Mayat yang masih bertali pusat itu ditemui kira-kira jam 2.30 petang. - Foto Sinar Harian |
DUNGUN: "Nampak tangan terkeluar daripada plastik hitam, kami sangkakan anak patung rupanya-rupanya bayi," kata Mohd Amran Razak, 45 tahun, antara saksi terawal menemui mayat bayi lelaki di tempat pelupusan sampah, Bukit Lat, Kg Serdang.
Mayat yang masih bertali pusat itu ditemui kira-kira jam 2.30 petang.
Mayat bayi malang itu juga dipercayai dibuang ke dalam tong sampah di sekitar Dungun sebelum diangkut oleh lori sampah ke pusat pelupusan tersebut.
Mohd Amran berkata, salah seorang kawannya yang juga pemungut sampah memanggilnya mengatakan ada patung 'baby' di dalam plastik hitam.
Bagaimanapun, dia amat terkejut apabila plastik hitam dikoyak rupanya-rupanya objek itu adalah seorang bayi lelaki.
"Apabila dikoyak terkeluar tangan, kami sangkakan patung tetapi apabila dikoyak keseluruhan rupanya-rupanya bayi yang masih bertali pusat.
"Saya tekan di bahagian lengan untuk kesahihan sama ada patung atau bayi dan memang itu adalah bayi," katanya.
Katanya, menyedari objek itu bukan anak patung, dia segera menghubungi polis.
"Memang tidak sangka dan sepanjang lapan tahun bekerja sebagai pengutip sampah di sini tidak pernah berlaku kejadian seperti ini.
"Memang saya sedih tambahan pula sekarang bulan puasa,"katanya.
Rakannya, Noriati Hamzah, 49 tahun, berkata dia mengigil kerana terlalu terkejut dengan penemuan mayat bayi malang tersebut.
"Memang saya sangat terkejut dan timbul rasa sedih sehingga mengeletar tubuh badan melihat kejadian seperti ini.
"Saya lihat keadaan itu, saya cakap kasihannya dekat bayi ini sanggup diperlakukan sedemikian.
"Saya bekerja di sini sejak tahun 2015 dan ini kejadian paling menyayat hati," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superitendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Pasukan forensik dikejarkan ke lokasi untuk tindakan lanjut sebelum mayat dibawa ke Hospital Dungun.
Pihak polis juga telah mengarahkan penyiasatan dan pemeriksaan di seluruh klinik kesihatan serta hospital bagi mencari pihak tidak bertanggungjawab sekiranya ada mendapatkan rawatan selepas melahirkan bayi.
Sumber : http://www.astroawani.com
No comments:
Post a Comment