Kebaikan dan Kelemahan Puting Kosong Kepada Bayi Anda - Bonda

Wednesday, 8 August 2018

Kebaikan dan Kelemahan Puting Kosong Kepada Bayi Anda


Suka atau benci, ramai wanita pernah menggunakan puting kosong, puting piring, dan alat-alat penyelesa dan penenang untuk berkurun-kurun. Seperti namanya menggambarkan, ianya digunakan untuk menyelesa dan menenangkan bayi dan kadangkala kanak-kanak bertatih juga. Setengah ibu tidak dapat bertahan untuk seharipun tanpa memberi bayi mereka puting kosong, namun begitu ibu lain pula amat tidak bersetuju dengan penggunaannya. Debat mengenai penggunaan puting kosong telah berlanjutan untuk beberapa tahun dan merupakan satu perkara di mana ibubapa lazim diberikan nasihat yang bercanggah.

Apakah itu puting kosong?


Dahulunya alat penenang adalah alat yang memberi bayi sesuatu yang selamat untuk dihisap, seperti gegelang gigit bagi gigi yang sedang tumbuh atau kelentong bulat di hujung. Hari ini, puting kosong diperbuat dari silikon atau getah yang standard, dengan pengadang mulut yang diperbuat dari plastik atau silikon bersama pemegangnya. Puting lateks adalah lebih lembut dan fleksibel dari silikon, tetapi ianya tak tahan lama. Puting moden adalah selamat untuk digunakan, senang untuk disteril dan pengadang mulut puting mencegah bayi dari tercekik atau menelan puting itu.

Anda boleh membeli puting kosong secara berasingan, atau anda mungkin mendapat puting kosong percuma apabila membeli satu set botol-botol susu. Puting ortodontik dibentuk untuk menggalakkan bayi menghisap sama cara seperti menyusu badan (lihat Keburukan Penggunaan Puting di bawah untuk maklumat lanjut tentang kesihatan gigi dan puting).

Berapa meluaskah penggunaan alat penenang di kalangan ibubapa?
Ianya digunakan secara meluas dan mungkin semakin meningkat. Satu kajian besar melaporkan bahawa dua per tiga ibu menggunakan puting pada satu-satu masa. Oleh sebab penggunaan puting telah disabitkan dalam panduan untuk mencegah kematian kot (SIDS), lebih ramai lagi ibubapa menggunakannya untuk bayi mereka sekarang dari dahulu.

Bilakan ibubapa menggunakan penyelesa?


Ibubapa lazimnya menggunakan puting kosong apabila bayi mereka berusia dua atau tiga bulan. Bukti menunjukkan bahawa ibubapa lebih cenderung menggunakan puting jika bayi itu bayi pertama atau jika bayi itu lelaki.

Faedah menggunakan puting


Faedah utama untuk ibubapa ialah puting boleh menyamankan bayi mereka atau membantu untuk menenangkan sampai tidur. Menghisap puting kosong boleh mengurangkan sakit, dan inilah sebabnya ibubapa sering memberi bayi mereka alat penenang apabila mereka diserang kolik. Baru-baru ini penggunaan puting telah dikaitkan dengan sesuatu yang boleh mencegah kematian kot.

Menghisap puting boleh membantu setengah bayi pramatang. Jika mereka diberikan puting kosong untuk dihisap sebelum minum susu, mereka mungkin boleh beralih dengan lebih senang dari makan melalui tiub kepada penyusuan botol, dan akan meminum susu dari botol secara lebih efektif. Penggunaan puting kosong juga mengurangkan tempoh berada di hospital untuk bayi pramatang. Bayi pramatang yang diberi puting kosong sebelum menyusu menjadi lebih selesa dan tenang semasa disusukan dan selepasnya.

Namun begitu, seorang ibu yang mahu menyusu badan mungkin lebih suka menggalakkan bayi untuk menguatkan daya hisapnya pada tetek ibu yang dikosongkan daripada diberikan puting kosong - lihat artikel kami tentang menyusu badan bayi pramatang anda.

Keburukan penggunaan puting

Infeksi telinga meningkat

Ada kaitan yang terbukti mengenai penggunaan puting untuk jangka masa panjang dan infeksi telinga tengah. Adalah disangkakan bahawa menghisap puting kosong menambah kemungkinan infeksi berpindah dari mulut ke tiub Eustachia (saluran berisi udara yang menyambungkan telinga tengah dengan bahagian belakang tekak). Hadkan penggunaan puting untuk tidur sahaja, untuk mengelakkan masalah seperti ini.

Kaitan dengan infeksi perut dan lain-lain

Puting kosong telah dikaitkan dengan risiko tinggi mendapat simptom seperti muntah-muntah, demam, diarea (cirit-birit) dan kolik.

Penggunaan puting kosong secara jangka panjang menyebabkan masalah gigi

Ramai doktor gigi tidak menggalakkan penggunaan puting kosong atau menghisap jari sebab kedua-duanya boleh menyebabkan beberapa masalah apabila gigi tumbuh dan keluar, terutama sekali jika bayi masih menggunakan puting sebagai penenang semasa gigi kekal mereka sedang menembus keluar.

Masalah pertuturan

Penggunaan puting kosong tidak membolehkan bayi membebel, yang merupakan langkah penting dalam mereka belajar bertutur, dan juga tidak menggalakkan bayi bertatih berceloteh, yang diperlukan mereka untuk membina kemahiran bahasa.

