KUALA LUMPUR: Anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Nurul Hidayah harus melindungi anaknya di internet.
Nasihat itu diberikan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Hannah Yeoh.
“Ibu bapa harus melindungi anak-anak mereka dan tidak membenarkan video mereka disebarkan di internet,” kata Hannah menerusi catatan di Twitternya hari ini.
Kenyataan itu dibuat selepas Nurul Hidayah menyiarkan video anaknya ‘memberi amaran’ di Instagram berhubung isu penahanan datuknya itu di lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Video berdurasi 28 saat yang dimuat naik menerusi Instagram Nurul Hidayah itu menunjukkan kanak-kanak berumur sembilan tahun itu berkata;
“Kamu boleh mengunci datuk saya, tetapi bukan jiwa dan semangat juangnya. Kami adalah keluarganya dan kami tidak akan berhenti berdoa untuknya.
“Saya akan buat hidup kamu tidak aman. Saya akan buat kamu menyesal. Ingat, saya berusia sembilan tahun dan adalah masa depan negara saya,” katanya yang memakai baju-T mirip pakaian lokap SPRM.
Video terbabit dirakam oleh penumpang hadapan di dalam kereta yang sedang bergerak.
Jumaat lalu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO mengaku tidak bersalah dan mohon bicara di Mahkamah Sesyen di sini, atas 45 pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram keseluruhannya bernilai RM114 juta.
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membenarkan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dibebaskan dengan ikat jamin RM2 juta bagi semua pertuduhan.
Sumber : Berita Harian
No comments:
Post a Comment