Apakah najis bayi yang normal?
Sebagai ibu, agak menakjubkan berapa banyak masa yang kita habiskan untuk memeriksa najis bayi kita dalam usaha untuk menentukan sama ada kekerapan, warna dan kepejalan najis itu normal ataupun tidak. Sebenarnya, apa yang normal bagi bayi anda bergantung kepada usia bayi, sama ada dia menyusu badan atau diberikan susu formula, dan sama ada dia sudah mula makan makanan pejal. Najis bayi anda akan sentiasa berubah mengikut pembesarannya, bermula daripada dia baru dilahirkan hinggalah ke penghujung tahun pertama usianya. Sepanjang tempoh itu anda akan lebih faham tentang apa yang normal baginya.Tiada kekerapan membuang air besar yang boleh dikatakan tepat dan berapa kalikah yang dikira paling baik. Bagi bayi yang baru dilahirkan, ini bergantung kepada sama ada dia menyusu badan atau diberi susu formula. Bayi yang menyusu badan tanpa memakan makanan pejal akan membuang air besar lebih kurang empat kali sehari, namun membuang air besar sekali dalam tiga hari juga dianggap normal dan anda tidak perlu risau mengenai kekerapannya selagi najis bayi lembut dan mudah keluar. Walau bagaimanapun, bayi yang menyusu formula selalunya perlu membuang air besar setiap hari untuk mengelakkan sembelit.
Najis bayi anda akan sentiasa berubah dari segi kepejalan dan warna, daripada lembut dan berwarna kuning cair kepada warna kuning dengan tompok-tompok hijau, dan seterusnya berubah lagi pada keesokan harinya. Ini adalah normal.
Apa yang akan dibuang oleh bayi saya yang baru lahir?
Untuk beberapa hari pertama selepas dilahirkan, bayi anda akan membuang najis yang dipanggil mekonium. Ini merupakan bahan melekit berwarna hitam kehijauan yang terkumpul dalam usus bayi semasa dalam rahim dan komposisinya ialah hempedu, mukus, sel dari dinding usus, rembesan dan cecair amnion. Walaupun kotoran ini sukar ditanggalkan, mekonium adalah petanda bahawa usus bayi anda berfungsi dengan baik.Selepas satu atau dua hari, apabila penyusuan menjadi kebiasaan dan semua mekonium telah dikeluarkan, warna najis akan menjadi hijau kecoklatan, lembut dan berbiji sebelum menjadi lebih kekuningan.
Bagaimanakah rupa najis bayi saya jika saya memberinya susu badan?
Najis bayi yang menyusu badan dan bayi yang diberikan susu formula adalah berbeza. Kolostrum dari "susu pertama" anda bertindak sebagai julap yang membantu menolak mekonium keluar daripada badan bayi anda. Setelah anda mula menghasilkan susu dengan sempurna, iaitu selepas kira-kira tiga hari, najis bayi anda akan berubah menjadi kuning cerah seperti biji sawi dan baunya kemanis-manisan. Najis itu agak lembik tetapi bertekstur, kadang-kala kelihatan berbiji-biji atau kelihatan berketul seperti susu masam.Pada minggu-minggu terawal, bayi anda akan membuang air besar semasa atau selepas setiap kali menyusu, tetapi ini akan berkurangan dan dia akan mempunyai rutinnya sendiri, selalunya membuang air besar pada masa yang sama setiap hari. Rutin ini akan berubah dari semasa ke semasa bergantung kepada situasi, contohnya, rutin akan bertukar apabila anda mula memberinya makanan pejal, apabila bayi kurang sihat, atau jika dia mula kurang menyusu.
Bagaimanakah rupa najis bayi saya jika saya memberinya susu formula?
Jika bayi anda meminum susu formula, najisnya akan berwarna kuning pucat atau coklat kekuningan, dan sisa susu formula akan menjadikannya kelihatan lebih besar dan lebih terbentuk berbanding najis bayi yang diberikan susu badan. Ini kerana susu formula tidak dapat dicernakan sepenuhnya berbanding susu badan. Baunya juga lebih kuat, seakan-akan najis orang dewasa.Lazimnya, bayi yang diberikan susu formula perlu membuang air besar sekali sehari untuk merasa selesa kerana najisnya lebih besar. Lebih lama najis berada dalam usus, lebih keras ia akan jadi dan lebih sukar untuk dikeluarkan sehingga boleh menyebabkan sembelit. Bincanglah dengan pakar pediatrik anda jika anda rasa bayi anda mempunyai masalah ini.
Jika kami bertukar dari susu badan ke susu formula, bagaimanakah kesannya ke atas najis bayi saya?
