Kehamilan Usia Muda Undang Bahaya - Bonda

Saturday, 7 July 2018

Kehamilan Usia Muda Undang Bahaya


Perkahwinan bawah usia membabitkan kanak-kanak perempuan perlu diberi perhatian serius memandangkan pada usia berkenaan secara biologi mereka belum bersedia menjalani proses kehamilan secara sihat.

Wanita hamil pada usia terlalu muda berisiko dua kali ganda berlaku kematian dan bayi dilahirkan cacat selain bahayakan kesihatan ibu sepanjang tempoh kehamilan.

Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi Hospital Thomson Kota Damansara Petaling Jaya, Dr Navdeep Singh Pannu, berkata sistem ketahanan diri perempuan yang dikategorikan masih kanak-kanak amat rapuh berbanding wanita dewasa.

Katanya, pada usia 11 hingga 14 tahun, adalah tempoh agresif proses tumbesaran kanak-kanak perempuan dan berlaku perubahan hormon yang tidak stabil.

"Dalam proses tumbesaran ini juga, kanak-kanak memerlukan zat mencukupi, bayangkan kalau taraf kehidupannya kategori susah, sukar baginya mendapatkan nutrisi mencukupi.

"Secara biologi kanak-kanak terbabit belum bersedia berkahwin apatah lagi mengandungkan bayi di dalam rahimnya.

"Dikhuatiri proses tumbesaran bayi terbantut kerana tidak mendapat zat mencukupi demi kelangsungan hidup selain risiko kelahiran pramatang.

"Kesannya mendedahkan risiko kematian sama ada ibu, bayi atau kedua-duanya sekali," katanya kepada BH Online.

Isu perkahwinan kanak-kanak menjadi tumpuan selepas seorang lelaki Kelantan berusia 41 tahun berkahwin dengan seorang kanak-kanak warga asing berusia 11 tahun sebagai isteri ketiganya, di selatan Thailand, baru-baru ini.

BACA JUGA : Kahwin Muda Ganggu Emosi

Dr Navdeep yang juga Pakar Kesuburan TMC berkata, memang tidak dinafikan pada usia berkenaan, kanak-kanak terlalu subur mengandung tetapi faktor fizikal tidak membenarkan mereka berbuat demikian.

Pada usia terlalu muda, beliau berkata adakah kanak-kanak bersedia melakukan hubungan intim selepas berstatus isteri.

"Kanak-kanak memiliki bentuk tulang pinggul yang kecil dan tidak mampu menampung bayi yang dikandungnya. Selalunya, kanak-kanak bawah umur yang mengandung apabila bersalin dilakukan secara pembedahan dan bukannya kelahiran normal.

"Dalam tempoh mengandung kanak-kanak terbabit boleh mengalami masalah tekanan kerana jiwanya sendiri belum bersedia menjadi ibu.

"Mereka masih tidak mampu membuat keputusan matang mengenai perkara yang mengubah hidup," katanya.

Sumber : Berita Harian

No comments:

Post a Comment