Punyalah Pemalas Anak Menantu Duduk Serumah, Sampai Nak Kalih Baju Berlipat Mak Basuh Pun Mak Kena Buat - Bonda

Monday, 16 July 2018

Punyalah Pemalas Anak Menantu Duduk Serumah, Sampai Nak Kalih Baju Berlipat Mak Basuh Pun Mak Kena Buat



Suami isteri ini ke sebuah kedai dobi, di sana dia bertemu dengan seorang ibu yang sedang mendobi pakaian anak menantu ibu ini. Tanpa sengaja, ibu tadi meluahkan rasa hati sayu dengan sikap anak menantu tak kenang budi yang duduk sekali dengannya.

Macam-macam rasa bercampur baur saat membaca perkongsian Ws Adli W Muhammad ini. Apabila anak-anak mula menjadikan ibunya hamba, maka hilanglah nikmat bakti pada orang tua dalam hidup seorang anak itu. Awas ya! anda sebenarnya sedang menempah satu tiket ke alam seksa kubur yang amat berat.

Seorang Ibu Tua Dan Kedai Dobi Layan Diri

Sejak beberapa hari lalu, cuaca tidak menentu di kawasan kami. Disebabkan itu, saya dan isteri membasuh baju di rumah, kemudian bawa baju yang belum kering tu ke kedai dobi layan diri untuk dikeringkan.

Saya suka pergi sebelah pagi. Sebab pagi jarang orang ada. Tak lah berebut nak guna dan menunggu lama. Biasanya, kalau saya pergi, memang kami sahajalah yang adanya.

Jadi, hari itu saya dan isteri pun pergi ke satu kedai dobi ni. Masa sampai, saya lihat ada seorang makcik di dalamnya. Duduk di atas kerusi sambil sebelah tangan sedang memegang telefon. Ralit makcik tu menghadap telefon bimbitnya.

Saya masuk dan memberikan salam. Makcik mengangkat muka, menjawab salam dan memberikan senyuman kepada kami berdua.

Saya tengok pada mesin, makcik gunakan dua mesin basuh. Dalam hati saya, agaknya banyaklah tu dibasuhnya. Sedang isteri mengisi pakaian kami dalam mesin dryer, saya pula menukar duit kertas.

Selesai, saya dan isteri pun duduk sepertimana makcik.

Makcik mula memandang kami. Senyum. Kami membalas.

Kemudian, isteri saya pun bertanya “Seorang je makcik?” Makcik menjawab kembali “Ya seorang sahaja. Yang lain sedap tidur lagi.”

Puas Dah Berdepan Nasihat Panas Duduk Dengan Orang Tua

Kami berdua tersenyum. Saya lihat jam di telefon, dah jam 7.00 pagi. Lambat belaka bangun agaknya anak-anak dia.

Isteri saya bertanya lagi “Makcik duduk mana?” Makcik menjawab dengan mengatakan dia duduk di sebuah kampung yang memang kami tahu mana tempatnya.

Makcik pula bertanya “Duduk mana ni? Kerja apa?” Isteri saya menjawab “Duduk di Paya Pulai makcik. Duduk dengan mak dan ayah. Suami saya cikgu sekolah rendah, saya cikgu KAFA” Makcik senyum. Makcik berkata lagi “Oh, duduk dengan orang tualah ya? Macamana, okey ke?”

Isteri menjawab “Alhamdulillah makcik. Okey. Seronok pun seronok. Dulu, masa muda-muda duduk jauh dengan mak dan ayah. Ini dah ada peluang, mak dan ayah minta tinggal dengan dia orang.” Isteri saya tertunduk malu menjawab.

Maklumlah, kami dah puas berhadapan dengan orang yang mengata-ngata pasal duduk dengan orang tua sendiri ni. Manalah tahu, kot-kot makcik pun nak bagi nasihat panas macam orang lain.

