Anak Akan Jadi Rendah Diri Apabila Ibu Ayah Dah Terbiasa Dengan Ugutan - Bonda

Sunday, 29 October 2017

Anak Akan Jadi Rendah Diri Apabila Ibu Ayah Dah Terbiasa Dengan Ugutan

​“Kalau tak nak kemas semua mainan ni, ibu kurung dalam bilik gelap”
Ini antara ugutan yang biasa dibuat untuk anak-anak agar patuh dengan arahan. Disebabkan ugutan yang dibuat barulah anak-anak bangun dan mengemas.
Bagaimanapun jika kaedah ini terus dipraktikkan anak akan jadi terbiasa dengan ugutan dan tak mustahil apabila anak makin besar mereka juga akan menggunakan kaedah yang sama pada adik-beradik dan rakan.
Sebenarnya cara kita mendepani anak-anak harus seiring dengan zaman yang dilalui. – Harus berhemah dan mempunyai komunikasi dua hala agar semua pihak (ibu dan anak) berasa puas dan lega.
Ini penting agar disiplin terbentuk dalam suasana hormat dan faham, bukan kerana patuh akibat diugut dan dipaksa.
Sesetengah ibu berpura-pura mengugut meninggalkan anaknya dengan menolak anak ke luar rumah dan mengunci pintu dari dalam untuk sebeberapa lama. Tersenyum lebar mendengar anak-anak menjerit dan merayu memanggil namanya.
Betulkan cara mengugut ini boleh mendisiplinkan anak?
Perlu kita tahu, setiap pendidikan yang berasaskan kekasaran akan memberikan pulangan yang serupa kepada kita.
Jangan terkejut kalau pada alam remajanya nanti anak akan mengunci pintu biliknya sehari suntuk dan membiarkan kita merintih, melaung dari luar kerana tidak bersetuju dengan beberapa hal kecil.
– Akibat daripada kita mengajar mereka berbuat begitu sejak dari kecil. Mereka terkesan dengan cara kita menyelesaikan masalah.
Apa yang boleh kita harapkan dari seorang budak? Selagi usianya budak memanglah mereka akan memekak, menumpahkan air, menyakat adik-adik, degil dan enggan patuh pada ketika-ketika tertentu. Hendak cari dimana budak yang tidak nakal dan tidak berbuat salah?
Bukan langsung tidak boleh menghukum dan membuat tegahan, tetapi biarlah bersesuaian dengan kecerdasan insan yang ingin dilahirkan. Sejauh yang dilihat, ugutan sebegini tidak membantu dalam mendisiplinkan anak.
Yang  jelas anak menjadi lebih takut untuk mencuba sesuatu yang baru dalam hidupnya. Takut salah dan ditinggalkan pergi. Padahal itu semuanya adalah lakonan.
Mendidik dengan lebih kreatif!
Dalam mendidik anak kita harus kreatif. Sesuatu masalah boleh diselesaikan hanya dengan sepatah dua perkataan yang lembut dan sedikit kesabaran. Jangan dera minda suci anak dengan taktik-taktik mengugut sebegitu.
Walaupun tujuannya adalah baik, namun kesannya belum tentu memihak kepada apa yang kita sangkakan. Tetapi yang nyata, minda anak akan terdera dengan pengalaman ngeri yang kita berikan.
Takut-takut yang terbentuk nanti adalah mindset, “Hendak menyelesaikan masalah ialah lari dari rumah, tinggalkan semua orang.”
Kalau ini yang berlaku, siapa yang mengajarkannya kalau bukan kita?
-pa&ma

No comments:

Post a Comment