PETALING JAYA: Agensi kerajaan patut menyemak semula perbelanjaan mereka jika menghadapi masalah untuk menyediakan pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja masing-masing seperti yang disasarkan pada tahun hadapan, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.
Beliau berkata ada agensi kerajaan yang mendakwa mereka menghadapi kesukaran untuk menyediakan kemudahan itu kerana kekangan kewangan.
"Mereka akan selalu memberitahu kami bahawa mereka tiada peruntukan, tetapi kami memberitahu mereka untuk meneliti bajet sedia ada, bagaimana mereka boleh melakukan pelarasan bagi memastikan pusat jagaan kanak-kanak menjadi satu keutamaan.
"Jika mereka ada duit untuk menganjurkan rumah terbuka (sambutan perayaan), mereka juga boleh memikirkan untuk menyalurkan duit itu kepada pusat jagaan kanak-kanak," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Anugerah 'TalentCorp Malaysia's Life at Work' 2018 di sini hari .
Beliau berkata kementerian juga sedang melihat kaedah untuk menggalakkan pendaftaran pengasuh bayi bagi menangani isu penjagaan kanak-kanak di dalam negara.
Media mendedahkan kes yang mengejutkan negara mengenai Adam Rayqal Mohd Sufi, bayi lima bulan yang ditemukan mati di dalam sebuah penyejuk beku di rumah pengasuhnya pada 3 Julai lepas. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment