Makanan bercerai susu yang sesuai diperkenalkan dan bila - Bonda

Wednesday, 28 November 2018

Makanan bercerai susu yang sesuai diperkenalkan dan bila


Makanan bercerai susu dan bila ia sesuai diperkenalkan
Mengapa susu tidak memadai?
Apa yang boleh saya beri kepada bayi berusia tujuh ke sembilan bulan?
Apa yang saya boleh beri bayi saya pada usia 10 bulan?
Makanan apa yang tidak boleh diberi bayi bawah 12 bulan?
Bagaimana dengan alergi makanan?

Makanan bercerai susu dan bila ia sesuai diperkenalkan

Bayi anda telah mencapai enam bulan, dan sudah tiba masanya untuk beliau cuba makanan pejal. Setiap bayi adalah berbeza, jadi tidak ada cara menentukan reaksi bayi anda dengan pengalaman baru ini. Dia mungkin memerlukan sedikit masa untuk membiasakan diri dengan tekstur dan rasa yang berbeza atau dia boleh makan dengan serta-merta.

Sesetengah keluarga mengamalkan bercerai susu berpandukan bayi, manakala yang lain mendapati bayi mereka lebih bahagia disuap puri. Kami menerangkan makanan yang terbaik untuk diberi kepada bayi anda pada masa akan datang untuk memberikannya permulaan yang baik.

Mengapa susu tidak memadai?


Pada enam bulan, bayi anda memerlukan nutrien tambahan daripada makanan, khususnya zat besi. Tetapi dia masih memerlukan susu ibu atau susu formula juga sehingga dia berusia setahun.

Dalam enam bulan pertama bayi anda, sistem penghadaman dan imunnya secara beransur-ansur semakin kuat. Badan bayi anda kini sedia untuk memproses makanan pejal. Apabila bayi anda sedia dari segi fizikal, kurang kebarangkalian ada reaksi terhadap sesuatu yang dia dimakan.

Jika anda ingin memberi bayi anda makanan pejal sebelum usianya enam bulan, bincanglah dahulu dengan pakar pediatrik anda. Terdapat beberapa makanan yang tidak sesuai untuk bayi di bawah umur enam bulan. Ini termasuk gluten yang terdapat dalam bijirin, susu lembu dan telur.

Apabila bayi anda sudah berusia enam bulan, secara teori anda boleh memberi dia pelbagai makanan dan mencuba makanan baru dengan cepat. Anda mungkin ingin mulakan dengan makanan tersebut:


  • Nasi atau bijirin lain dicampur dengan susu formula atau susu badan
  • Sayur-sayuran yang dipuri atau yang dilenyek  seperti ubi kentang, keledek, labu, parsnip, lobak merah, zukini, brokoli atau kubis bunga
  • Puri buah-buahan seperti mangga, betik atau pisang lenyek dan juga buah epal dan pir yang sudah dimasak;


Puri mungkin makanan paling mudah untuk bayi anda pada mulanya, tetapi sesetengah bayi boleh makan ketulan lembut, selagi makanan tersebut dilecek dengan baik. Bayi boleh belajar mengunyah makanan lembik dan lembut walaupun tiada gigi.

Apabila bayi anda gembira makan dari sudu, anda boleh meningkatkan pelbagai makanan yang anda tawarkan. Sama seperti kita, bayi boleh bosan dengan perkara yang sama. Jadi, daripada hanya menawarkan buah-buahan atau bijirin puri, cuba:


  • Puri atau kisar daging, ikan atau ayam. Pastikan anda memasak makanan dengan sempurna dan membuang tulangnya.
  • Puri atau lecek lentil, kacang pea belah dan kacang kuda.
  • Yogurt susu berlemak, fromage frais atau kastard. Tetapi ingat bayi anda tidak sepatunya minum susu lembu (atau kambing atau biri-biri) sebagai minuman utama sehingga dia berusia setahun.
  • Puri sayur-sayuran yang mempunyai rasa yang lebih kuat, seperti kacang, kubis atau bayam.

