Penyusuan susu ibu amatlah digalakkan bagi setiap bayi. Susu ibu adalah sumber nutrien yang terbaik bagi bayi yang baru lahir. Namun, ianya tidak semudah yang disangka. Pelbagai cabaran dihadapi oleh para ibu dalam menjayakan penyusuan susu ibu. Salah satu cabaran besar ialah mendapatkan maklumat yang tepat berkenaan penyusuan susu ibu. Berikut adalah beberapa mitos dan penjelasan berkaitan penyusuan susu ibu.
1) Saya tidak boleh menyusukan bayi saya, saya memang kurang menghasilkan susu.
#Mitos ini tidak tepat. Semua wanita dianugerahkan kebolehan menghasilkan susu badan kecuali atas sebab-sebab perubatan tertentu seperti ‘hypoplasia of mammary gland’, tumpah darah selepas kelahiran yang banyak ataupun ‘Sheehan syndrome’, dan PCOS (polycystic ovarian syndrome). Jika anda tidak mengalami apa-apa keadaan kesihatan seperti disebut, anda boleh menghasilkan susu yang mencukupi.
Kebanyakan wanita sebenarnya menghasilkan banyak susu badan lebih dari keperluan bayi selepas kelahiran. Kurangnya kenaikan berat badan pada bayi bukan disebabkan oleh kurang penghasilan susu oleh ibu, tetapi ia disebabkan oleh kurangnya penerimaan susu oleh bayi. Ia disebabkan oleh teknik penyusuan yang salah seperti ‘latching technique’ yang tidak betul. Apabila ia berterusan, penghasilan susu semakin berkurang. Oleh itu, jika anda merasakan susu anda kurang, semak teknik penyusuan anda.
2) Penghasilan susu pada minggu pertama kelahiran tidak mencukupi.
#Sekali lagi, ianya mitos yang salah. Susu yang dihasilkan adalah mencukupi tetapi dek kerana teknik penyusuan yang salah, bayi tidak dapat menerima susu dengan secukupnya. Malah, penghasilan susu ibu pada peringkat awal, walaupun sedikit, ia sesuai dengan fisiologi tubuh bayi kerana saiz perutnya yang kecil.
3) Bayi yang menyusu perlu diberi air masak terutama semasa cuaca panas.
Mitos ini sinonim dengan nasihat mak cik anda, mertua anda dan juga orang-orang senior di sekeliling anda. Ianya tidak benar sama sekali dan boleh mengganggu proses penyusuan. Bayi kurang 6 bulan tidak memerlukan sumber makanan lain selain susu ibu, Ini termasuk air masak. Apabila bayi diberi air masak, perutnya yang kecil akan mengembang dan memberikan rasa kenyang. Bayi tidak akan meminta susu. Wajarkah kita memenuhi perut bayi dengan air yang tiada nutrien? Ianya juga boleh mempengaruhi konsep ‘supply and demand’. Apabila ‘demand’ dipenuhi oleh air kosong, ‘supply’ susu ibu akan mula berkurang.
4) Susu ibu tidak mempunyai kandungan zat besi yang mencukupi.
Ianya sama sekali salah. Susu ibu mempunyai zat besi yang mencukupi untuk 6 bulan pertama kehidupan bayi. Walaupun kandungan zat besi susu formula lebih tinggi, namun zat besi dalam susu ibu lebih mudah diserap oleh bayi. Tiada keperluan memberikan susu formula atas alasan zat besinya kurang.
5) Susu formula berkualiti tinggi adalah sama jika dibandingkan dengan susu ibu.
Susu formula tidak boleh dibandingkan dengan susu ibu. Sebaik mana pun susu formula itu, ia tidak dapat menandingi kelebihan susu ibu seperti mudah dihadam, mengandungi vitamin dan zat yang sesuai dengan keperluan bayi dan susu ibu juga mengandungi antibodi untuk melindungi bayi.
6) Bayi yang menyusu susu badan ibunya tidak memerlukan vaksin .
