5 Kebaikan Puting Kepada Bayi - Bonda

Wednesday, 8 November 2017

5 Kebaikan Puting Kepada Bayi

“Tak apa ke kalau bagi bayi hisap puting? Orang kata nanti mulutnya jongang, gigi jadi tak elok, perut kembung, dan macam-macam lagi. Betulkah boleh jadi macam tu kalau beri puting untuk bayi?“
Puting atau pacifier adalah salah satu cara untuk menenangkan bayi, terutamanya bayi yang cepat gelisah atau sering menangis tanpa diketahui sebab dan alasannya. Bagi sesetengah ibu bapa, puting adalah ‘penyelamat’ mereka daripada keadaan yang tertekan, tegang, dan stres.
Walaupun begitu, penggunaan puting selalu dikaitkan dengan pelbagai masalah kesihatan yang menjadikan ramai ibu bapa takut dan teragak-agak untuk menggunakannya.
Sebenarnya, penggunaan puting untuk bayi boleh memberi banyak manfaat kepada bayi dan ibu bapa jika kena dengan caranya.
5 MANFAAT PUTING BILA DIGUNA DENGAN BETUL. IA TAK SETERUK YANG DISANGKA
Berikut adalah beberapa kebaikan puting untuk bayi apabila digunakan dengan cara yang tepat.
1. MEMBANTU MENENANGKAN BAYI
Bayi baru lahir boleh menangis selama hampir 3 jam sehari secara puratanya. Tempoh masa ini boleh meningkat sehingga usia mereka mencapai 6 minggu. Menghisap puting adalah salah satu cara yang paling berkesan untuk membantu bayi bertenang.
Dr. Cathryn Tobin, MD, seorang ahli paediatrik dan penulis buku The Lull-A-Baby Sleep Plan menjelaskan bahawa perbuatan menghisap ini akan merembeskan hormon daripada otak yang membantu melenyapkan rasa stres.
2. MEMENUHI SUCKING REFLEX PADA BAYI
Setiap bayi dilahirkan dengan keperluan untuk menghisap, atau sucking reflex. Keperluan untuk menghisap ini mungkin mencukupi dengan penyusuan daripada payudara ibu atau botol susu. Namun, sesetengah bayi masih memerlukannya sungguhpun mereka sudah berasa kenyang, seperti yang dinyatakan dalam laman web kesihatan Web MD.
Dalam hal ini, penggunaan puting dapat membantu memenuhi keperluan tersebut. Cuma ibu bapa perlu pastikan bahawa puting tidaklah digunakan secara berlebihan sehingga ia menggantikan waktu penyusuan atau waktu makan.
3. MENGURANGKAN RISIKO SIDS
Sebuah artikel menjelaskan bahawa penggunaan puting untuk bayi membantu mengurangkan risiko Sudden Infant Death Syndrome (SIDS) atau kematian bayi mengejut sehingga 61%.
Antara teori yang menyokong kenyataan ini dikaitkan dengan kebolehan bayi untuk memberi tindak balas yang lebih cepat apabila berhadapan dengan situasi yang mencemaskan. Selain itu, ada juga pakar berpendapat ia boleh membantu membuka laluan udara dengan tindakan menolak lidah ke hadapan semasa menghisap puting.
4. MEMBANTU PERKEMBANGAN BAYI PRAMATANG
Sebuah kajian yang diterbitkan oleh sebuah jurnal Paediatr Child Health mendapati bayi pramatang mendapat kesan positif daripada penggunaan puting. Antaranya, ia membantu bayi pramatang untuk meningkatkan berat badan dengan lebih cepat di samping mengurangkan risiko dan komplikasi semasa dalam pantauan hospital.
Malah, penggunaan pting untuk bayi juga dikaitkan dengan tempoh discaj yang lebih awal daripada unit rawatan rapi tersebut.
5. MEMBANTU IBU BAPA MENGURUS BAYI
Memang seronok menerima kelahiran ahli baru dalam keluarga, tapi menjadi ibu bapa bukanlah semudah yang disangka. Ibu bapa yang baru pertama kali melalui pengalaman ini tentu tidak dapat lari daripada berasa stres akibat tidak cukup tidur dan keletihan menguruskan anak -apatah lagi ibu yang sedang berpantang dan masih dalam proses pemulihan.
Bayangkan sekiranya bayi asyik menangis tanpa sebab, keadaan boleh menjadi kucar-kacir dan ibu bapa tentu akan berasa lebih stres. Oleh sebab itu, sedikit sebanyak penggunaan puting ini dapat membantu ibu bapa untuk turut berasa lega.
GUNAKAN SECARA SEDERHANA
Walaupun ia memiliki manfaat yang tersendiri, ibu bapa perlu tahu bahawa ia turut memberi kesan negatif jika digunakan secara berlebihan.
Seeloknya, ibu bapa perlu menunggu sehingga anak pandai menghisap payudara dengan baik sebelum mula memberinya puting supaya tidak timbul isu kekeliruan puting. Pemberian puting terlalu awal juga boleh mengganggu penghasilan susu ibu. Oleh itu, pantau kekerapannya, berikan pada bayi hanya apabila perlu. Tabiat menghisap puting perlu dikurangkan apabila usia anak mencecah 1 tahun dan dihentikan pada usia 2 tahun.
Kini terdapat pelbagai jenis puting yang direka khas untuk kesesuaian dan usia bayi. Dengan mengawal penggunaan puting untuk bayi, anda tidak perlu risau terhadap kesan-kesan negatif yang dikaitkan seperti kerosakan pada susunan gigi. - sirapLimau

No comments:

Post a Comment