Damai di Kuala Tahan - Bonda

Wednesday, 18 July 2018

Damai di Kuala Tahan


SETIAP tahun sepanjang tempoh tiga bulan bermula Jun hingga Ogos, ketika musim panas di Eropah, sebahagian besar daripada penduduknya keluar bercuti.

Kebanyakan pengembara Eropah atau pelancong 'mat salih' ini mencari destinasi pelancongan alam semula jadi dengan memilih hutan hujan tropika di negara kita.

Tempat sedemikian menjadi tumpuan mereka kerana menganggap lokasi sedemikian masih "dara" selain dinobatkan sebagai hutan tertua di dunia.

Taman Negara Kuala Tahan, Pahang dikategorikan antara hutan simpan paling tua di dunia. Pelancong terutama dari Belanda, Jerman, Perancis dan Itali memilih tempat ini sebagai destinasi percutian yang sememangnya memenuhi ciri semula jadi yang diimpikan.

Justeru, tidak hairanlah mengapa Taman Negara Pahang sinonim dalam kalangan pelancong atau pengembara Eropah kerana mereka menghargai alam semula jadi. Dunia lebih mengenali Malaysia menerusi hutan hujan tropikanya.

Lokasi pilihan pengunjung asing

Industri ekopelancongan atau percutian berteraskan sumber dan pemuliharaan alam semula jadi seperti flora, fauna, pantai, tasik serta sungai, berupaya menarik pelancong terutama dari Eropah yang teruja mendekatinya, menjadikan Taman Negara Pahang 'lubuk' percutian. Pada masa sama menambah baik ekonomi negara dan menawarkan lebih peluang pekerjaan.

Namun, sebelum sampai ke sana, pengunjung berdepan ujian dengan laluan berliku dan berbukit-bukau terutama dari Jerantut ke Kampung Kuala Tahan sejauh 67 kilometer (km). Pemandangan kiri dan kanan jalan hanya hutan tebal.

Pengunjung perlu melepasi ladang sawit serta dua kawasan hutan yang diteroka iaitu Felda Padang Piol dan Felda Sungai Retang.

Lebih menarik, satu-satunya premis penginapan terletak di dalam kawasan hutan simpan Taman Negara Pahang ialah Mutiara Taman Negara Resort yang hanya dipenuhi pelancong dari Eropah.

Sajian tempatan pikat selera



Mereka gemar menikmati suasana hutan tebal, sunyi sepi, amat mendamaikan, hanya kedengaran bunyi cengkerik dan siulan sang unggas serta deruan air sungai.

Bagi pasangan suami isteri dari Belanda, Koen Gerrits dan Linda Dominguez, mereka mengakui menggemari suasana hutan tebal yang menampilkan pemandangan mempesona. Pastinya masakan tradisional Melayu seperti tempoyak ikan patin, gulai asam rom, selain ulam-ulaman bersama sambal hitam Pahang memikat selera walaupun pedas.

Pun begitu, aktiviti yang dinanti pengunjung sebaik tiba di sini, selain merentas hutan ialah menelusuri Sungai Tembeling dan Sungai Tahan. Menelusuri arus deras menaiki perahu jalur atau rapids shooting sekitar Kuala Trenggan di Sungai Tembeling menjadi aktiviti wajib. Riadah sangat menyeronokkan, namun perlu berhati-hati apabila 'berkawan' dengan arus ganas.



Air sungai sejuk, jernih

Manakala pengalaman mudik ke hulu Sungai Tahan menaiki perahu panjang menuju ke santuari kelah di Lubuk Tenor, seterusnya berkelah di Lata Berkoh adalah momen indah yang tidak mampu dilupakan.

Air sungainya yang jernih dan sejuk hingga ke tulang. Batu-batuan kecil yang licin, berlumut dan kerikil, menampilkan destinasi perkelahan yang mempesona.

Selain aktiviti air, pengunjung ke Taman Negara Pahang berpeluang merentasi Canopy Walkway atau titian kanopi Kuala Tahan yang disenaraikan sebagai antara terpanjang di dunia. Kanopi dibina dengan bahan asas seperti kabel besi, tali dan jaring diperbuat daripada polister serta papan kayu sebagai pelantar, hanya tergantung pada pokok (tanpa besi bertiang).



FAKTA NOMBOR

----------------------

Taman Negara Pahang

* 240 kilometer

jarak dari Kuala Lumpur

* 130 juta tahun

lebih tua berbanding Hutan Amazon Brazil

* 2,477 kilometer persegi

keluasan hutan simpan

INFO

-------

* Laluan paling mudah, menelusuri Lebuh raya Pantai Timur (LPT), susuk keluar Plaza Tol Temerloh, menuju ke Jerantut, akhirnya ke Taman Negara Pahang.

* Asalnya dikenali Taman Negara King George V. Selepas mencapai kemerdekaan, tempat ini dinamakan Taman Negara Pahang.

* Jerantut daerah terbesar negeri Pahang. Popular dalam kalangan pelancong sebagai transit ke Taman Negara hingga dikenali Bandar Taman Negara.

No comments:

Post a Comment