Nama Panjang 'Princess Aura' Ilham daripada Wali Songo - Ibu - Bonda

Saturday, 6 October 2018

Nama Panjang 'Princess Aura' Ilham daripada Wali Songo - Ibu

NURUL HUDA: Saya tidak kisah apa orang nak kata dekat nama anak saya, kerana hanya keluarga kami yang faham kenapa nama itu diberikan

SUNGAI PETANI: “Saya tidak kisah apa orang nak kata dekat nama anak saya, kerana hanya keluarga kami yang faham kenapa nama itu diberikan.”

Itu penjelasan Nurul Huda Arifin, 32, ibu kepada pemilik nama terpanjang di Malaysia.

Menurut Nurul Huda, pemilihan nama "Princess Aura Nurr Emmily Amara Auliya Bidadari Nwal El Zandraatau" atau lebih manja disapa "Princess Aura" dipersetujui bersama di antara beliau dan suami ketika anaknya itu masih dalam kandungan.

Jelasnya, nama tersebut diberi sempena nama salah seorang Wali Songo.

"Asalnya nama ini kami dapat sebab kami sering ke Indonesia atas urusan tugas. Kami sering ke Gunung Jati di Cenibon, jadi dari situ kami dapat inspirasi untuk letak nama anak kami dari asalnya nama seorang wali Allah di sana yang bernama Sheikh Sharif Hidayatullah Aulia Maulana Sultan Hasannudin.

Malah bukan Princess Aura sahaja yang mempunyai nama terpanjang di dalam keluarganya, bahkan dua daripada empat adik beradik lain turut memiliki nama panjang dan unik.

Anak ketiga pasangan tersebut diberi nama Princess Amanda Aulia Sofia Nurr Jelita, 3, manakala anak keempat Prince Muhammad Ahmad Ashrofi Aulia Alfarezel Rasya Sidra, 2.

Jelas ibu lima anak ini, beliau tidak mempunyai masalah untuk mengingati kesemua nama anak mereka dan menegaskan jika ada rezeki lagi, nama unik dan panjang yang dimulakan dengan Prince dan Princess akan diberikan kepada anak-anak yang lain.

"Yang pertama anak saya Muhammad Rayyan Dinzly, yang kedua Nur Raynia Isabella, ketiga Princess Amanda Aulia Sofia Nurr Jelita, yang keempat Prince Muhammad Ahmad Ashrofi Aulia Alfarezel Rasya Sidra, dan kelima Princess Aura Nurr Emmily Amara Auliya Bidadari Nawal El Zandra," kata Nurul Huda lagi.

Sementara itu, suaminya Mohd Sufian Mohd Salleh berkata anak-anaknya tiada masalah di sekolah dan rakan-rakan anaknya boleh memanggil mereka dengan nama yang ringkas seperti Prince dan Princess.

"Paling mudah boleh panggil Prince Muhammad, boleh panggil Princess Amanda, boleh panggil Princess Aura... takda isu, insya-Allah.

Sebelum ini tular berita pengumuman oleh Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara bahawa nama adik Princess Aura Nurr Emmily Amara Auliya Bidadari Nawal El Zandra sebagai nama terpanjang di Malaysia.

Berita tersebut menerima pelbagai reaksi daripada rakyat Malaysia.


No comments:

Post a Comment