibenarkan dibuka...jadi jumlah hari ini premis yang ditutup akibat HFMD ialah 17," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata sehingga hari ini, Pulau Pinang mencatat 1,679 kes HFMD sejak Januari iaitu  peningkatan sebanyak 56.47 peratus berbanding 1,073 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

"Empat kes baharu HFMD dilapor sejak semalam hingga hari ini dan jumlah pesakit masih dirawat di hospital ialah tiga orang berbanding empat orang semalam iaitu dua di Hospital Pulau Pinang dan seorang di Hospital Seberang Jaya. Mereka berusia antara dua dan 10 tahun," katanya.

Dr Wan Mansor berkata Jabatan Kesihatan Negeri turut membuat pemeriksaan di 607 daripada 855 buah pra sekolah yang terdapat di Pulau Pinang sejak minggu lepas hingga hari ini bagi memantau perkembangan kanak-kanak di situ.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani serta Pembangunan Luar Bandar negeri Dr Afif Bahardin meminta ibu bapa memberi kerjasama dengan tidak menghantar anak-anak mereka yang dijangkiti penyakit berkenaan ke sekolah bagi mengekang penularan virus berkenaan.

Beliau berkata kerajaan negeri memandang serius isu itu dan berharap ibu bapa dapat mengambil cuti  bagi  menjalankan proses kuarantin anak-anak yang dijangkiti HFMD di rumah.

"Bagi sektor kerajaan, cuti kuarantin diberi selama lima hari dan ibu bapa boleh menggunakannya untuk menjaga anak mereka di rumah sehingga sembuh.

"Namun, untuk sektor swasta, kami berharap dapat menimbangkan cuti yang membolehkan pekerjanya menjaga anak mereka di rumah kerana penyakit ini perlu ditangani sebaik mungkin memandangkan ia mudah dijangkiti," katanya.

HFMD ialah satu penyakit yang disebabkan oleh virus dan gejala penyakit itu adalah demam, ruam (maculopapular dan vesicles) di tapak tangan, kaki dan ulser di mulut dan lidah, serta gejala dan tanda-tanda jangkitan saluran pernafasan atas (URTI).

 HFMD disebabkan oleh jangkitan virus khasnya dari jenis Coxsackie A16 dan Enterovirus 71 (EV71) dan virus itu ini merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh (blister) dan najis pesakit.       

-- BERNAMA

BACA JUGA : Langkah Segera Tangani Penularan HFMD di Pulau Pinang

No comments:

Post a Comment