Jika anda bertukar dari susu badan ke susu formula, adalah penting bagi anda melakukannya secara perlahan-lahan, iaitu, biarlah pertukaran ini mengambil masa sekurang-kurangnya dua minggu. Ini akan memberikan masa bagi sistem perncernaan bayi anda membuat penyesuaian dan mengelakkan sembelit. Dan bagi diri anda pula, ini dapat mengurangkan risiko buah dada bengkak dan sakit. Sebaik sahaja bayi anda dapat menyesuaikan diri dengan susu formula, cara dia membuang air besar akan bertukar lagi!
Apakah kesannya apabila bayi saya sudah mula memakan makanan pejal?
Perubahan terbesar pada najis bayi anda akan berlaku apabila anda mula memberikannya makanan pejal. Ketika ini, najis sudah tidak mudah dibersihkan dan tidak berbau manis seperti dulu. Dengan makanan pejal, apa yang masuk akan keluar dalam bentuk yang agak sama. Maksudnya, apabila anda memberinya lobak merah lenyek, kandungan lampin bayi akan berwarna jingga cerah.Begitu juga apabila bayi anda mula memakan pelbagai jenis makanan, najisnya akan menjadi lebih pekat, gelap dan berbau! Makanan yang lebih bertekstur, iaitu makanan yang kaya dengan serat seperti kismis dan kacang panggang susah untuk dicerna, sehinggalah satu masa kelak apabila sistem pencernaan bayi menjadi matang secukupnya dan dapat mencerna dengan sempurna.
Apa najis bayi yang tidak normal?
Cirit-birit
Simptom-simptom cirit-birit termasuklah:najis yang sangat cair;
dalam jumlah yang lebih banyak dan lebih kerap;
najis yang memancut keluar dari punggung bayi anda.
Bayi yang diberikan susu badan kurang cenderung menghidap cirit-birit kerana susu badan membantu merencatkan mikroorganisma yang menjadi puncanya.
Bayi yang diberikan susu formula lebih cenderung mendapat jangkitan. Oleh itu adalah penting bagi anda mensterilkan peralatan dan mencuci tangan anda sekerap mungkin.
Punca cirit-birit termasuk:
jangkitan seperti gastroenteritis;
mengambil terlalu banyak buah-buahan atau jus;
pengambilan ubat atau kesensitifan atau alahan terhadap sesuatu makanan.
Cirit-birit biasanya sembuh tanpa rawatan dalam masa 24 jam, tetapi jika tidak, dapatkan pemeriksaan doktor. Para ibu selalunya beranggapan bahawa puncanya ialah susu formula bayi, tetapi sebelum menukar kepada jenama lain, bincanglah dengan doktor anda untuk memastikan tidak terdapat sebarang punca lain.
Sembelit
Sembelit bukan setakat bayi anda terpaksa meneran semasa membuang air besar sehingga merah seluruh mukanya. Simptom-simptomnya termasuklah kesukaran mengeluarkan najis -- yang berbentuk seperti batu-batu kecil yang kering -- sakit perut dan perut keras, kejengkelan dan kadang kala terdapat darah pada najis yang mungkin disebabkan oleh rekahan pada dubur akibat pengeluaran najis yang keras. Bayi yang diberi susu badan jarang mengalami masalah ini berbanding bayi yang diberi susu formula kerana susu ibu mengandungi kesemua nutrien yang diperlukan untuk mengekalkan kelembutan najis.Jika bayi anda mengalami sembelit, bawalah dia berjumpa doktor, terutamanya jika terdapat darah dalam najis, supaya dapat diketahui puncanya. Bagi bayi yang sudah mengambil makanan pejal, mungkin doktor akan menasihatkan anda supaya meningkatkan jumlah cecair dan serat dalam dietnya. Ini boleh dilakukan dengan memberikannya buah prun atau aprikot yang dikisar.
Najis hijau
Jika najis bayi anda berwarna hijau dan berbuih, besar kemungkinan bayi mengambil terlalu banyak laktosa (gula asli yang terdapat dalam susu) yang boleh berlaku jika dia kerap menyusu tetapi tidak mendapat susu yang lemak yang boleh mengenyangkan. Ia juga mungkin disebabkan terlebih penyusuan atau kurang penyusuan, atau ia adalah tanda bahawa terdapat kuman dalam perut bayi anda.Pastikan bayi anda habis menghisap susu daripada sebelah payudara sebelum beralih ke payudara yang satu lagi. Jika sakit perutnya masih tidak sembuh dalam masa 24 jam, berundinglah dengan doktor anda untuk cuba mencari punca masalahnya kerana ia mungkin disebabkan oleh kesensitifan terhadap makanan, atau ubat yang diambilnya, ataupun rutin penyusuan.
Palitan darah
Palitan darah dalam najis bayi anda akan berlaku jika dia sembelit kerana proses peneranan semasa membuang air besar boleh menyebabkan rekahan pada dubur. Namun begitu, elok jika anda mendapatkan pemeriksaan doktor untuk memastikan ini adalah sebab sebenar dan tiada sebab-sebab lain.Sumber : Baby Center
No comments:
Post a Comment