–Mitos yang sangat mengelirukan dan salah sama sekali. Memang benar di dalam susu ibu terdapat antibodi seperti ‘immunoglobulin’ yang melindungi dari jangkitan kuman. Paling banyak adalah IgA yang selalunya didapati di lapisan usus manusia yang melindungi dari jangkitan kuman di saluran pemakanan manusia. Namun, amat harus diingatkan bahawa ‘immunoglobulin’ ini tidak spesifik. Ia tidak melindungi dari penyakit-penyakit merbahaya seperti difteria, tetanus, hepatitis B, tuberculosis, polio dan measles. Oleh itu, penggunaan vaksin adalah perlu bagi meningkatkan rintangan spesifik bayi terhadap penyakit-penyakit yang membawa maut ini.
7) Berat badan bayi tidak meningkat dengan baik kerana kualiti susu ibunya rendah.
Kualiti susu ibu adalah amat tinggi, tidak mungkin dibandingkan dengan mana-mana susu lain. Ia mempunyai nilai nutrien yang tinggi dan sesuai dengan keperluan bayi. Walaupun rupa susu ibu itu berbeza bagi setiap ibu, tiada susu ibu yang terhasil dengan kualiti rendah. Jika berat bayi tidak meningkat dengan baik, ia mungkin disebabkan kurang penerimaan semasa menyusu (teknik penyusuan yang salah) atau bayi mempunyai masalah kesihatan yang perlu diperiksa.
8) Saya bengkak susu, maka perlu berhenti menyusukan bayi saya kerana ianya merbahaya.
–Ini mitos yang salah. Bengkak susu atau ‘mastitis’ adalah disebabkan saluran susu yang tersumbat dan menyebabkan pembiakan kuman. Jika anda terkena kondisi ini, terus menyusukan bayi kerana ia akan membantu mengurangkan sumbatan. Kuman yang terkandung dalam susu ibu tersebut adalah sedikit dan boleh dineutralkan oleh sistem penghadaman bayi. Tidak perlu berhenti menyusu atau membuang susu selepas pengepaman.
9) Jika saya mahu menyusukan bayi saya, saya perlu minum banyak susu.
Susu anda dihasilkan dari sistem peredaran darah anda, bukan secara terus dari perut anda. Tidak perlu minum susu semata-mata bagi menghasilkan kuantiti susu yang banyak dan baik. Lebih penting adalah mengekalkan kadar hidrasi yang baik dengan minum banyak air, tidak terhad kepada susu semata-mata. Namun, pengambilan kalsium dari susu secara konsisten membantu mengelakkan kerapuhan tulang di usia tua kelak.
10) Susu saya sedikit kerana payu dara saya kecil
Ini adalah tidak benar. Saiz payu dara tidak mempengaruhi kuantiti susu yang dihasilkan. Ini kerana saiz payu dara adalah dipengaruhi kandungan tisu lemak dalam payu dara. Walhal, penghasilan susu pula adalah melalui tisu kelenjar yang berada di dalam payu dara.
11) Susu ibu amat baik, jadi ia perlu diberi secara eksklusif sehingga 2 tahun tanpa memberi makanan lain.
–Kekeliruan ini terhasil dari mereka yang mentafsirkan konsep najis bayi lelaki kurang 2 tahun yang menyusu susu ibunya sahaja sebagai najis mukhafafah (ringan). Namun tidak disebut secara spesifik di dalam hadis atau al-quran bahawa semua bayi itu perlu disusukan secara eksklusif selama dua tahun tanpa makanan tambahan. Ya, memang benar penyusuan itu perlu diteruskan sehingga 2 tahun, namun, makanan pelengkap perlu diberi pada usia 6 bulan. Ini kerana selepas 6 bulan, bayi memerlukan sumber nutrien lain sejajar dengan perkembangan fisiologinya yang lain seperti gigi tumbuh, bayi mula memasukkan barang ke dalam mulut, dan sebagainya.