Makcik berkata “Boleh ke encik duduk dengan mak mentua? Mak mentua kan, ke mak tu mak kandung?” Saya pun menjawab “Tu mak mentua saya. Alhamdulillah, kami senang hati duduk dengan mak ayah kami. Mak ayah kami pun alhamdulillah, tak ada masalah. Kalau pergi mana lama-lama bercuti, adalah dia orang menelefon minta kami balik segera, sunyi katanya. Hehe”.

Makcik diam. Kepalanya tertunduk. Mukanya sayu.

Anak Menantu Makcik Semua Pemalas..

Dia berkata perlahan “Untunglah. Makcik tak macam tu” Saya dan isteri memandang sesama. Kemudian saya bertanya “Kenapa makcik?”

“Makcik ni, semua benda makcik buat. Anak menantu dua pasang duduk dengan makcik. Cucu ada 7. Masalahnya, semua pemalas. Masak malas, basuh baju malas, kemas rumah malas, semualah malas. Makcik ni bukan rajin juga, tapi tak lah semalas dia orang tu.

“Balik kerja, tahu cari makan kat dapur. Pepagi, tanya mana baju anak dia orang. Mana skaf, mana seluar, mana tali pinggang. Semua tanya makcik. Itu belum pakaian dalam bakul. Selagi makcik tak bawa keluar ke mesin basuh, selagi tu lah duduk dalam bilik.

“Ini kita dah basuh, lipat pun malas. Penuh atas kerusi di ruang tamu. Dahlah lipat malas, nak mengalihkannya pun tidak. Semua makcik kena buat. dia orang tahu, bila lapar cari makan di dapur. Kemudian duduk depan tv, tengok cerita macam-macam.

“Dah tu, satu benda lagi, binatang tulah. Menghadap telefon siang malam. Gelak-gelak. Entah apa-apa. Duduk beramai-ramai menghadap benda alah tu. Kita ni, nak berborak pun tak dilayan. Sepatah, dijawab sepatah. Banyaknya, bila ditanya, tak berjawab. Senyum sorang-sorang depan telefon.

“Agaknya, memang kiamat dah nak dekat. Ni lah salah satunya. Mak ayah jadi hamba anak-anak.” jelas makcik dalam nada suara sederhana kuat. Kekal memandang ke lantai.

Saya dan isteri terdiam. Kelu.

Kalau Mak Tegur.. Anak Menantu Tarik Muka, Lepas Marah Dekat Anak

Saya kemudian bertanya lagi “Makcik tak tegur ke? Tak kan biarkan sahaja macam tu?”

“Nak tegur apanya. Tegur karang tarik muka. Tak nak makan. Jadi membazir pula makanan tu kita masak banyak-banyak. Bila kita kata kita letih, dia siap suruh kita masuk tidur. Pergi berehat katanya. Kita ni masuklah bilik, tidur. Ingatkan bila bangun semua jadi eloklah.

“Tak juga. Macam itulah gayanya. Makcik pernah berkeras sekali. Tapi anak-anak dia orang jadi 2 mangsa. Nak marah beria ke kita dia tak berani. Jadi marah anak-anak. Pukul anak-anak.

Suruh anak-anak buat itu ini. Perintah macam-macam. Tak jadi kita menengoknya. Sakit dada ni.” makcik mengeluh panjang selepas bercakap begitu.

Saya dan isteri memandang sayu kepada makcik. Perlahan saya bercakap, tapi boleh didengari “Maaf makcik. Saya rasa makcik ni berlembut sangat dengan anak makcik tu. Tak boleh dibiarkan.

Yang merananya badan makcik. Makcik bukan daya pun nak buat semua.

Lagi satu, makcik memang tak payah beria nak buat semua tu. Biarkan sahaja. Bertimbun baju sampai tinggi gunung ke, lantaklah. Pandailah dia orang membasuhnya.

Makcik kena keras sikit. Jangan bagi muka. Bab dia pukul anak tu, makcik sound direct sahaja.

Jangan simpan-simpan. Susah-susah, makcik suruh sahajalah anak makcik tu duduk tempat lain.

