SUPLEMEN MINDA – BERKESAN KE? - Bonda

Monday, 23 April 2018

SUPLEMEN MINDA – BERKESAN KE?


Terdapat pelbagai produk di pasaran yang membuat tuntutan dalam membantu pelajar sekolah mendapatkan keputusan cemerlang. Pelbagai testimoni muncul memberi kredit kepada produk minda sebagai asbab untuk keputusan yang cemerlang. Persoalannya, adakah ia benar-benar berkesan?

Tumpuan bagus sebab suplemen?

Antara kelebihan yang sering dikatakan setelah mengambil produk tersebut adalah meningkatkan fokus dalam kelas. Fokus, atau tumpuan, adalah sesuatu yang amat umum untuk dibicarakan. Hakikatnya, segala tindakan kita memerlukan tumpuan, baik secara sedar mahupun tidak.


Perhatian boleh disifatkan seperti satu ‘tenaga’ yang kita gunakan untuk membuat sesuatu perkara. Tenaga ini terhad, lalu minda kita perlu mempunyai satu proses untuk menapis apa yang penting dan apa yang kurang penting bagi mengagihkan tenaga tersebut. Sebagai contoh, semasa anda memandu di atas jalan raya, anda fokus kepada keadaan jalan, jarak kereta di sekeliling anda, cuaca, selekoh seterusnya yang anda perlu ambil dan sebagainya. Anda tidak memberi fokus kepada tekstur pakaian anda, suhu angin di dalam kereta dan bau pewangi kereta anda. Apabila badan anda rasa sejuk, fokus anda berubah daripada keadaan jalan kepada menaikkan suhu penghawa dingin. Dalam situasi ini, minda anda memproses “sejuk” sebagai sesuatu yang penting dan mengalihkan tenaga perhatian kepadanya, lantas mengurangkan tenaga kepada “keadaan jalan”. Proses ini berlaku secara spontan, namun kita masih boleh mengawalnya. Jika anda abaikan rasa “sejuk”, lama-kelamaan minda anda tidak lagi mengambil ia sebagai sesuatu yang penting untuk diproses.

Namun begitu, tumpuan tidak boleh ditingkatkan hanya dengan memakan suplemen. Ini kerana tumpuan merupakan sesuatu yang ‘tetap’. Model tumpuan yang diterima oleh para saintis (baik early-selection mahupun late-selection) mengatakan bahawa seseorang itu mempunyai had dalam memberi tumpuan. Had ini adalah tetap dan tidak mampu diubah dengan cara apa sekalipun. Yang boleh diubah adalah hanya proses peralihan tumpuan tersebut.

Sebaliknya, latihan minda berkesan dalam memperbaiki fokus seseorang. Latihan sebegini bertujuan untuk mendidik seseorang supaya fokus kepada sesuatu perkara dan tidak mudah tertarik dengan gangguan. Di samping itu, minat seseorang itu dalam perkara yang dibuat turut memainkan peranan dalam mengekalkan tumpuan. Kesemua perkara ini wujud dalam kelas, di mana cikgu memberi kerja kepada murid untuk disiapkan. Kerja yang diberi bukan sahaja mendedahkan pelajar kepada ilmu, bahkan ia melatih mereka untuk memberi tumpuan kepada apa yang penting untuk dilakukan.

Tapi… Anak Saya Cemerlang dalam Mata Pelajaran!

Untuk itu, tahniah diucapkan. Keputusan cemerlang sememangnya perlu dirai dan dihargai. Namun untuk memberi kredit kepada suplemen semata-mata adalah tidak adil. Ini kerana terdapat satu faktor besar yang menyumbang kepada keputusan cemerlang anak anda, iaitu guru. Guru memainkan peranan penting dalam menentukan sama ada murid mampu belajar dengan berkesan atau tidak. Dengan bantuan guru yang komited dalam menyampaikan mata pelajaran secara efektif, pelajar boleh memahami isi pelajaran dengan baik walaupun subjek itu sukar dan pelajar itu tidak meminati subjek tersebut.

