Situasi: Seorang bayi perempuan yang comel tersedu selang beberapa saat dalam jangka masa lima minit. Mak mula berasa bimbang, kasihan meilhat anak kecilnya yang semakin keletihan. Ibu mentua di sebelah, mula memberi cadangan agar meletakkan cebisan gigitan kain napkin atau tisu dan letakkan di dahi si comel.
Situasi sebegini antara yang disarankan oleh orang tua dahulu apabila melihat bayi sedu. Ada juga yang berpendapat bayi itu mahu membesar. Sedu bukanlah sesuatu yang serius. Ia lebih membimbangkan ibu bapa daripada memberi kesan buruk kepada bayi. Baca saranan Dato Dr Azizon Othman agar ibu dapat hilangkan sedu bayi dengan cepat dan selamat.
4 Cara Ini Dapat Elakkan Bayi Sedu
Pertama : Jangan Halang Bayi Bernafas
Jangan menghalang bayi dari bernafas, memberikan bayi minum air dengan pantas, menarik lidah bayi keluar menggigit lemon atau memberikan ‘smelling salts’. Ibu bapa juga perlu elakkan menyergah bayi, menekan kedua-dua matanya atau ubun-ubun seperti yang dilakukan oleh sesetengah masyarakat.
Kedua : Beri Bayi Susu Beransur-ansur
Ibu bapa juga perlu memberikan bayi minum susu atau makan secara beransur-ansur (tidak terlalu gopoh), tenangkan bayi dan tegakkan badan bayi.
Ketiga : Burp Bayi Lepas Minum
Cuba keluarkan angin (burp) bayi selepas minum. Minum terlalu banyak dan terlalu cepat juga akan menyebabkan perut bayi membesar atau mengembang dengan cepat sekaligus menyebabkan bayi sedu.
Keempat : Jangan Bagi Bayi Telan Udara Berlebihan
Elakkan bayi daripada menelan terlalu banyak udara semasa menyusu. Ibu boleh lakukan ini: Tegakkan sedikit badan bayi. Perlu juga dipastikan seluruh puting dan areola masuk ke mulut bayi (semasa penyusuan susu ibu).
Pastikan sebahagian besar puting masuk ke mulut bayi (semasa bayi menyusu susu formula) dan sengetkan botol sedikit sahaja, supaya tiada ruang udara pada puting.
7 Tip Hilangkan Sedu Bayi
Ada caranya untuk kurangkan sedu bayi anda. Panduan ini ibu kena fahamkan betul-betul agar tak tersalah konsep.
1. Ibu bapa perlu bertenang.
2. Tenangkan bayi dengan mengubah bayi ke tempat yang lebih selesa.
3. Berhenti menyusu atau minum. Sebaliknya tegakkan badan bayi dan keluarkan angin (burp).
4. Boleh beri minum sedikit air.
5. Urut belakang bayi. Boleh letakkan bayi dalam pelukan di atas bahu dan terus mengurut belakang bayi.
6. Boleh cuba berikan bayi anda menghisap puting getah (pacifier) jika sedunya terlalu teruk. Hisapan ini akan merangsang pergerakan perut dan usus bayi malah ia dapat membantu.
Bagi merangsang bayi menghisap puting getah, boleh letakkan sedikit madu atau gula. Namun penggunaan puting getah selepas anak berumur lebih dua tahun tidak digalakkan kerana ia akan mengakibatkan pertumbuhan gigi kurang baik (misalign).
7. Dari segi perubatan, masih belum diketahui kelebihan sedu pada bayi. Walau bagaimanapun, pasti setiap kejadian yang tuhan ciptakan itu bukanlah sesuatu yang sia-sia. Semoga dengan sedikit penerangan ini akan membantu ‘Mama’ di luar sana berhadapan dengan situasi sedu bayi anda.
Fakta Kejadian Sedu Bayi
Sedu terhasil apabila berlakunya kontraksi (pengecutan) secara mengejut dan involuntary pada otot-otot diafragma apabila terdapat stimulasi dan iritasi pada diafragma. Diafragma ialah otot yang mengawal pergerakan kaviti pernafasan atau otot yang membantu tulang rusuk bergerak.
Dengan itu, ia membantu proses pernafasan (paru-paru mengembang dan menguncup). Apabila diafragma menguncup, peti suara tertutup dengan serta merta dan menghasilkan bunyi sedu. Ia kerap berlaku pada bayi kerana otot bayi tidak matang.
Sedu berlaku secara berima. Selalunya ia tidak lama, mungkin lima ke 10 minit. Sekiranya berlaku untuk jangka waktu yang lama (beberapa jam atau lebih) pastikan ibu bawa bawa anak anda ke klinik atau hospital untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut oleh doktor.
Sebab Tu Kena Pastikan Bayi Minum Perlahan-lahan
Sedu boleh terjadi apabila bayi minum atau makan terlalu banyak dan terlalu cepat. Menurut Dr Lynnette Mazur, profesor pediatrik di Universiti of Texas, sedu disebabkan bayi minum susu badan atau susu formula ataupun makan.
Udara yang sejuk juga boleh merangsang sedu. Sebab-sebab lain jarang berlaku pada bayi seperti ‘gastroesophageal reflux disease’, iaitu penyakit yang menyebabkan iritasi pada saraf yang mengawal diafragma, penggunaan ubat tertentu atau terhidu gas beracun.
Berkesan Ke Letak Kertas Atau Tisu Pada Dahi Bayi
Begitulah halnya dengan meletakkan, kertas putih atau cebisan kain lampin pada dahi bayi untuk menghalang sedu. Ia lebih kepada kepercayaan orang-orang tua. Yang mana, hal ini tidak dapat dibuktikan melalui kajian.
DENGAN KERJASAMA DATO DR AZIZON OTHMAN, PAKAR PERUNDING KANAN PATOLOGI (HEMATOLOGI) DAN KETUA JABATAN PATOLOGI HOSPITAL TUANKU JA’AFAR, SEREMBAN
Sumber : Mingguan Wanita
No comments:
Post a Comment