Cara Mengurang Kesakitan & Bengkak pada Payudara - Bonda

Thursday, 21 June 2018

Cara Mengurang Kesakitan & Bengkak pada Payudara


Gambar Hiasan

”Doktor, saya mengalami penyakit yang pelik. Saya merasa sakit pada ke dua-dua belah payu dara saya. Seolah-olah seperti ditekan, direntap dan bengkak. Ia berlaku pada bulan mengambang dan berulang-ulang untuk 2-3 bulan. Banyak tempat saya telah pergi untuk rawatan. Doktor di semua klinik mengatakan saya tidak mengalami apa-apa sakit. Hanya mainan perasaan”


“Kemudian suami saya membawa saya kepada satu rawatan tradisonal Melayu. Bomoh yang merawat mengatakan kemungkinan saya didengki seorang perempuan kerana payu dara saya lebih besar darinya. Mengikut kata bomoh itu lagi, perempuan ini menghantar ’santau bulan’, jadi apabila bulan mengambang, saya akan berasa sakit pada payudara saya.”


***********************************************************************************

Saya menggeleng-geleng kepala membaca mesej di inbox facebook saya. Tidak habis-habis percayakan bomoh.

Namun saya tidak boleh menyalahkan pesakit itu kerana ‘doktor yang memeriksa’ mengatakan dia tidak
mengalami apa-apa penyakit. Entah apa yang diperiksa sehingga dia membuat kesimpulan diagnosa
begitu.

Sepanjang saya berada di Jabatan  Pembedahan, perkara ini pernah  terjadi. Seorang wanita yang
mempunyai payudara yang agak besar meminta agar payudaranya dikecilkan kerana dia tidak sanggup
menahan kesakitan setiap bulan.

Setelah datang beberapa kali untuk follow up, pesakit itu tidak menunjukkan tanda-tanda mengalami
masalah besar pada payudaranya. Maknanya kesakitannya bukanlah disebabkan kanser.
Pemeriksaan mammogram, juga tidak menunjukkan ada ketulan dalam tisu payu daranya. Akhirnya setelah berbincang dengan konsultant saya, pembedahan dilakukan untuk mengecilkan sedikit saiz payudaranya. Alhamdulillah dengan pembedahan, fisioterapi dan beberapa multivitamin yang diberi, kesakitannya hilang.

Bukan santau bulan


Mastalgia adalah istilah perubatan yang digunakan untuk menggambarkan perasaan pesakit yang merasakan payudaranya bengkak dan sakit.

Kesakitan ini boleh berlaku pada beberapa tahap dalam kehidupan seorang wanita akibat perubahan hormon. Sebagai contohnya ketika berubah dari kanak-kanak kepada remaja, di awal kehamilan, ketika menyusukan bayi, selepas melahirkan bayi atau mendekati fasa menopause. Keadaan-keadaan ini adalah normal.


Mastalgia terbahagi kepada dua, iaitu cyclical breast pain, di mana kesakitannya berkaitan dengan kitaran haids (bukan mengikut peredaran bulan). Selalunya bermula di pertengahan kitaran haids dan bertambah kuat beberapa hari sebelum haids. Kesakitan itu akan tiba-tiba hilang apabila kedatangan darah haids. Kedua, non-cyclical breast pain di mana kesakitannya tidak berkaitan dengan kitaran haids.

Saya cuba mengupas permasalahan pesakit wanita ini iaitu cyclical mastalgia. Seperti yang dikatakan tadi, kebanyakan kesakitan pada payu dara ini berkaitan dengan kitaran haids. Cara mudah untuk mengenalpasti ialah dengan cara menyimpan diari untuk 3-4 bulan. Tandakan hari di mana payu dara mula berasa sakit terutama ketika kesakitan itu mengganggu kerja seharian.

Kita akan dapati terdapat satu corak (pattern) yang ditandakan iaitu kesakitan bermula seminggu atau dua minggu sebelum kedatangan darah haids dan kemudian tiba-tiba hilang setelah kedatangan darah haids.

Kesakitan ini melibatkan kedua-dua belah payudara, terutama di bahagian atas di sekitar ketiak sehingga ke bahagian bahu dan lengan. Payudara akan menjadi bengkak dan sakit tetapi tiada ketulan di dalam tisu payu dara. Akitiviti seperti berjogging, mendukung bayi dan aktiviti jima’ akan menjadikan payudara bertambah sakit.


Jampi bukan rawatannya



Tidak ada rawatan spesifik untuk mastalgia. Tujuan rawatan hanya untuk memastikan kesakitan itu bukan disebabkan oleh masalah jangkitan kuman dan kanser. Jika tidak terlalu sakit, selalunya doktor tidak memberikan apa-apa ubat. Mungkin fisioterapi boleh membantu.

Banyak kajian mendapati rasa sakit akan hilang dengan sendirinya selepas 3-6 bulan. Oleh itu jika diminta minum air jampi atau diminta disapu air itu ke payu dara selama 40 hari, tentu saja ada kemungkinan kesakitan itu akan hilang. Bukan disebabkan oleh air jampi tetapi sememangnya nature penyakit itu sedemikian. Ia hilang dengan sendiri dengan izin Allah.

Walaubagaimanapun, kesakitan pada payudara boleh berulang. Ini kerana tisu payu dara masih lagi sensitif pada hormon estrogen. Oleh itu ada doktor yang memberikan ubat anti-estrogen yang memberikan kelegaan tetapi boleh mengundang beberapa kesan sampingan yang lain pula.

Buatlah pemeriksaan

Jadi jika mengalami kesakitan pada payu dara, haruslah melakukan pemeriksaan yang sempurna terutamanya mammogram. Mammogram dapat mengesan kehadiran perubahan tisu payu dara sebelum ia menjadi kanser yang lebih parah.