Tak salah makcik nak tolong. Tapi tolong tu pun kena beringat. Tak salah makcik nak masak untuk mereka, tapi yang lain tu, pandai-pandailah dia orang semua ambil kerja tu.

Dah Duduk Dengan Mak Ayah, Takkan Nak Suruh Semua Diaorang Buat

Masalahnya, kita suka diam. Pendam. Lepas luahkan perasaan pada dinding, pada siling. Duduk baring termenung fikirkan hal begini. Perangai orang kita ni, tak berani nak tegur depan-depan. Bukan makcik sahaja, kami pun sama. Tegur salah, tak tegur pun salah. Sibuk nak jaga hati orang. Bimbang hati orang lain terluka.

Padahal, diri kita ni bukan sekadar terluka, dah terbelah bagai dah hatinya. Patutnya, kita sama-sama kena faham. Semua dah besar. Kepala otak pun baik berfungsi. Bukan gila.

Dah duduk dengan mak dan ayah, tak akan semua benda dia orang nak buat macam kita kecil-kecil dulu. Kitalah ambil tanggungjawab pula. Basuh baju sendiri. Kemas rumah. Biar mak dan ayah tu berehat. Makan pakai mak ayah pun anak-anak kena jaga. Beli. Belanja. Dah namanya duduk sekali.

Biar mak ayah melayan riuh-rendah suara cucu. Biar dia orang lapang hati menghadap muka kita.

Biar dia orang gembira lihat kita sepertimana melihat wajah kita kecil-kecil dulu. Bagi mak ayah rehat.

Sudah-sudahlah nak bagi mak ayah buat macam-macam.

Makcik kena berkeras. Tak boleh dibiarkan. Sampai bila nak macam ini? Pakaian tu, pakaian dia orang ke?” saya menutup bicara dengan soalan kepada makcik.

Suasana sepi. Sunyi. Yang berbunyi hanyalah mesin-mesin basuh dan kipas di atas.

“Ya, semua dalam mesin tu dia orang punyalah. Makcik dah tak daya. Makcik pergilah sini. Encik, dik, maaflah makcik berkongsi hal keluarga sendiri. Buka aib keluarga sendiri. Tak terniat pun. Apa yang encik cakap tu, nanti makcik bincang dengan suami. Memang, memang makcik dah tak daya. Umur pun dah 60 lebih.” tertunduk lagi makcik berkata.

Saya berkata ringkas “Makcik kena buat. Kena keras.”

Saya dan isteri sama-sama menundukkan kepala. Selepas itu, kami semua tidak lagi berbicara.

Mak Ayah Bukan Hamba.. Bukan Juga Orang Gaji Kita

Kalian,

Mak dan ayah kita bukan orang gaji kita. Bukan tukang masak kita. Bukan hamba kepada kita. Itulah

nikmat agung kurniaan Allah untuk kita semai segala bakti selama mereka masih bernyawa. Mereka

telah serahkan segalanya hidup dan mati untuk kita, harta dan wang ringgit membesarkan kita.

Malanglah, andai mereka dijadikan orang-orang suruhan bagi menyenangkan segala kerja kita, memudahkan segala jalan hidup kita. Mereka, insan agung duduknya di atas, bukan boleh dikacau-bilaukan kedudukannya, diremeh tenyehkan hati-hati mereka dengan perilaku yang menghancur-luluhkan hati kedua-duanya.

Mak dan ayah, satu-satunya kurniaan Allah kepada kita. Tidak boleh ditukar ganti, tidak boleh dijual beli. Yang ada hanya untung dan rugi. Untung dan rugi itulah, kita tahu mana letak duduknya.

Selaut kasih kepada mak dan ayah, tetap tidak mampu menandingi segala jasa dan pengorbanan mereka kepada kita.

Sumber/Foto :  Ws Adli W Muhammad, Pengajaran dan peringatan hidup dari seorang ibu.

No comments:

Post a Comment