Kod rahsia keluarga hindari jenayah culik kanak-kanak - Bonda

Monday 4 June 2018

Kod rahsia keluarga hindari jenayah culik kanak-kanak


KUALA LUMPUR: Penggunaan kod rahsia dalam kalangan ibu bapa bersama anak adalah antara kaedah terbaik menangani masalah penculikan dalam kalangan kanak-kanak yang sering menemui jalan buntu hingga sukar ditangani.
Perunding psikologi, Puveshini Rao, berkata wajar ibu bapa menggunakan perkataan khas bagi memastikan hanya mereka sekeluarga mengetahuinya.
Penggunaan frasa selamat menggunakan perkataan tertentu kata beliau, dikenal pasti sebagai kaedah terbaik bagi memastikan keselamatan anak-anak terjamin.
Kod rahsia berkenaan katanya, hanya boleh diketahui dalam kalangan ahli keluarga supaya anak lebih berwaspada ketika berhadapan individu tidak dikenali. Frasa keselamatan itu juga penting bagi mengelakkan anak berada dalam situasi bahaya terutama kes penculikan.
"Ajar anak frasa selamat yang mana hanya antara ahli keluarga mengetahui jawapannya. Apabila menghantar mereka ke sekolah, sebut berulang-ulang kali frasa atau kod rahsia supaya anak tidak lupa ketika menjemput mereka pulang sekolah.
"Apabila anak didekati orang tidak dikenali yang menawar untuk menghantar anak pulang, pastikan mereka bertanya frasa yang sering digunakan ibu bapa. Kod rahsia itu juga membantu menangani jenayah lain," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan perbincangan mengenai isu keselamatan anak-anak bertajuk 'Strangers Dangers' di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di sini, baru-baru ini.
Puveshini berkata, dunia sekarang tidak seperti sebelum ini, situasi berubah hubungan dengan orang tidak dikenali mendatangkan risiko kejadian tidak diingini.
"Hubungan dengan orang tidak dikenali berubah, malah lebih buruk apabila situasi itu berlaku dalam kalangan individu yang boleh dipercayai.
"Orang yang sepatutnya kita letakkan sepenuh kepercayaan dan berasa selamat juga mungkin ada niat serong terhadap anak-anak kita.
"Jadi, kita tidak boleh menganggap orang tidak dikenali saja bahaya kerana dalam kalangan ahli keluarga, saudara-mara dan kawan rapat juga berisiko menjadi 'pemangsa'.
"Ini adalah situasi bahaya yang sukar dikesan. Ibu bapa dan penjaga seharusnya peka dan menjalankan tanggungjawab terbaik bagi memelihara keselamatan anak dengan mengambil berat mengenai orang dewasa di sekeliling hidup mereka," katanya.
Mengulas isu berkaitan, Pengetua Prasekolah Safari Kid International, Jigna Doshi, berkata pihaknya berhasrat memperkasakan ibu bapa dan anak-anak mengenai isu keselamatan ini.
Beliau berkata, bukan semua ahli keluarga rakan boleh dipercayai ketika bersama anak. Sebagai ibu bapa mereka perlu berhati-hati mengendalikan situasi bagi membolehkan anak selamat daripada sebarang kejadian tidak diingini.
"Cara terbaik mendidik anak kecil supaya lebih berhati-hati dengan orang sekeliling, walaupun individu yang dikenali dengan menerangkan kepada mereka erti keselamatan menerusi bahasa mudah difahami.
"Penerangan meliputi individu yang selamat didampingi dan situasi menunjukkan keadaan selamat. Ajar anak cara menjauhkan diri daripada individu tidak dikenali adalah langkah bijak. Ini perlu dibimbing dari rumah," katanya.
Info:
Tanda anak dalam keadaan bahaya
* Perubahan tingkat laku
* Emosi berubah
* Bahasa badan menunjukkan mereka berada dalam keadaan gelisah
* Perubahan personaliti
Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM)
* Empat kanak-kanak dilaporkan hilang setiap hari
" Data sehingga April mencatatkan seramai 732 kanak-kanak untuk tempoh 2014 hingga 2018
* Membabitkan kanak-kanak hilang
* Gangguan siasatan seksual wanita dan kanak-kanak
Sumber: https://www.bharian.com.my

No comments:

Post a Comment