Menggunakan puting kosong secara harian mengganggu penyusuan badan

Ada bukti kuat bahawa wanita yang menggunakan puting kosong lebih cenderung untuk mencerai susu lebih awal daripada ibu-ibu yang menyusu badan yang tidak menggunakan puting kosong secara harian. Penggunaan puting kosong telah dikaitkan dengan masa yang lebih singkat bagi penyusuan badan secara ekslusif dan juga kekurangan susu semasa bayi berusia satu bulan.

Samada penggunaan puting kosong menyebabkan wanita menghentikan penyusuan badan adalah perkara yang penuh kontroversi. Ada yang mengatakan bahawa ibu menggunakan puting kosong sebab mereka mempunyai masalah menyusu badan atau sebab mereka sebenarnya tidak mahu menyusu badan. Yang lain percaya bahawa adalah sukar bagi setengah bayi beralih dari menghisap puting-puting tiruan kepada menghisap puting tetek ibu - kadangkala diberi nama keliru puting. Yang lain mengatakan bahawa menghisap puting dan bukan tetek kurang meransangkan payudara untuk mengeluarkan prolaktin, yang kemudiannya menyebabkan penurunan bekalan susu. Wanita yang menghentikan penyusuan badan semasa enam bulan pertama selalunya memberikan faktor "kekurangan susu" sebagai sebab mereka berhenti.

Apa juapun sebabnya, penggunaan puting kosong secara harian telah dikaitkan dengan penghentian penyusuan badan sebelum bayi berusia tiga bulan. Tabung Darurat Kanak-Kanak Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) dengan tegas tidak menggalakkan penggunaan puting kosong dalam tempoh penyusuan badan hendak dimantapkan. Ini adalah usaha untuk cuba menyokong ibu supaya menyusu badan secara eksklusif untuk enam bulan pertama sebab faedah penyusuan badan yang banyak.

Puting kosong dan kematian bayi mengejut (sudden infant death - SIDS)


Satu penyemakan semula kajian-kajian memutuskan bahawa menggunakan puting kosong boleh mengurangkan risiko kematian kot. Jika anda menyusu badan, tunggu sampai bayi anda berusia sebulan sebelum memberikan dia puting kosong. Ini memberikan anda dan bayi anda peluang untuk memantapkan penyusuan badan. Penyusuan badan juga memberi bayi anda perlindungan daripada SIDS, dan jika anda mula menggunakan puting kosong dengan tujuan untuk mengamankan bayi anda sebelum tidur ianya tidak akan mengganggu bekalan susu anda.
Jangan bimbang jika puting terlucut semasa bayi anda tidur.

Dan jika bayi anda enggan menggunakan puting kosong, anda tidak harus memaksanya. Ingatlah bahawa faktor-faktor lain, seperti menidurkan bayi anda atas belakangnya dan tidak merokok, juga penting dalam mencegah SIDS. Tiada siapa yang tahu dengan tepat mengapa menggunakan puting kosong boleh membantu melindungkan daripada SIDS tetapi beberapa sebab telah dikemukakan:
Pemegang besar yang terlekat di puting membantu menjauhkan hidung dan mulut bayi anda dari kain lapis dan selimut lembut, dan perlakuan menghisap mungkin membantu bayi anda mengawal bahagian atas saluran pernafasannya.

Jika anda memutuskan untuk mengguna puting kosong:


  • gunalah puting ortodontik;
  • pastikan ia sentiasa bersih - sterilkan sama seperti puting botol;
  • ganti puting kosong bayi secara kerap - sama seperti puting botol, periksa jika ada retak, pecah atau lubang, yang boleh menakung kuman, dan gantikan dengan puting baru secepat mungkin;
  • jangan salut puting kosong dengan makanan manis seperti madu atau jus oren untuk membuat bayi berhenti menangis - ini akan menyebabkan kerosakan gigi yang cepat;
  • cuba hadkan puting kosong untuk masa-masa utama sahaja, seperti semasa serangan kolik atau hanya untuk menenangkan -- penggunaan puting kosong untuk jangka masa yang panjang telah dikaitkan dengan infeksi telinga tengah dan masalah lain (lihat Keburukan di atas);
  • tunggu sehingga bayi anda memerlukan puting kosong dan tidak memberikannya secara automatik;
  • cuba"ceraikan" anak anda dari putingnya sebelum usia satu tahun (lebih senang melakukannya pada masa ini daripada masa dia dua atau tiga tahun) dan sebaik-baiknya sebelum gigi kekal keluar (selalunya pada usia enam tahun);
  • jangan biarkan penggunaan puting kosong menjadi tabiat.
  • Bercerai puting kosong

Jika anak anda menghisap puting kosong sepanjang masa dan tidak mahu bercerai puting seperti yang dihasratkan anda, cubalah idea-idea ini:

  • Dengan perlahan kurangkan masa anak anda dibenarkan menggunakan puting.
  • Hadkan penggunaan puting kosong untuk masa-masa utama saja dalam sehari, seperti masa tidur atau apabila anak anda sakit. Bertegaslah.
  • Beri ganjaran dalam bentuk aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan, stiker atau carta bintang - jangan berikan gula-gula untuk menggantikan puting.
  • Tunjukkan kepadanya budak perempuan dan lelaki yang lebih tua, yang tidak menggunakan puting - kanak-kanak prasekolah suka dianggap lebih tua.
  • Galakkan anak anda memberikan semua puting kosongnya kepada seorang yang penting baginya, seperti tok atau nenek.


Yakinlah yang anak anda akan dengan perlahan-lahan melepaskan penggantungannya kepada puting kosong.

Sumber : Baby Center

No comments:

Post a Comment