Wanita Dipercayai Ejen Judi Bola Ditahan - Bonda

Sunday, 15 July 2018

Wanita Dipercayai Ejen Judi Bola Ditahan

Fazlisyam Abdul Majid

KUALA TERENGGANU - Seorang wanita tempatan dipercayai ejen judi haram bola sepak Piala Dunia 2018 diberkas dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Bandar, di sini, sempena Ops Soga, semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 10.30 malam itu, turut dirampas sebuah telefon bimbit jenama Iphone 7 Plus dan wang tunai RM25 disyaki wang pertaruhan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu hasil pemantauan dan risikan dijalankan sebelum ini.

Beliau berkata, semasa serbuan,  suspek berusia 35 tahun yang sedang asyik 'melayan' telefon di dalam premis itu didapati berada dalam keadaan mencurigakan sebelum anggota bertindak menghampirinya.

"Sebaik memperkenalkan diri, pemeriksaan terhadap telefon bimbit suspek dilakukan sebelum menemui satu laman web yang disyaki digunakan untuk menjalankan kegiatan pertaruhan judi perlawanan bola sepak.

"Selain menunjukkan jadual perlawanan bola sepak, ia turut menunjukkan jumlah pertaruhan yang dibuat di dalam laman web bernilai bernilai RM665.30.

"Suspek kini direman selama empat hari sehingga Rabu ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun, denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM200,000, jika sabit kesalahan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Fazlisyam berkata, kegiatan perjudian bola sepak di Terengganu masih terkawal dan pihaknya akan melakukan pemantauan dalam usaha membanteras kegiatan ini walaupun perlawanan Piala Dunia akan berakhir malam ini.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung perjudian bola sepak sempena Piala Dunia 2018 diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.

Sumber : Sinar Harian

No comments:

Post a Comment