PUTRAJAYA: Finland menzahirkan komitmen untuk membantu Malaysia memperkasakan sistem pendidikan negara dengan menghantar pakar sektor pendidikan ke negara ini.
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, komitmen itu dimaklumkan oleh Pengurus Besar Agensi Kebangsaan Pendidikan Finland, Olli-Pekka Heinonen dalam satu pertemuan dua hala semalam.
“Dalam pertemuan itu, Heinonen memberitahu sekiranya Malaysia tidak dapat menghantar pegawai disebabkan faktor kewangan dan sebagainya, Finland sedia menghantar pegawai mereka ke Malaysia.
“Malaysia berharap kerjasama yang membina ini akan membantu kita untuk mempelajari dengan mendalam pengalaman dan amalan terbaik Finland, sekali gus menggunakan pengalaman dan kepakaran mereka dalam meningkatkan piawaian sistem pendidikan di Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menganjurkan Seminar Sistem Pendidikan Finland 2018 di kampus induknya di Gombak, semalam.
Ia diadakan susulan perbincangan Maszlee dengan Duta Besar Finland ke Malaysia, Petri Puhakka yang mengadakan kunjungan hormat ke pejabat beliau pada 13 Julai lalu.
Dalam pada itu, Maszlee menyifatkan seminar itu sebagai satu pentas terbaik untuk tenaga pengajar di negara ini menjadikan pengalaman Finland sebagai contoh dan panduan dalam pengajaran dan pembelajaran selari dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan sistem pendidikan negara.
Beliau berkata, bermula pada tahun 2000, sistem pendidikan Finland mengalami peningkatan ketara melalui pencapaian dalam peperiksaan penilaian antarabangsa, sekali gus melayakkan Finland menduduki carta teratas dalam daya saing pendidikan dunia.
Menurutnya, peningkatan seperti itu patut dicontohi oleh Malaysia yang kini dalam hasrat untuk mengetengahkan pendidikan berkualiti tinggi dan menjadi negara antara tiga terbaik dalam penilaian antarabangsa seperti Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) serta Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS).
“Seminar Sistem Pendidikan Finland ini adalah pentas yang sangat tepat untuk kita memperkasakan sistem pendidikan negara.
“Saya percaya pertukaran idea dan ilmu pendidikan antara Finland serta Malaysia akan menjadikan negara setanding dengan Finland dalam pelbagai cabang disiplin ilmu termasuk latihan untuk pengajar, guru serta suasana pembelajaran yang menyeronokkan selain pertukaran idea bagi pemilihan alat bantuan mengajar,” katanya.
No comments:
Post a Comment