Awas risiko kanak-kanak terbantut - Bonda

Monday 4 June 2018

Awas risiko kanak-kanak terbantut



KUALA LUMPUR: Pemantauan terhadap pertumbuhan kanak-kanak seawal usia satu hingga lima tahun dianggap waktu berjaga-jaga kepada ibu bapa berikutan dua daripada 10 kanak-kanak di negara ini mengalami pertumbuhan terbantut.
Dalam usia berkenaan, jika ibu bapa terlepas pandang, ia mampu memberi kesan risiko atau kegagalan potensi kesihatan, perkembangan dan psikososial kanak-kanak.
Sekretariat Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA), Amalina Hanani Abdul Halim, berkata umumnya kanak-kanak dilihat membesar secara normal, namun disebabkan sesetengah ibu bapa terlepas pandang, ia menyebabkan pertumbuhan golongan itu terbantut.
Katanya, Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan yang dijalankan oleh MPA, melaporkan bahawa kadar kanak-kanak terbantut meningkat daripada 17 peratus pada 2006 kepada 20.7 peratus pada 2016 iaitu kira-kira dua daripada 10 kanak-kanak.
Selain itu, bagi tempoh sama, kanak-kanak yang mengalami masalah kurang berat badan juga meningkat daripada 12.9 peratus kepada 13.7 peratus.
"Masalah ini tidak hanya berlaku dalam kalangan keluarga miskin, malah turut dihadapi keluarga berpendapatan tinggi hanya disebabkan oleh sikap terlepas pandang itu.
"Keadaan ini adalah sesuatu yang serius membabitkan masa depan kanak-kanak, tetapi ia boleh dicegah. Oleh itu, MPA mengambil inisiatif menganjurkan kempen kaunseling dan pemeriksaan tumbesaran kanak-kanak pertama di seluruh negara iaitu Kempen IMFeD 'Get Growth On Track'," katanya dalam kenyataan hari ini.
Amalina Hanani berkata ibu bapa yang mempunyai anak berusia satu hingga lima tahun digalak menyertai kempen ini kerana lebih daripada 150 doktor terlatih akan terbabit selain bahan pendidikan dipaparkan di klinik yang menyertai kempen berkenaan.
"Seterusnya, pakar pediatrik di seluruh negara akan menilai status pertumbuhan kanak-kanak dengan memeriksa ukuran berat dan ketinggian mereka daripada carta pertumbuhan.
"Dari situ, pakar akan menasihati ibu bapa bagi kanak-kanak berisiko berdepan dengan pertumbuhan kurang baik seperti pengambilan pemakanan tidak mencukupi, cerewet makan dan kerap sakit," katanya.

No comments:

Post a Comment