Cuba sebaik mungkin untuk menawarkan bayi anda makanan yang dimasak sendiri. Lebih baik menggunakan makanan pra-sedia bayi sebagai alternatif dan bukannya makanan utama bayi anda.

Walaupun garis panduan rasmi mengatakan tidak mengapa memberi makanan pejal pada usia enam bulan, anda akan melihat produk makanan untuk bayi berusia empat bulan. Produk biasanya bermula daripada empat ke tujuh bulan dan tujuh bulan ke atas. Tiada alasan munasabah mengapa bayi berusia enam bulan tidak boleh makan makanan bayi pra-sedia yang dilabel tujuh bulan ke atas, walaupun anda mungkin perlu lenyekkan atau kisarkan kandungannya.

Setiap kali anda membeli apa-apa makanan pra-sedia untuk bayi anda, semak label dan pilih produk yang rendah kandungan garam dan gula.

Apa yang boleh saya beri kepada bayi berusia 7 ke 9 bulan?


Mulai sekarang, bayi anda akan dapat makan bersama keluarga dengan lebih mudah. Terdapat kelebihan untuk memberi makanan yang dimasak sendiri kepada bayi anda:

  • anda tahu kandungan makanan bayi
  • bayi akan biasakan diri dengan apa yang anda makan

Jika bayi anda minum susu ibu, dia akan mendapatkan perisa apa yang anda makan melalui susu ibu anda. Ini menjadikan dia lebih cenderung untuk meminati jenis makanan yang anda nikmati.

Bayi anda kini boleh cuba makanan yang dilenyek atau dicencang halus, tak semestinya puri. Bayi yang diberi makanan yang berketul selepas 10 bulan lebih cenderung menolaknya. Mereka mungkin lebih berat hati mencuba tekstur dan perisa lain ketika membesar.

Sebaik-baiknya jadikan makanan berkanji asas makanan bayi anda. Makanan berkanji berikut adalah baik untuk bayi anda:

  • nasi dan bubur nasi
  • bijirin sarapan
  • roti bayi
  • ubi kentang
  • kuskus
  • roti
  • pasta
  • milet
  • oat

Selain makanan berkanji, bayi anda memerlukan hidangan makanan yang kaya dengan protein seperti:

  • Ikan, tapi bukan jerung, todak dan marlin
  • Telur masak
  • Produk tenusu
  • Daging kurang lemak
  • Ayam
  • Dal

Jika bayi anda biasa makan kekacang dan dal, mungkin kerana mengikut diet vegetarian, pastikan dia makan sedikit roti, nasi dan pasta juga. Terlalu banyak serat boleh mengenyangkan perut si kecil, jadi kuranglah ruang untuk makanan yang memberi tenaga.

Jika bayi anda lebih suka menyuapkan diri sendiri, biarlah dia cuba. Dia mungkin suka mempunyai kawalan terhadap makanannya. Cubalah kacang hijau atau lobak merah yang dimasak, kiub keju dan pisang atau buah pir lembut.

Walapun bayi anda masih minum susu, dia boleh cuba minuman lain. Berikan air masak yang telah disejukkan dalam bikar bermuncung lembut. Jika anda hendak memberi bayi anda jus buah, berikan semasa waktu makan sahaja. Cairkan minuman tersebut dengan nisbah satu jus ke 10 air masak.

Berikan bayi anda jus cair dari cawan atau bikar, bukannya botol. Menghadkan minum jus semasa waktu makan membantu bayi menyerap zat besi dari makanannya dan kurang memberi kesan kepada giginya yang baru tumbuh.

Jika perlu, anda boleh menawarkan susu formula. Tetapi tiada sebab untuk memberinya jika bayi anda makan makanan seimbang.

Apa yang saya boleh beri bayi saya pada usia 10 bulan?


