Dua Kanak-Kanak Diserang Pesakit Mental - Bonda

Saturday, 27 October 2018

Dua Kanak-Kanak Diserang Pesakit Mental

ZAIRI Yusoh menunjukkan bagaimana rambut anaknaya, Nur Damia Qistina Zairi ditarik seorang wanita sehingga tercabut di ketika berada di sebuah pasaraya di Kuala Pilah.

KUALA PILAH: Dua kanak-kanak diserang seorang wanita dipercayai pesakit mental, termasuk rambut ditarik hingga tercabut dan ditendang, di sebuah pasar raya di sini, kelmarin.

Menceritakan kejadian itu, Zairi Yusoh, 36, berkata beliau membawa anaknya, Nur Damia Qistina, 5, dan anak saudara, Nur Elisya Zaidi, 2, ke premis terbabit untuk membeli barang dapur pada jam 5.15 petang.

“Sebaik tiba di pasar raya, saya makan di medan selera dan membiarkan anak serta anak saudara bermain di bahagian permainan elektronik. Ketika sedang makan, saya terkejut mendengar jeritan Nur Damia.

“Saya bergegas ke sana dan mendapati seorang wanita tidak dikenali sedang menerkam mereka,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru Condong, Juasseh Tengah, di sini, hari ini.
KESAN rambut Nur Damia Qistina Zairi yang tercabut akibat ditarik oleh seorang wanita di sebuah pasaraya di Kuala Pilah. - Foto NSTP/Amran Yahya
Zairi berkata, beliau segera cuba meleraikan tetapi wanita terbabit menarik segenggam rambut anaknya sehingga tercabut dan berlaku pergelutan.

“Tidak cukup dengan itu, wanita terbabit menendang perut anak saudara saya menyebabkan orang ramai datang membantu,” katanya.

Zairi berkata, beliau difahamkan wanita berusia 20-an itu pesakit mental, namun yang dikesalkan ialah bapanya turut berada di medan selera terbabit.

“Sebagai bapa, lelaki berkenaan sepatut memantau pergerakan anaknya itu, tambahan pula tahu dia pesakit mental. Lebih dikesalkan, lelaki itu tidak meminta maaf biarpun menyaksikan kejadian berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, wanita itu kemudian ditahan polis susulan panggilan oleh orang awam, manakala dirinya turut membuat laporan di Balai Polis Melang, di sini, pada jam 6.18 petang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Haslah Bachok mengesahkan menerima laporan dan wanita terbabit diserahkan kepada pihak Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) selepas ditahan.

“Kertas siasatan bagaimanapun tidak dibuka kerana suspek adalah pesakit mental,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Sumber : Berita Harian

No comments:

Post a Comment