Paydough Homemade - Bonda

Monday, 20 November 2017

Paydough Homemade


Anak-anak sememangnya gemar bermain tanah liat yang kini popular dengan nama‘playdoh’ atau ‘playdough’, bukan? Mereka akan leka bermain dan mungkin boleh menghadapnya dalam tempoh yang lama dek kerana asyik bermain.

Di sini, Bonda kongsikan  cara membuat playdoh

Lebih seronok jika aktiviti ini dapat dilakukan bersama anak-anak kerana ianya dapat membuatkan mereka lebih menghargai hasil tangan mereka serta lebih cermat ketika bermain playdoh.

Yang penting, ianya mudah, murah dan selamat untuk anak kecil!



BAHAN-BAHAN

Berikut merupakan bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat homemade playdoh ini. Sukatan di bawah adalah untuk 1 bahagian playdoh dengan 1 warna.

¼ cawan garam
1 cawan tepung gandum
1 cawan air suam
2 sudu besar minyak masak
2 sudu besar krim tartar
2 sudu kecil pewarna makanan

Bahan-bahan yang digunakan pula terdiri daripada sumber makanan dan masih selamat untuk anak-anak sekiranya secara tidak sengaja termasuk ke dalam mulut.

Dengan bahan-bahan seperti di atas, ianya akan menghasilkan satu bahagian warna seperti gambar di bawah.

Nota :

Garam bertindak sebagai bahan pengawet untuk mengelakkan playdough ini daripada berkulat.Krim tartar bertindak untuk ‘mengikat’ playdoh ini agar sentiasa lembut, kekal elastik dan tidak mudah lerai. Ianya merupakan sejenis serbuk yang boleh didapati di kedai bakeri atau bahagian membuat kek di pasar raya.Pilih pewarna makanan yang terang bagi merangsang mata anak-anak.Playdoh yang dimasak akan tahan lebih lama, lebih lembut serta tidak mudah kering berbanding playdoh yang tidak dimasak.

CARA MEMBUAT PLAYDOH: LANGKAH DEMI LANGKAH

1. GAULKAN BAHAN



Masukkan semua bahan ke dalam periuk dan gaul sehingga sebati. Adalah lebih baik sekiranya kita menggunakan periuk ‘non-stick’ supaya bahan-bahan ini tidak melekat dan memudahkan kita untuk memasak doh yang seterusnya kelak.

2. TAMBAH PEWARNA



Bancuh pewarna makanan dengan air suam. Kemudian, masukkan bancuhan tersebut ke dalam periuk

3. MASAK ATAS API SEDERHANA


Gaul adunan kesemua bahan ini sehingga sebati dan kemudian, masak di atas api sederhana. Kacau sehingga masak.


4. SEJUKKAN & ULI



Apabila adunan bahan tadi telah masak, keluarkannya dan letak di atas papan pemotong. Apabila ianya telah sejuk sedikit, uli sehingga tekstur bahan tersebut nampak ‘smooth’.

Maka terhasillah homemade playdoh ini untuk dimain oleh anak-anak tercinta. Mudah sahaja caranya!

Ulang langkah 1 hingga 4 untuk menghasilkan playdoh dengan warna-warna lain pula.

5. CARA MENYIMPAN

Bagi mengekalkan tekstur homemade playdoh ini setiap kali bermain, ianya hendaklah disimpan dalam plastik ‘ziplock’dan seterusnya dimasukkan ke dalam peti ais di bahagian ‘chiller’ sebaik sahaja selesai bermain.

Dengan cara ini, playdoh yang dibuat akan kekal lembut, tidak berkulat dan dapat bertahan sehingga 3 bulan lamanya.



No comments:

Post a Comment