Jika tidak dapat menahan sakit pada payudara, beberapa petua di bawah mungkin boleh digunakan:

1. Gunakan bra yang sesuai apabila mula rasa sakit. Kesakitan ini lebih dirasai apabila bra yang dipakai tidak sesuai kerana saiznya yang terlalu kecil. Pakailah bra 24 jam apabila ada tanda-tanda rasa sakit akan muncul semula walaupun ketika tidur. Elakkan membeli bra yang mempunyai dawai besi pada sekeliling bra. Ini menambahkan kesakitan

2. Jika kesakitan tidak dapat ditanggung dan mengganggu tidur dan pekerjaan seharian, boleh ambil ubat penahan sakit seperti paracetamol or ibuprofen. Sekurang-kurangnya membantu mengurangkan kesakitan untuk sementara.

3. Terdapat juga krim ubat yang boleh disapu sebagai ubat penahan sakit yang diserap terus oleh tisu payudara. Antaranya ubat krim sapu diclofenac atau ibuprofen yang boleh didapati di farmasi.

4. Beritahu doktor jika sedang dalam rawatan kerana beberapa ubat untuk darah tinggi dan kemurungan boleh menyebabkan rasa bengkak dan sakit pada payudara.

5. Evening primerose oil (EPO) boleh digunakan tetapi kesannya tidak dapat dijanjikan. Belum banyak kajian mengenai ubatan herba ini. Ada juga EPO yang berbentuk tablet yang mengandungi asid gamolenic 120-160mg diambil dua kali sehari. Ia perlu diambil berterusan untuk beberapa bulan, namun keberkesanannya hanya pada sesetengah kes saja.

6. Jaga pemakanan dan diet. Kurangkan makanan berlemak kerana ada kajian mendapati tahap lemak tepu yang tinggi dalam darah akan menjadika tisu payudara lebih sensitif pada hormon. Antara makan yang berlemak ialah daging merah, susu penuh lemak/krim. Boleh gantikan menu ini dengan ikan.

7. Ada juga kajian yang membuktikan kaffein akan menyebabkan tisu payu dara lebih sensitif kepada hormone estrogen. Mengurangkan atau menghentikan pengambilan kaffein dalam kopi, minuman bergas atau teh akan membantu mengurangkan kesakitan ini.

8. Cara lain ialah menggunakan teknik menuam dengan air suam. Caranya seperti berikut :

Isikan air suam (dalam anggaran suhu 40 darjah celcius) dalam botol mineral 500ml. (jangan terlalu panas akan melukakan kulit payudara)

Tuamkan dengan menggolekkan botol mineral pada bahagian payu dara yang sakit.

9.  Teknik lain ialah urutan payudara mengikut aliran limfatik (lymphatic breast massage).

Tujuan urutan adalah untuk melancarkan peredaran bendalir limfatik. Oleh itu urutannya harus mengikut aliran saluran limfatik.

Teknik ini menggunakan tekanan yang lembut kemudian lepaskan tekanan itu agar payudara kembali ke posisi semula. Setiap kali tekanan dan lepasan dikira sebagai satu kitar urutan.

Ia boleh dilakukan berseorangan atau dengan bantuan orang lain sebagai pengurut.

Caranya seperti berikut:

LANGKAH PERTAMA


  • Letakkan tangan di ketiak dan tolak dengan menggunakan tekanan yang sederhana ’ke arah leher’. Tekan terus ke dalam ketiak sedalam yang boleh. Lepaskan perlahan-lahan untuk dikira sebagai satu kitaran urutan.Lakukan sebanyak dua puluh kali.





LANGKAH KEDUA



  • Genggam payudara dengan menggunakan kedua-dua belah tapak tangan. Tangan yang memegang payudara dari atas menolak ke arah puting terus ke ketiak. Kemudian tangan yang memegang payudara dari bawah juga menolak ke arah puting dan kemudian terus ke ketiak. Jika payudara agak kecil, gunakan sebelah tangan sahaja. Lepaskan perlahan-lahan untuk dikira sebagai satu kitaran urutan.


  • Lakukan sepuluh hingga dua puluh kitaran.
  • Kemudian gunakan teknik yang sama tolakkan pula ke arah dada. Lakukan sepuluh hingga dua puluh kali juga.


LANGKAH KETIGA



  • Gunakan dua belah tangan untuk memegang payudara. Tangan yang memegang payu dara dari bahagian bawah tidak digerakkan untuk menstabilkan payudara. Sementara tangan yang memegang payudara dari atas menolak ke arah bawah. Lepaskan perlahan-lahan untuk dikira sebagai satu kitaran urutan. Kemudian tangan yang memegang payu dara di bahagian atas tidak digerakkan untuk menstabilkannya. Tangan dari bawah menolak payudara ke arah leher atau dada. Lepas perlahan-lahan untuk dikira sebagai satu kitaran urutan.


  • Lakukan sebanyak lima hingga sepuluh kali.


LANGKAH KEEMPAT




  • Kemudian menggunakan kedua-dua belah tangan, pegang payudara dan tolakkan kedua-dua belah tangan ke arah puting secara perlahan-lahan. Kemudian lepaskan untuk dikira sebagai satu kitaran urutan.Lakukan antara sepuluh hingga dua puluh kali.
  • Jika petua-petua yang diberikan tidak berkesan, bolehlah berjumpa doktor untuk pemeriksaan. Perasaan malu dapat diatasi dengan berjump dengan doktor wanita, namun pastikan beliau berpengalaman mengendalikan kes-kes payudara.




Wallahu a’lam


Sumber : drzubaidi






No comments:

Post a Comment