MUTAKHIR ini kita sering dikejutkan dengan pendedahan media massa tentang kes pembunuhan, penderaan dan kecederaan. Kes-kes tragis yang menyentuh perasaan ini pastinya tambah ketara apabila si mangsa mempunyai pertalian rapat dengan tertuduh.
Antara yang terkini dan meruntun jiwa ialah kes seorang wanita maut di Kuala Langat yang dipercayai dibunuh oleh anak lelakinya sendiri ketika umat Islam menunaikan solat Jumaat. Di Felda Jengka, seorang kanak-kanak lelaki maut selepas dikelar ibu kandungnya sendiri yang dipercayai mengalami halusinasi. Di Taman Kepong pula, seorang kanak-kanak maut selepas ditikam bertubi-tubi sebanyak 30 kali dipercayai oleh bapa saudaranya sendiri.
Ketiga-tiga kes ini merupakan antara beribu episod duka yang berterusan melanda negara ketika masing-masing rancak berdiskusi tentang pelbagai isu dan agenda membina Malaysia Baharu.
Walaupun hukuman mati di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan menanti pesalah, kesengsaraan yang dihadapi oleh keluarga mangsa dan mereka yang berkait dengannya, sukar diungkap melalui kata-kata. Berapa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul, itulah tragisnya gambaran kepada keadaan keluarga mangsa.
Fenomena mental
Sesiapa sahaja yang menatap kes-kes ini di dada-dada akhbar pastinya tersentuh jiwa dan pembacaan terhenti seketika atau tidak mampu diteruskan lagi dek sadisnya perbuatan di luar batas perikemanusiaan yang dilakukan oleh bapa, ibu dan penjaga yang sepatutnya menjadi pelindung mangsa.
Inilah fenomena yang berlaku apabila emosi dan persekitaran menguasai diri dan mencetuskan tingkah laku bawah sedar atau luar kawal. Istilah proses psikoanalisis ini boleh ditakrifkan sebagai semua fenomena mental yang berlaku dalam fikiran seseorang tetapi dia tidak menyedari mengenainya. Dalam bahasa yang mudah, pemangsa melakukan apa yang dilakukannya itu disebabkan oleh gangguan emosi seperti kemurungan.
Hakikatnya, kemurungan adalah penyakit psikologi yang melibatkan tekanan perasaan yang serius kepada individu baik lelaki atau wanita, kanak-kanak, remaja, dewasa dan warga emas. Ia melibatkan rasa kesedihan, kekecewaan, kepiluan serta hilang semangat meneruskan kehidupan.
Kemurungan berpanjangan mempengaruhi mental yang menyebabkan perasaan seseorang individu menjadi semakin merosot. Ia boleh menjejaskan kehidupan seharian individu termasuklah pemikiran, perasaan, tingkah laku dan kesejahteraannya.
Kajian stres dan psikologi sosial menunjukkan bahawa kemurungan yang berlarutan boleh memberikan implikasi buruk kepada kesihatan individu, hubungan kekeluargaan dan persekitaran sosial. Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia mendapati antara empat penyebab utama masalah kesihatan mental ialah kemurungan.
Stres boleh jadi punca
Mengapakah kemurungan berlaku? Melalui penelitian terhadap latar belakang kes-kes tragis sejak kebelakangan ini, ia amat berkaitan dengan isu kemurungan. Kemurungan boleh tercetus daripada stres. Stres yang berlebihan dan berterusan membawa kepada ketegangan yang menyebabkan kemurungan (depression).
Kemurungan impak daripada stres dan masalah peribadi menyebabkan gangguan psikologi, fisiologi dan akhirnya mencetus kepada tingkah laku bawah sedar. Apabila berada dalam keadaan minda bawah sedar, seseorang individu menjadi sukar membuat pertimbangan yang baik dan akhirnya melakukan sesuatu tindakan di luar jangkaan seperti mencedera atau membunuh.
Kajian juga menunjukkan bahawa kemurungan akan berlaku disebabkan oleh stres pekerjaan, masalah kewangan dan masalah rumah tangga. Teori menunjukkan, kegagalan mengimbangi antara tuntutan kehidupan dan persekitaran dengan kemampuan dan keupayaan diri merupakan pencetus kepada gangguan emosi dan stres.
Jika dibiarkan berpanjangan tanpa usaha meminimumkannya, maka terjadilah kemurungan. Faktor-faktor luaran lain yang menyumbang kepada kemurungan ialah faktor kejiranan, latar belakang keluarga, persekitaran sosial dan keadaan hidup.
Masalah kemurungan bukanlah sesuatu yang boleh diambil mudah. Ia mesti ditangani lebih-lebih lagi jika kemurungan yang dialami tidak disedari oleh si pesakit.
Oleh yang demikian, pengetahuan awal tentang isu stres dan kemurungan boleh mencegah peristiwa yang tidak diingini daripada berterusan berlaku di negara ini. Penggemblengan usaha semua pemegang taruh perlu dilakukan sebelum kes-kes seperti dibicarakan di atas menjadi semakin parah dan barah dalam masyarakat.
Setiap individu perlu diberikan kesedaran dan ilmu pengetahuan tentang impak stres dan kemurungan. Kesedaran berterusan tentang isu ini dapat menambahbaik kesejahteraan emosi dan mental masyarakat. Apabila kesejahteraan emosi dan mental tercapai, maka individu mampu berfikir dengan waras dan isu kemurungan boleh diminimumkan.
Sesungguhnya, setiap rakyat Malaysia bukan sahaja perlu sihat dari segi fizikal malah dari segi mental untuk menjadikan dirinya seorang individu sihat secara holistik. Kunci kepada kesihatan mental adalah menangani stres dengan berkesan dan jangan dibiarkan ia berpanjangan. Jika usaha menanganinya tidak diambil, maka pastinya kemurungan akan tercetus.
Kita tidak mahu lagi membaca kes-kes tragis oleh individu yang murung di dada-dada akhbar. Apa yang lebih membimbangkan adalah sekiranya peristiwa hitam tersebut berlaku kepada diri kita dan ahli keluarga sendiri. Biarlah kelangsungan hidup dan kemajuan yang bakal dikecapi dalam Malaysia baharu ini bergerak seiring dengan kesejahteraan mental dan nilai kemanusiaan yang tinggi.
Semua pihak, bermula daripada rakyat marhaen sehinggalah kepada kepimpinan tertinggi negara berperanan penting dalam usaha mencapai hasrat murni ini.
* Prof Dr Zafir Khan Mohamed Makhbul Timbalan Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Sumber : Sinar Harian
No comments:
Post a Comment