Kini makanan bayi anda boleh lebih menyerupai makanan dewasa. Ia boleh dipotong atau dicencang dan anda mungkin ingin memberi makanan dua atau tiga kali sehari bersama satu atau dua snek.

Jika bayi anda minum susu ibu, anda boleh terus menawarkan dia susu seperti biasa. Anda mungkin mendapati kekerapan bayi anda minum berkurangan.

Jika bayi minum susu formula, anda boleh kurangkan satu atau dua botol sehari. Tapi teruskan memberi bayi susu formula, lebih kurang 500ml ke 600ml sehari, sehingga dia setahun.

Makanan apa yang tidak boleh diberi bayi bawah 12 bulan?


Terdapat makanan dan ramuan yang tidak patut diberi kepada bayi di bawah satu tahun seperti:
Garam. Buah pinggang bayi anda tidak boleh memproses garam lagi. Sebaiknya jangan galakkan bayi suka garam. Jangan kisarkan makanan sedia untuk dewasa. Ia mengandungi banyak garam.

Madu. Walaupun dia batuk, bayi tidak boleh makan madu sehingga dia setahun. Madu kadang kala mengandungi sejenis bakteria yang toksik kepada usus bayi.

Gula. Cuba maniskan pencuci mulut dengan menggunakan pisang lenyek atau puri buah-buahan kering (rebus dan kisar) di mana sesuai, atau gunakan susu ibu yang dipam atau susu formula.

Pemanis tiruan. Minuman buah-buahan dalam kotak atau tin atau minuman diet yang mengandungi pemanis tiruan tidak sesuai untuk bayi dan kanak-kanak. Ia tidak berkhasiat dan menggalakkan bayi suka benda manis.

Kacang. Ia boleh menyebabkan bayi tercekik.

Beberapa jenis ikan. Bayi anda tidak boleh makan ikan jerung, todak dan marlin. Ia mungkin mengandungi sisa-sisa merkuri.

Teh atau kopi. Elakkan daripada menambah sebarang teh ke dalam botol bayi untuk memanaskan susunya. Tanin dalam teh akan menganggu penyerapan zat besi. Minuman yang mengandungi kafein tidak disarankan untuk kanak-kanak.

Makanan rendah lemak. Sapuan rendah lemak, yogurt dan keju rendah lemak tidak sesuai untuk bayi anda. Sentiasa berikan bayi anda makanan jenis penuh lemak. Dia memerlukan kalori.
Ada makanan yang membawa risiko keracunan makanan. Untuk keselamatan bayi anda, jangan beri dia:

  • keju lembut yang diperam sehingga berkulat (brie, camembert)
  • kerang-kerangan mentah atau kurang masak
  • Telur rebus lembut, telur separuh masak atau telur mentah.
  • sari (pate) hati.

Bagaimana dengan alergi makanan?


Jika keluarga anda mempunyai sejarah alergi, sebaiknya mendapat nasihat daripada pakar kanak-kanak atau doktor anda.

Jika anak anda ada alergi seperti ekzema, asma atau alahan terhadap makanan, kemungkinan dia alah kepada kacang tanah. Berbincanglah dengan doktor anda sebelum memberi bayi anda mentega kacang atau produk yang mengandungi kacang untuk kali pertama.

Sebaik-baiknya cuba makanan yang kemungkinan tinggi menyebabkan tindak balas satu per satu. Dengan cara itu anda boleh melihat reaksi bayi anda dan mengasingkan sebarang makanan pencetus.

Mulakan dengan jumlah yang amat kecil, dan jangan berikan makanan tersebut kepada bayi anda sebelum dia berusia enam bulan. Makanan untuk diperkenalkan satu demi satu adalah:


  • bijian yang mengandungi gluten seperti gandum, rai, barli dan oat
  • ikan dan kerang-kerangan
  • buah-buahan sitrus
  • mentega kacang
  • susu lembu
  • soya
  • telur


No comments:

Post a Comment