12) Memberikan susu melalui botol adalah satu kesalahan besar.
Sememangnya digalakkan memberikan susu ibu secara terus dari ibunya kerana banyak kebaikannya. Antaranya mengurangkan risiko kanser payu dara, mengurangkan stress si ibu dan merapatkan hubungan ibu dan anak. Namun, dalam era moden ini, kebanyakan ibu bekerjaya. Tiada kesalahan jika si ibu memerah susunya, menyimpan dan diberikan kepada bayi melalui botol susu. Asalkan bayi mendapat susu ibunya, itu sudah berfaedah yang besar untuk bayi. Malah ada kondisi kesihatan seperti ‘cleft palate’ (sumbing) yang memerlukan penyusuan dengan botol berputing khas. Adakah berdosa kita memberi susu melalui botol sesuai dengan keperluan bayi? Sudah semestinya tidak.
13) Memberi susu formula kepada bayi adalah melanggar fitrah dan suatu dosa yang tidak boleh dimaafkan.
Semua ibu berbeza dan kita semua diberi ujian berbeza-beza. Ada antara ibu-ibu yang telah berusaha sedaya upaya bagi menyusukan bayinya, namun bayinya tidak menerima susu tersebut dengan baik. Ada juga bayi yang terpaksa diasingkan dengan ibunya atas sebab kesihatan sama ada ibu atau bayi. Adakah kita biarkan bayi sebegini terus sengsara tanpa nutrisi yang mencukupi? Sudah tentu tidak. Di sini lah susu formula memainkan peranan. Gagal menyusukan bayi bukanlah tiket untuk merendah-rendahkan seorang ibu. Pengorbanan mereka yang amat besar dan tidak wajar diremehkan hanya kerana gagal menyusukan bayi. Cuba lagi untuk kandungan yang akan datang.
**Pesanan penaja tidak berkepentingan:
1) Susu ibu amat baik untuk bayi, oleh itu berusahalah memberikan susu ibu selama 2 tahun, dan mengenalkan makanan pelengkap pada 6 bulan.
2) Jika anda mengalami masalah dengan penyusuan bayi anda, sila rujuk dengan pakar yang bertauliah. Dapatkan kredibiliti pakar yang dirujuk bagi mengelakkan informasi yang salah.
3) Bagi konsultasi secara personal, amatlah digalakkan mendapatkan nasihat dari mereka yang sahih status kepakarannya. Elakkan merujuk kepada selebriti-selebriti media sosial yang mungkin berkepentingan lain.
4) Mohon tidak menjadikan kejayaan anda menyusukan bayi anda sebagai tiket merendahkan ibu yang tidak berkemampuan dalam menjayakan penyusuan susu ibu. Setiap ibu harus disayangi dan dihargai sepenuhnya.
Rujukan:
1) Effect of restricted pacifier use in breastfeeding term infants for increasing duration of breastfeeding, http://onlinelibrary.wiley.com/…/14651858.CD007202.pub4/full
2) Optimal duration of exclusive breastfeeding, http://onlinelibrary.wiley.com/…/14651858.CD003517.pub2/full
3) Effects of prolonged and exclusive breastfeeding on child behavior and maternal adjustment: evidence from a large, randomized trial, https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/18310164
4) Weaning from the breast, https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC2720507/
5) Breastfeeding Myths: Exposed & Explained, http://www.dietitians.org.my/…/breastfeeding-myths-exposed-…
6) Breast Milk: Proactive Immunomodulation and Mucosal Protection Against Viruses and Other Pathogens, http://www.medscape.com/viewarticle/814970_2
7) Mastitis – Treatment, http://www.nhs.uk/Conditions/Mastitis/Pages/Treatment.aspx
sumber imej: http://mybreastthoughts.blogspot.my/…/breastfeeding-myths.h… dan KKM
Sumber:
Dr Amirul Amzar
Pegawai Perubatan PPUM
No comments:
Post a Comment