Cadang Wujudkan Pusat Penjagaan Bayi Di Semua Hospital - Bonda

Saturday, 7 July 2018

Cadang Wujudkan Pusat Penjagaan Bayi Di Semua Hospital

MENTERI Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad (belakang,empat,kanan) pada Majlis Sambutan Aidilfitri Hospital Putrajaya. Turut kelihatan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah (belakang,lima,kanan). - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan bercadang menubuhkan pusat penjagaan khusus untuk bayi atau Creche di semua hospital dan agensi di bawah kementeriannya selewat lewatnya awal tahun depan.

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sehingga kini, sebanyak 35 daripada 144 institusi kesihatan sudah mempunyai Creche dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA).

Katanya, dari segi pelaksanaan infratruktur pula, kewangan dan kos akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet akan datang supaya penubuhan berkenaan dapat dipercepatkan.

"Pusat penjagaan ini khusus untuk bayi sahaja, ia bukan taska. Pelaksanaan ini adalah ikhtiar kepada tragedi yang menimpa bayi lima bulan, Adam Rayqal supaya kejadian sama tidak berulang pada masa depan.

"Kita juga melihat ada keperluan supaya pusat jagaan ini beroperasi secara 24 jam kerana penjawat awam terutama di hospital bekerja secara syif. Buat masa ini, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, Pahang mempunyai Creche yang beroperasi 24 jam.

"HTAA boleh dijadikan sebagai model kepada hospital awam lain untuk menubuhkan Creche yang sama seperti hospital berkenaan," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri 2018 Hospital Putrajaya, di sini hari ini.

Dr Dzulkefly berkata, buat masa ini, pihaknya belum berbincang dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), namun menyokong hasrat kementerian terbabit yang menyasarkan semua agensi kerajaan untuk menubuhkan pusat jagaan kanak kanak menjelang awal tahun depan.

"Buat masa ini, tiada perbincangan khusus mengenainya namun, kami berada di landasan sama menubuhkan pusat jagaan terbabit bagi membantu ibu bapa yang bekerja di bawah agensi masing masing," katanya.

Rabu lalu, media melaporkan polis menemui mayat Adam Rayqal Mohd Sufi Naef yang sebelum ini dilaporkan hilang selepas didakwa diambil seorang lelaki di rumah pengasuhnya di Jalan Nahkoda Kiri Tiga, Kampung Nakhoda, Batu Caves, Selangor.

Pihak polis menemui mayat bayi berkenaan berbalut kain napkin dimasukkan ke dalam beg berwarna hijau sebelum disumbatkan ke bahagian sejuk beku peti ais dua pintu di rumah berkenaan.

Sumber : Berita Harian

No comments:

Post a Comment