abil Fikri bersama anak tunggal kesayangannya, Naufal Amsyar yang disahkan meninggal di Hospital Pakar Sultanah Fatimah pagi ini. |
MUAR: “Sebagai bapa, saya ralat dengan apa yang terjadi. Kalau disebabkan kecuaian, saya faham. Namun jika sebaliknya, saya minta keadilan untuk anak saya,”.
Demikian merupakan luahan hati bapa bayi malang, Naufal Amsyar Nabil Fikri 10 bulan yang meninggal dunia hari ini selepas dipercayai terjatuh dari buaian di rumah pengasuhnya di Taman Sialang, Tangkak Muar Johor.
Nabil Fikri Anwar, 28 tahun berkata, dia dan isteri kini memberi tumpuan kepada urusan pengkebumian Naufal Amsyar yang mengalami kecederaan parah di kepala termasuk lebam dahi kiri, pendarahan di mata serta tempurung kepala retak.
Menceritakan lebih lanjut, Nabil Fikri berkata, beberapa jam sebelum anak tunggalnya itu menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), ujian neurologi telah dijalankan dan keputusan perkembangan keadaan anaknya adalah negatif.
Sejurus sahaja mengetahui keputusan itu, Nabil Fikri dan isteri, Noraziqah Rohmat, 23 tahun hanya berserah kepada Ilahi walaupun mengharapkan Naufal Amsyar kembali pulih seperti biasa.
Namun, dia reda apabila anaknya itu menghembuskan nafas terakhir pada jam 9 pagi dan menerima takdir yang telah ditentukan untuknya dan isteri.
“Kami terima takdir ini dan hanya dapat bersama dengan Naufal Amsyar selama 10 bulan sahaja.
“Saya cuma hendak tahu apa yang sebenarnya berlaku. Sekarang ini kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk meneliti hasil bedah siasat sekali gus mendapatkan punca apa yang sebenarnya berlaku.
“Saya tidak mahu tuduh atau tuding jari kepada mana-mana pihak. Saya sedia beri kerjasama demi keadilan anak saya,” katanya ketika ditemui di pekarangan HPSF, Muar pada Sabtu.
Nabil Fikri hanya menagih kejujuran dan ketelusan daripada pengasuh anaknya supaya menceritakan perkara sebenar yang berlaku.
Selasa lalu, bayi malang terbabit dimasukkan ke HPSF setelah dirujuk dari Hospital Tangkak apabila terdapat kesan lebam di dahi kiri, pendarahan mata selain retak tempurung kepala yang serius.
Naufal Amsyar dipercayai terjatuh dari buaian sebanyak dua kali sebelum ini ketika berada di rumah pengasuh di Taman Sialang, Tangkak.
Ekoran itu, seorang wanita berusia 35 tahun yang juga pengasuh bayi terbabit kini direman polis selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1) (A) Akta Kanak-Kanak 2001.
Dalam pada itu, jenazah Naufal Amsyar dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kontang setelah urusan bedah siasat selesai dilakukan.
Sehingga jam 3 petang ini, proses bedah siasat masih belum selesai.
Sumber : Astro Awani
No comments:
Post a Comment