Produk Mengandungi Asbestos: Johnson & Johnson Diarah Bayar ASD4.7 Bilion - Bonda

Friday 13 July 2018

Produk Mengandungi Asbestos: Johnson & Johnson Diarah Bayar ASD4.7 Bilion


NEW YORK: Syarikat Johnson & Johnson diperintah membayar pampasan berjumlah AS$4.69 billion atau RM18.98 billion kepada 22 wanita dan keluarga mereka yang mendakwa bedak talkum bayi syarikat berkenaan mengandungi asbestos penyebab kanser.

Ini merupakan perkembangan terkini dalam keputusan kes itu yang menyaksikan ribuan saman difailkan ke atas syarikat farmasi gergasi Amerika Syarikat itu.

Menurut peguam mangsa, Mark Lanier, barisan juri yang terdiri daripada enam lelaki dan enam wanita di St Louis, Missouri, berpihak kepada mangsa selepas melalui proses perbicaraan selama enam minggu.

Perbincangan pihak juri telah memakan masa selama lapan jam.

Bayaran AS$4.69 bilion itu termasuk pampasan bernilai AS$550 juta serta lebih AS$4.1 bilion ganti rugi punitif.

Plaintif menyatakan, bedak talkum yang digunakan untuk kebersihan diri menjadi penyebab kepada kanser ovari.

Dalam satu lagi kenyataan, Lanier berkata, Johnson & Johnson telah menutup bukti kehadiran asbestos dalam produk mereka selama lebih 40 tahun.

Beliau turut menggesa agar bedak talkum itu ditarik daripada pasaran.

Bagi pihak Johnson & Johnson pula, syarikat itu amat kecewa dengan keputusan mahkamah berkenaan.

Dalam kenyataannya, ia menyifatkan perbicaraan dijalankan melalui proses yang pada asasnya tidak adil.

Ini kerana, dakwa Johnson & Johnson, ia membolehkan plaintif diwakili kumpulan 22 wanita, kebanyakannya tiada kaitan dengan Missouri, dalam satu kes tunggal yang mendakwa kesemua mereka mendapat kanser ovari.

Justeru syarikat berkenaan akan mengemukakan rayuan memandangkan mereka yakin bahawa bedak talkum keluarannya tidak mengandungi asbestos atau penyebab kanser ovari.

Sumber : Astro Awani

No comments:

Post a Comment