Pada satu malam, tiba-tiba anak anda mengadu sakit kaki tanpa apa-apa sebab. Puaslah mengurut dan memujuk untuk sejam lebih, barulah sakit itu hilang dan anak anda tidur semula. Dan perkara ini berlaku bukan sekali dua. Malah setiap minggu.
Anda sakit kepala dan pening memikirkan apakah yang sedang dihadapi oleh anak anda.
Pernahkah anda sebagai ibubapa mempunyai anak seperti ini?
Ada yang mengatakan ini adalah sakit disebabkan kanak-kanak itu sedang membesar(Growing pain). Masalah ini selalunya berlaku pada kanak-kanak berumur 3 hingga 5 tahun. Kemudian ia akan menyerang semula pada umur 8 hingga 12 tahun.
Walaupun kanak-kanak tersebut mengalami sakit pada kaki, selalunya mereka tidak akan berjalan terhincut-hincut seperti sakit orang dewasa. Ini kadang-kadang membuatkan ibubapa merasakan anaknya itu sedang berlakon. Tetapi tidak, anak anda memang dalam kesakitan.
Punca kepada masalah ini
Walaupun dalam istilah orang biasa kita panggil masalah ini sebagai ‘growing pain’, tetapi masih tiada lagi bukti dan kajian yang menunjukkan perkara ini berkait dengan tumbesaran seseorang kanak-kanak. Disebabkan itu ada sebahagian doktor memanggil masalah ini sebagai ‘recurrent nocturnal limb pain in children‘
Nocturnal bermaksud waktu malam
Limb bermaksud anggota badan seperti kaki dan tangan
Oleh itu, ‘recurrent nocturnal limb pain in children‘ bermaksud kesakitan anggota badan pada kanak-kanak yang berlaku pada waktu malam secara berulang kali.
Disebabkan ia tidak berkait dengan tumbesaran seseorang kanak-kanak, kebanyakan doktor merasakan masalah ini mungkin disebabkan otot kaki yang digunakan secara berlebihan oleh seseorang kanak-kanak.
Kajian juga menemukan bahawa ‘Growing pain’ ini didapati lebih banyak berlaku pada kanak-kanak yang pada waktu paginya aktif bermain ataupun bersukan.
Ia juga banyak dijumpai pada kanak-kanak yang mempunyai sendi yang longgar dan fleksibel. Contohnya seperti anak saya, dia boleh menggerakkan sendi lututnya ke kiri dan ke kanan. Mungkin sebab itu juga dia selalu mengadu sakit kaki diwaktu malam.
Simptom dan tanda tanda kepada masalah sakit kaki disebabkan tumbersaran?
Growing pain ini selalunya menyebabkan rasa sakit yang teruk seolah-olah seperti rasa kejang kaki. Ia akan melibatkan kedua-dua belah kaki.Masalah ini selalunya berlaku pada waktu petang atau malam terutamanya jika pada waktu paginya kanak-kanak tersebut terlalu aktif. Ia tidak akan berlaku waktu awal pagi.
Kanak-kanak ini juga tidak akan mengalami gaya jalan yang terhincut-hincut walaupun dia sedang mengalami sakit kaki.
Jika anak anda mempunyai simptom selain daripada yang diceritakan diatas, seperti sakit disebelah kaki sahaja, berjalan terhincut-hincut dan berlaku pada waktu pagi, anda dinasihati untuk membawa anak anda berjumpa dengan doktor
Apa yang perlu anda buat?
Satu rawatan yang telah terbukti dapat mengurangkan kesakitan itu adalah dengan meregangkan otot tersebut.Sebagai contoh, jika sakit itu berlaku dibahagian hadapan betis, anda boleh melipatkan lutut sehingga betis bertemu peha supaya bahagian hadapan betis meregang dan menegang.
Jika sakit itu berlaku di bahagian belakang lutut, luruskan lutut tersebut supaya ia meregang.
Jika masih tidak boleh, ibubapa boleh memberikan kanak-kanak tersebut ubat tahan sakit seperti paracetamol dan juga ibuprofen untuk mengurangkan sakit tersebut.
Anda juga boleh mencuba dengan mengurut kaki anak anda ataupun menggunakan tuala yang dipanaskan. Ibubapa diminta untuk berhati-hati bila menggunakan objek yang panas untuk rawatan ini
Bila perlu berjumpa dengan doktor?
Walaupun ‘growing pain’ ini adalah sesuatu yang normal bagi kanak-kanak, tetapi ibubapa perlulah membawa anak mereka jika mempunyai tanda-tanda yang lain. Tanda-tanda tersebut adalah:- Sakit pada sebelah kaki sahaja
- Sakit pada sendi selain kaki
- Sakit yang berlaku sepanjang malam hingga ke waktu pagi
- Sendi yang bengkak
- Demam
- Berjalan terhincut ataupun tidak mahu berjalan
- Ini kerana terdapat keadaan lain seperti jangkitan kuman pada sendi (septic arthritis) yang boleh meragut nyawa kanak-kanak tersebut. Ia juga boleh disebabkan perkara lain seperti patah ataupun keretakan pada tulang.
Rujukan:
Growing pains (recurrent limb pain in children). NHS choices. Dirujuk pada 18 Jun 2018. (Link)
Growin pains. WebMd. Dirujuk pada 18 Jun 2018. (Link)
fEvans, A. M. (2008). Growing pains: contemporary knowledge and recommended practice. Journal of Foot and Ankle Research, 1, 4. http://doi.org/10.1186/1757-1146-1-4
No comments:
Post a Comment