Menghkhatan Bayi Perempuan - Bonda

Sunday, 5 August 2018

Menghkhatan Bayi Perempuan


Mengkhatan bayi perempuan, atau istilah yang lebih tepat iaitu khifad, adalah amalan biasa bagi masyarakat Melayu Islam di negara ini. Secara amnya, ia merupakan satu prosedur yang selamat dan tidak menyakitkan serta tidak menjejaskan perkembangan bayi.

Apa yang dipotong?

Menurut pakar BabyCenter, Profesor Dr Nik Hazlina Nik Hussain, khifad melibatkan pemotongan sebahagian kecil daging berbentuk balung ayam di atas saluran kencing, iaitu pada bahagian kelentit atau klitoris.

Kaedah yang betul adalah hanya dengan membuang prepuce atau lebihan kulit pada bahagian klitoris sahaja dan tiada jahitan dilakukan pada kemaluan, malah prosesnya juga sangat ringkas dan sepatutnya tidak menyakitkan.

“Ini patut dilakukan sesedikit yang mungkin dan tidak mencacatkan atau memudaratkan bayi tersebut,” katanya.

Apakah usia yang paling sesuai untuk mengkhatankan bayi perempuan saya?

Menurut Profesor Dr Nik Hazlina, lazimnya di Malaysia, kanak-kanak perempuan dikhatankan semasa mereka bayi lagi untuk mengelakkan rasa malu. Waktu yang paling sesuai ialah sebelum bayi tersebut mencapai usia setahun, iaitu sebelum bayi boleh berjalan. Malah, ramai juga kanak-kanak perempuan yang dikhatankan sejurus selepas dilahirkan.

Siapa yang melakukan khatan dan di mana?

Hari ini, ada banyak hospital dan klinik swasta selain kerajaan, menyediakan khidmat mengkhatan bayi perempuan. Kos juga bergantung pada tempat anda mendapatkan perkhidmatan, di mana secara amnya klinik biasanya adalah lebih murah daripada melakukannya di hospital. Sila rujuk hospital atau klinik berhampiran, atau tanya pandangan mereka yang pernah mengkhatankan bayi perempuan mereka.

Selain itu, anda juga boleh mendapatkan bidan terlatih untuk melakukannya di rumah sahaja. Kosnya terpulang kepada siapa yang melakukan prosedur tersebut. Bagi kes yang dilakukan di rumah, biasanya bidan akan melakukannya di rumah semasa mereka berkunjung untuk mengurut atau bertungku ibu yang bersalin semasa dalam pantang lagi.

Di Malaysia, Kementerian Kesihatan ada menjalankan seminar kaedah berkhatan kanak-kanak perempuan. Dengan cara ini, kaedah yang betul diperjelaskan. Jika bidan juga bersama-sama mengikuti seminar itu, pasti kaedah yang sama dilakukan.

Oleh itu bagi ibu bapa yang ingin menghantar anak perempuan mereka berkhatan menggunakan khidmat bidan, mereka seharusnya memilih bidan bertauliah dan sudah menjalani seminar. Ini supaya kaedah yang mereka lakukan selamat dan bersih.

Apa yang akan dirasai bayi saya?

Bukan anda seorang saja yang mungkin gusar memikirkan kesakitan yang akan ditanggung bayi anda apabila dikhatan.

“Biasanya bayi akan menangis buat seketika waktu sahaja seumpama selepas diberi suntikan imunisasi,” kata Profesor Dr Nik Hazlina.

“Selain itu, tiada apa yang hendak dibimbangkan kerana bayi tidak akan memberi apa-apa tindak balas lain,” katanya.

Biasanya akan ada sedikit sahaja darah yang kelihatan pada kapas yang diletakkan pada bahagian yang disunat. Selepas luka itu kering, tiada kesan yang ketara daripada prosedur bersunat tersebut.

Bagaimana menjaga kemaluan bayi saya selepas berkhatan?

Jelas Profesor Dr Hazlina, tiada cara yang spesifik memandangkan kesan prosedur ini tiada banyak bezanya berbanding bayi yang tidak bersunat.

Walau bagaimanapun, jika perlu bolehlah sapukan ubat luka seperti Flavin pada kapas dan letak pada bahagian tersebut untuk seketika waktu sahaja.

Tempoh pemulihan juga sangat singkat, memandangkan lukanya begitu minima dan tiada kesan yang ketara. Oleh itu, bayi perempuan anda tidak perlu mengambil ubat atau makanan atau minuman yang spesifik.

Sumber : Baby Center

No comments:

Post a Comment