Institusi kekeluargaan adalah tulang belakang kepada pembangunan insan ke arah pembentukan sebuah negara yang sejahtera dan Malaysia tidak terkecuali.
Ini kerana keluarga merupakan jalinan ikatan pertama yang dikenali kanak-kanak dan atas sebab itulah fungsinya sentiasa diberi penekanan penting dalam melahirkan generasi masa depan yang berkualiti.
Biarpun demikian, realiti yang berlaku pada hari ini adalah sebaliknya. Hakikat yang harus diakui walaupun agak pahit untuk ditelan adalah daya tahan institusi keluarga masa kini berdepan situasi kritikal dalam menjamin penghasilan serta kelangsungan modal insan negara.
Ini berikutan cabaran globalisasi mahupun pembangunan pesat ekonomi pesat sedikit sebanyak mengancam pengukuhan kesejahteraan keluarga. Masalah ini bukanlah hanya berlaku di Malaysia tetapi turut menjadi polemik global.
Situasi ini membimbangkan kerajaan malah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semasa merasmikan Seminar Sekeluarga Tolak Pornografi (SToP) pada Julai lepas turut menyentuh mengenai kesejahteraan kekeluargaaan yang semakin goyah.
Beliau dalam satu laporan media dipetik sebagai berkata “masalah kerapuhan dan keruntuhan institusi keluarga kian meruncing sehingga menyumbang kepada pelbagai gejala keruntuhan akhlak seperti sumbang mahram, penderaan anak, keganasan rumah tangga, seks sebelum nikah serta menonton video lucah.”
KUASA KELUARGA
Semestinya, isu ini tidak boleh dipandang ringan apatah lagi statistik Jabatan Pendaftaran Negara menunjukkan terdapat seramai 4,992 anak tidak sah taraf dilahirkan remaja berusia 18 tahun ke bawah pada 2017.
Manakala sehingga Jun 2018, bilangan anak tidak sah taraf dilahirkan remaja berusia bawah 18 tahun adalah seramai 1,664 orang sementara bagi kes pembuangan bayi pula sebanyak 120 kes buang bayi direkodkan sepanjang 2017.
“Angka-angka ini menunjukkan bahawa peranan keluarga perlu diupayakan, diperkukuh serta diberi nilai tambah agar mampu mengawal dan membendung ahli keluarga masing-masing supaya tidak terjerumus dalam gejala negatif,” kata Dr Wan Azizah dalam satu petikan berita.
Apa yang berlaku ini sudah tentu bukan sahaja menyedihkan tetapi mengecewakan! Dalam usia yang masih muda, remaja melahirkan anak tidak sah taraf itu sepatutnya berada di bangku sekolah dan mempunyai kerjaya.
Mengulas mengenai perkara ini, Perunding Psikologi Keluarga, Bina Bahagia Services, Suzana Ghazali berkata institusi keluarga yang longgar memudahkan golongan muda tersebut terpengaruh dengan aktiviti negatif mahupun terperdaya oleh sesetengah pihak yang sengaja mengambil kesempatan ke atas mereka.
“Keruntuhan institusi kekeluargaan dengan ibu bapa yang terlalu sibuk bekerja sehingga mengabaikan kasih sayang dan pendidikan agama, kemerosotan dari segi asuhan dan bimbingan untuk anak-anak dilihat sebagai salah satu puncanya selain pengaruh rakan sebaya.
“Anak yang rasa dirinya dihargai oleh ibu bapa biarpun ilmu agama kurang, pasti akan menghindarkan diri daripada melakukan pelbagai aktiviti tidak sihat sebab mahu menjaga air muka ibu bapa mereka,’ katanya dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini.
TIDAK BERSEDIA
Berpengalaman lebih 20 tahun dalam profesion perunding psikologi keluarga, beliau yang juga seorang peguam syarie berkata masalah berlaku apabila anak berasa kehadiran diri mereka tidak dihargai. Mereka juga berasa diabaikan kerana kesibukan ibu bapa yang bekerja di samping wujud pilih kasih antara adik beradik menyebabkan mereka tidak kisah untuk menconteng arang di muka ibu bapa.
Malah, mereka akan berbangga pula dengan perilaku tidak bermoral tersebut kerana dapat menarik perhatian orang tua serta menyalahkan ibu bapa atas apa yang menimpa ke atas diri.
“Kita harus ingat kuasa dan potensi keluarga dalam memerangi gejala sosial yang melanda remaja adalah lebih besar dan lebih bermakna daripada segala kekuatan semua agensi penguatkuasaan yang digabungkan untuk menangani masalah sosial,” katanya.
Sumber : Bernama
No comments:
Post a Comment