TERLALU ghairah tampil bergaya mengenakan kasut tumit tinggi, sedangkan kaki tidak mampu menampung berat badan berlebihan hingga menyebabkan anda merana kesakitan terutama pada bahagian tumit.
Senario ini juga lazimnya berlaku jika memakai kasut ketat dan keras serta banyak berdiri atau berjalan.
Sikap sambil lewa tidak membuat pemeriksaan doktor menyebabkan sakit berulang, menjadi kritikal hingga menjejaskan rutin harian.
Pakar Perubatan Rheumatologi, Fakulti Perubatan dan Kesihatan, Universiti Malaysia Sabah, Dr Malehah Mohd Noh, berkata penyakit paling biasa menyebabkan sakit tumit iaitu "plantar fasciitis".
Faktor kesakitan sering kali dikaitkan dengan penambahan berat badan dan memakai kasut tinggi pada tempoh yang lama.
Beliau berkata, bagi mengelak kesan sakit berterusan, anda dinasihat memakai kasut sesuai dengan struktur tapak kaki, mempunyai tapak tebal serta menyokong pergelangan kaki.
"Kesan sakit pada tumit kaki disebabkan radang yang berlaku pada selaput yang menyambung tulang tapak kaki ke hujung jari kaki (fascia)," katanya.
Kaki mencucuk pijak lantai
Dr Malehah berkata, faktor lain seperti berat badan berlebihan juga memberikan bebanan pada fascia ketika seseorang berjalan, berdiri lama, bergerak atau melompat secara berlebihan.
Katanya, pesakit akan mengalami kesan kesakitan serius sekiranya berat badan berlebihan, walaupun secara dasarnya keadaan itu bukan punca utama kepada kesan sakit pada tumit.
"Penyakit ini kerap berlaku ketika seseorang bangun tidur atau berdiri selepas duduk pada tempoh yang agak lama. Mereka akan mengalami kesan seperti menyucuk pada bahagian tapak kaki ketika memijak lantai dan rasa sukar untuk memulakan pergerakan seperti berjalan," katanya.
Rawatan yang dicadang meredakan kesakitan pada tumit kaki dengan menjalani fisioterapi dan senaman regangan kaki sebaik bangun tidur.
"Lakukan senaman ini setiap hari atau pesakit boleh meletakkan ais batu pada tapak kaki selama 20 minit dengan kekerapan empat kali sehari.
"Kaedah itu membantu mengurangkan sakit atau pun anda boleh melakukan urutan kaki," katanya.
Ubat kurangkan sakit
Dr Malehah berkata, sekiranya tak tahan sakit, anda dinasihat berjumpa doktor untuk mendapatkan ubat bersesuaian. Suntikan steroid pada tapak kaki, umpamanya boleh dilakukan atas nasihat pakar.
Katanya, ini membantu mengurangkan kesan radang pada fascia sekali gus mengurangkan kesakitan dialami.
Sekiranya, semua rawatan gagal membantu dan anda masih mengalami sakit yang berterusan, rawatan pembedahan akan dicadangkan.
"Pesakit tidak perlu bimbang kerana serangan ini bukan penyakit bahaya dan tanpa rawatan sakit akan hilang dengan sendirinya dalam jangka masa setahun.
"Penyakit ini jarang berlaku disebabkan penyakit lain. Sekiranya perlu doktor boleh melakukan imbasan x-ray dan ujian lain bagi pengesahan," katanya.
Sumber : https://www.bharian.com.my
No comments:
Post a Comment