Sentiasa berada bersama-sama anak setiap masa, melakukan aktiviti setiap hari bersama, sentiasa melindungi anak dari segala mara bahaya, nak marah sedikit pun tak boleh hanya semata-mata untuk melihat mereka tidak sedih ataupun marah. Mungkin perkara ini baik di mata ibubapa. Tetapi ia juga akan menjadikan kanak-kanak tersebut seorang individu yang tidak mempunyai emosi yang seimbang.
Bila kanak-kanak itu marah dia tidak mampu mengawal marahnya. Bila dia sedih dia tidak mampu mengawal kesedihannya. Bukanlah kita melarang untuk ibubapa melindungi anak-anak mereka. Perkataan yang sesuai disini adalah jangan berlebih-lebihan samada melindungi mereka ataupun melepaskan mereka hingga mereka bebas berbuat sesuka hati
Kajian berkenaan ibubapa yang berlebihan dalam melindungi dan mengawal anak-anak mereka (Boleh dikatakan mereka yang memanjakan anak mereka secara berlebihan)
Menurut satu kajian berkenaan dengan psikologi perkembangan, kanak-kanak yang mempunyai ibu yang terlalu mengawalnya bermula pada umur 2 tahun akan mempunyai masalah untuk mengawal emosi dan juga sikapnya apabila telah mencapai umur 5 hingga 10 tahun berbanding dengan ibu yang mengambil langkah yang lebih santai. Santai disini bukan bermaksud tidak berbuat apa-apa
“Ibubapa yang berlebihan mengawal anaknya adalah mereka yang mempunyai niat untuk menyokong anak mereka dan sentiasa membantu mereka,” Jelas Dr Nicole Perry ketika memberitahu wartawan The Guardian. “Tetapi, untuk mengembangkan emosi dan juga sikap kanak-kanak, ibubapa perlu membenarkan kanak-kanak mengalami kesemua jenis emosi dan memberikan mereka ruang untuk berlatih cara untuk mengawal emosi tersebut berserta membimbing mereka untuk mengatasi perkara tersebut.”
Sebagai contoh, jika seseorang kanak-kanak itu marah kerana tidak tahu bagaimana untuk memakai sepasang kasut, maka ibubapa perlu mengajarkannya cara untuk pakai kasut, bukan terus pakaikan kasut hanya semata-mata untuk mengelakkan kanak-kanak tersebut marah. Bukan setakat itu, ibubapa juga perlu menerangkan bahawa perasaan yang dihadapi oleh kanak-kanak itu adalah marah dan marah itu adalah sesuatu yang tidak baik.
Begitu juga jika seseorang kanak-kanak itu ketika dalam kesedihan. Kadang-kadang anak kita menangis tanpa sebab. Tapi sebenarnya mesti ada sebab. Apa yang perlu kita buat adalah meminta anak kita bercakap kenapa dia sedih atau menangis?
“Adik, adik menangis sebab apa? Kalau tak bagitahu abah, abah pun tak tahu adik menangis sebab apa.”
Ini penting untuk mengajar anak kita supaya bila rasa sedih, dia perlu cari seseorang untuk dia menceritakan kesedihan dia. Bukan hanya simpan dalam hatinya ataupun mengekspresikan dengan cara yang salah seperti marah, tidak buat kerja, merosakkan barang dan sebagainya.
Bukan juga, kita hidangkan dengan permainan telefon hanya semata-mata untuk dia diam. Katanya sayang anak, tak nak bagi kanak-kanak itu menangis dan tertekan. Tetapi cara ini akan mengajar anak bukan sahaja tidak menyelesaikan masalah yang dihadapi. Malah cuba melupakan masalah tersebut dengan cara yang salah.
Bagaimana kajian ini dibuat?
Kajian ini melibatkan 422 kanak-kanak yang berumur dari 2 hingga 10 tahun. Ia memeriksa hubungan diantara ibubapa dan juga emosi kanak-kanak berserta skil kanak-kanak tersebut apabila berhadapan dengan tugasan ataupun kemampuan untuk menahan marah/ menahan dari melakukan perkara yang tidak sepatutnya.Pada pemerhatian yang pertama iaitu pada kanak-kanak berumur 2 tahun, pengkaji telah menentukan tahap kawalan seseorang ibu itu terhadap anaknya dalam sesi 4 minit ketika bermain dan juga 2 minit sesi ketika mengemaskan permainan tersebut. 3 tahun kemudian ketika kanak-kanak tersebut mencapai umur 5 tahun, sikap mereka dilihat pada laporan di sekolah mereka dan juga ujian yang diberikan oleh pengkaji. (Dalam kajian tersebut mereka mengambil gula-gula yang sedang kanak-kanak itu makan dan pengkaji tersebut memakannya dihadapan mereka. Reaksi kanak-kanak tersebut akan dilihat apabila berhadapan dengan keadaan itu)
Pada umur 10 tahun, sikap kanak-kanak tersebut akan dilihat semula dari laporan guru disekolah dan juga survey yang akan dijawab oleh kanak-kanak tersebut.
Seperti yang dijangkakan oleh pengkaji, kanak-kanak yang mempunyai ibu yang kurang mengawal(memanjakan0 anak-anak mereka mempunyai kemampuan untuk mengawal emosi dan mengawal kelakuan pada umur 5 tahun. Kemudiannya, pada umur 10 tahun mereka mempunyai kematangan emosi, boleh bersosial dan mempunyai keputusan akademik yang lebih baik berbanding yang lain.
Pengkaji tersebut membuat kesimpulan,
“Oleh itu, kanak-kanak yang berkemampuan untuk menahan rangsangan negatif dalam konteks emosi dan juga mampu menahan perbuatan yang negatif ketika berhadapan dengan sesuatu situasi didapati akan lebih mudah untuk menyesuaikan diri ketika berhadapan dengan persekitaran yang menekan ketika sedang membesar”.
Akan tetapi, perlu diketahui bahawa kaedah ini bukanlah 100% sempurna. Satu faktor yang menghadkan kajian ini adalah layanan ibubapa kepada anak-anak akan berubah ketika mana kanak-kanak tersebut membesar dan ia tidak boleh dipukul rata dengan pemerhatian selama 6 minit ketika kanak-kanak tersebut berumur 2 tahun. Kita tidak tahu samada mungkin pada hari tersebut, kanak-kanak itu sedang bersedih ataupun marah.
Tapi apa yang kita tahu adalah pentingnya untuk seseorang kanak-kanak itu merasai pelbagai jenis emosi. Ibubapalah yang perlu menunjukkan cara-cara untuk anak-anak tersebut mengawal emosinya.
Kalau kita tidak mula sekarang, tidak hairanlah mungkin masa hadapan nanti anak kita akan tumbuk muka cikgunya hanya kerana kita tidak mengajarkan dia cara untuk mengawal kemarahannya. Lebih teruk lagi mungkin kita sebagai ibubapa juga akan terkena tempias kemarahannya.
Sumber : rootofscience
No comments:
Post a Comment