Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melancarkan program Malaysian Against Bullies di Sek Men Keb Tinggi Port Dickson, hari ini. - Foto BERNAMA |
PORT DICKSON: Kes buli perlu ditangani secara berhemah menerusi didikan dan pemulihan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Menurut beliau, ini adalah untuk memastikan pembuli tidak disisihkan oleh masyarakat dan mangsa pula tidak terus trauma.
"Saya mengesyorkan pendekatan yang bersifat mendidik dan memulihkan untuk menangani pembuli berbanding kaedah menghukum.
"Kita mahukan pembuli-pembuli ini dipulihkan dan diterima kembali ke dalam kelompok masyarakat, rakan sepergaulan dan ahli keluarga mereka," katanya semasa merasmikan program 'Malaysia Against Bullies' di Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Port Dickson, hari ini.
Dr Wan Azizah turut menyeru guru-guru, kaunselor serta ibu bapa supaya sentiasa peka terhadap perilaku pelajar.
Katanya, jika terdapat sebarang tanda-tanda seseorang pelajar itu menjadi mangsa buli, tindakan segera harus diambil.
"Sekiranya anda menerima laporan berkaitan salahlaku buli, pastikan tindakan diambil dan jangan sesekali melengahkan atau bersikap sambil lewa terhadap laporan ini.
"Kita bertanggungjawab kepada keselamatan dan kesejahteraan pelajar-pelajar dan perkara ini tidak boleh dikompromi," katanya.
No comments:
Post a Comment