Resepi Asyura Kelantan - Bonda

Wednesday, 26 September 2018

Resepi Asyura Kelantan


Hari ini, Bonda akan kongsikan resepi serta cara penyediaan asyura Kelantan yang memang terkenal dengan tempoh memasak yang lama. Oleh itu, penyediaan asyura di belah Pantai Timur dibuat secara bergotong royong bagi membolehkan ianya dikacau secara bergilir gilir. Sekarang ini pun, agak sukar untuk mencari majlis membuat asyura. Mungkinkah kerana kebanyakan anak anak muda telah berhijrah dan bekerja di ibukota. 

Selain dari ubi dan kekacang, asyura Kelantan menggunakan bahan utamanya iaitu rempah asyura yang dikatakan oleh jemaah jemaah Ad Dhuha sebagai berbau seperti makjum. Selain itu dimasukkan juga daging atau ayam yang telah direbus dan disiat halus seperti membuat serunding daging. Kali ini, ianya juga dimasukkan telur. Rasanya ini adalah penambahbaikan kerana saya tak ingat kalau telur dimasukkan di masa dahulu. 

Jemaah lelaki secara bergilir gilir mengacau asyura untuk kedua dua kawah. Bila sepakat, ianya membawa berkat. Kerja berat juga akan menjadi ringan. Selepas penat mengacau, jemaah bergilir untuk menunaikan solat Zohor dan disambung balik selepas solat. Asyura masak sepenuhnya sebelum masuk waktu solat Asar. Hmm bayangkan dari pagi sehingga waktu Asar. Lama kan? 

Ramai jemaah yang menyukai asyura yang lembik. Jadi ianya telah diceduk dan bakinya terus dikacau sehingga ianya sering, iaitu masak pekat dan meletup letup kecil. Asyura kemudian dimasukkan ke dalam bekas plastik yang dilapik dengan daun pisang untuk diagih agihkan. Kali ini, dimasukkan juga kambu, iaitu beras yang digoreng tanpa minyak sehingga garing dan dikisar halus. Banyak juga kuih yang menggunakan kambu seperti kuih Bronok.



Resepi Asyura Kelantan


Bahan bahan:

7 kg beras 
5 kg santan
30 biji telur
20 keping gula Melaka saiz sederhana
1.5 kg bawang merah - goreng dan ramas hancur
4 tin jagung
2 tin jagung manis berkrim
5 kg ubi keledek - potong dadu
1 kg kacang hijau/merah/putih setiap satu - rebus
6 kg gula pasir
7 kg daging - rebus dan siat halus
Garam secukup rasa


Bahan Tumis:

3 kg santan
1 kg rempah asyura
Bahan kisar di bawah

Bahan goreng dan Kisar:
1.5 kg bawang merah
6 labu bawang putih
20 batang serai
1 tapak tangan halia
1 penumbuk lengkuas


Cara cara:

Bahan kisar digoreng seketika dan kisar sehingga hancur. Satukan 3 kg santan dan bahan kisar serta rempah asyura dan dimasak sehingga naik minyak muda.

Rebus beras dengan air secukupnya. Sebahagian beras digoreng tanpa minyak dan dikisar halus bagi membangkitkan bau wangi. Masukkan ubi keledek dan terus dikacau.

Masukkan santan, kacang kacang, jagung, bawang goreng dan kacau rata. Kemudian masukkan pula rempah tumis dan terus dikacau.

Masukkan gula, gula melaka, garam serta daging. Akhir sekali, masukkan telur dan kacau rata sehingga naik minyak dan berkilat. 

Bolehlah tutup api. Ceduk ke dalam bekas besar. Masukkan pula ke dalam bekas yang dilapik dengan daun pisang. 

Nota:
Jika mahu dipotong, tunggu sehingga sejuk. Jika dimakan panas panas, boleh makan menggunakan sudu.

Memasak asyura ini tidak perlu ikut aturan pun, boleh sahaja dimasukkan dahulu apa sahaja bahan yang disukai kerana proses memasaknya yang berjam jam lamanya.

No comments:

Post a Comment