DUA Remaja lelaki berumur 15 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Selayang hari ini atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan berusia 13 tahun. - Foto BERNAMA |
Kedua-dua tertuduh, masing-masing berusia 15 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa secara berasingan di hadapan Majistret Iriane Isabello.
Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh yang juga pesalah juvana, masing-masing didakwa merogol mangsa yang juga pelajar tingkatan satu, di dewan terbiar Kota Warisan Selayang dan di tandas perempuan Selayang Mall, antara Julai dan 20 September lalu.
Pendakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shasha Hidayah Nor Azahar, menawarkan ikat jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.
Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam, dalam rayuan mereka menerusi ibu bapa masing-masing, memohon jaminan dikurangkan dengan alasan masih bersekolah dan jumlah pendapatan keluarga tidak menentu.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan menetapkan 21 November ini untuk sebutan semula kes.
Sumber : Berita Harian
No comments:
Post a Comment