Noh meninjau permasalahan penduduk di Flat PPR Lembah Subang 2 pada lawatan kerja di Subang pada 10 Okt 2016. - BERNAMA
PETALING JAYA: Taska dan tadika akan ditempatkan di setiap
kediaman strata kos rendah dan sederhana rendah di Selangor jika Barisan
Nasional (BN) berjaya mentadbir semula negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14
(PRU14), kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar.
Beliau berkata ia bertujuan memberi kemudahan
kepada generasi muda yang baru berkahwin dan mempunyai anak yang masih kecil
untuk menghantar anak mereka ke taska dan tadika di kawasan kediaman
masing-masing.
"Kita akan selaraskan konsep seperti taska
dan tadika oleh Kemas (Jabatan Kemajuan Masyarakat) yang disediakan di blok
perumahan dan kosnya agak murah kerana ditanggung kerajaan," katanya
selepas melancarkan Program Transformasi Sosial Strategi Lautan Biru Kebangsaan
(NBOS) di sini, pada Ahad.
Terdahulu,
Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan
berkata, kementeriannya meluluskan peruntukan kira-kira RM6 juta bagi membaik
pulih dan menyelenggara kemudahan perumahan di Mentari Court di sini yang
didiami kira-kira 15,000 penduduk.
Turut diluluskan peruntukan sebanyak RM10 juta
bagi memasang alat perangkap nyamuk yang menggunakan tenaga solar iaitu
'Integrated Mosquito Management' bagi menangani kes denggi di kawasan Lembah
Klang terutamanya di Selangor yang dikatakan merekodkan kes tertinggi.
Noh mendakwa kerajaan negeri Selangor dilihat
masih gagal menangani kes denggi dan sehubungan itu Kerajaan Persekutuan
bersedia membantu.
"Pada dasarnya kerajaan telah bersetuju
meluluskan RM10 juta tetapi pada peringkat pertama diberikan RM1 juta dahulu.
Apabila melibatkan kesihatan, kita (kerajaan persekutuan) bantu tidak pilih
parti," katanya. -- Bernama
|
No comments:
Post a Comment