Satu lagi faktor yang memainkan peranan dalam menyumbang keputusan cemerlang pelajar adalah kesan latihan atau ‘practice effect’. Secara ringkasnya, kesan latihan ini adalah pengaruh daripada pengalaman mengambil ujian yang sama atau seakan sama seperti ujian yang lepas. Dalam konteks ini, pelajar seringkali didedahkan dengan soalan-soalan peperiksaan sepanjang pembelajaran mereka, lebih-lebih lagi untuk peperiksaan yang besar seperti Penilaian Tahap 3 dan Sijil Pelajaran Malaysia. Bagi peperiksaan sebegini, pelajar akan melalui beberapa percubaan peperiksaan sebelum menjalani perkara yang sebenar. Percubaan peperiksaan ini memberi kesan kepada pelajar, memberi mereka peluang untuk menjawab soalan seakan-akan sama dengan tahap peperiksaan besar itu. Daripada pendedahan ini, pelajar mendapat kesan latihan yang membolehkan mereka mendapat markah tinggi dalam ujian yang sebenar.


Bahan-Bahan dalam Suplemen

Untuk meyakinkan pembeli, produk minda seringkali menyatakan ia mengandungi omega-3 yang dikatakan membantu dalam perkembangan otak. Omega-3 merupakan sejenis lemak asid tak tepu yang boleh didapati dari tumbuh-tumbuhan dan haiwan. Terdapat pelbagai kajian yang fokus kepada docosahexaenoic acid (DHA) dan eicosapentaenoic acid (EPA) kerana ia merupakan salah satu elemen yang penting dalam diet seharian. Walaubagaimanapun, setakat ini kajian yang dilakukan menggunakan DHA dan EPA dalam omega-3 tidak memberi kesan besar dalam perkembangan otak. Kebanyakan hasil dari kajian yang dibuat hanya menyatakan kebarangkalian ia berkesan dan memerlukan kajian lanjut dalam menentukan keberkesanannya. Lantas, amat meragukan apabila mengatakan ia baik untuk pembelajaran anak-anak.

Secara umumnya, zat yang terkandung dalam produk minda boleh didapati dalam sayuran hijau dan makanan yang seimbang. Oleh itu, untuk mendapat zat tersebut, lebihkan mengambil sayuran dalam pemakanan seharian sepertimana yang dicadangkan di dalam kempen “Suku-Suku Separuh” anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia.

Kesimpulan

Perkara yang paling berkesan untuk seseorang pelajar dalam mendapatkan keputusan cemerlang adalah dengan memahami apa yang dipelajarinya. Setiap individu mempunyai kaedah yang berbeza untuk memahami sesuatu, namun tiada lagi produk yang boleh memberi kefahaman hanya dengan mengambilnya sahaja. Kefahaman perlu dibentuk dan dicari sendiri, bukan sekadar menghafal dan meluahkan apa yang diingati.
Rujukan:
Malouf R, Areosa Sastre A. Vitamin B12 for cognition. Cochrane Database of Systematic Reviews 2003, Issue 3. Art. No.: CD004394. DOI: 10.1002/14651858.CD004394
Tan M, Ho JJ, Teh K. Polyunsaturated fatty acids (PUFAs) for children with specific learning disorders. Cochrane Database of Systematic Reviews 2016, Issue 9. Art. No.: CD009398. DOI: 10.1002/14651858.CD009398.pub3
Burckhardt M, Herke M, Wustmann T, Watzke S, Langer G, Fink A. Omega-3 fatty acids for the treatment of dementia. Cochrane Database of Systematic Reviews 2016, Issue 4. Art. No.: CD009002. DOI: 10.1002/14651858.CD009002.pub3
Ruxton, C. H. S., Reed, S. C., Simpson, M. J. A., & Millington, K. J. (2004). The health benefits of omega‐3 polyunsaturated fatty acids: a review of the evidence. Journal of Human Nutrition and Dietetics17(5), 449-459.
Hibbeln, J. R., Ferguson, T. A., & Blasbalg, T. L. (2006). Omega-3 fatty acid deficiencies in neurodevelopment, aggression and autonomic dysregulation: opportunities for intervention. International Review of Psychiatry18(2), 107-118.
Fontani, G., Corradeschi, F., Felici, A., Alfatti, F., Migliorini, S., & Lodi, L. (2005). Cognitive and physiological effects of Omega‐3 polyunsaturated fatty acid supplementation in healthy subjects. European journal of clinical investigation35(11), 691-699.
Helland, I. B., Smith, L., Saarem, K., Saugstad, O. D., & Drevon, C. A. (2003). Maternal supplementation with very-long-chain n-3 fatty acids during pregnancy and lactation augments children’s IQ at 4 years of age. Pediatrics111(1), e39-e44.

Kredit : http://rootofscience.com


No comments:

Post a Comment