Taska, Prasekolah Ditutup 2 Minggu Elak HFMD - Bonda

Wednesday, 18 July 2018

Taska, Prasekolah Ditutup 2 Minggu Elak HFMD

NOTIS penutupan sebuah taska di Taman Melati dan prasekolah di Mata Ayer yang dikeluarkan Jabatan Kesihatan Perlis bermula semalam sehingga 30 Julai ini berikutan lima muridnya dijangkiti penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD). - Foto Dziyaul Afnan Abdul Rahman

KANGAR: Dua premis membabitkan taska dan prasekolah di negeri ini diarah tutup selama dua minggu bermula semalam hingga 30 Julai ini berikutan muridnya dijangkiti penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Perlis, Teh Chai An berkata, penutupan itu diarahkan Jabatan Kesihatan Perlis apabila lima kanak-kanak premis berkenaan dijangkiti penyakit HFMD.

Katanya, setakat ini, lima kanak-kanak dijangkiti HFMD terdiri tiga orang dari taska di Beseri manakala dua lagi murid prasekolah di Mata Ayer.

"Seramai 45 kanak-kanak lain belajar di dua premis terbabit turut berisiko terdedah dengan HFMD.

"Penutupan dua premis terbabit adalah untuk mengekang penyakit berkenaan daripada menular," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, pihaknya bersama Jabatan Kesihatan Perlis sedang memantau rapi sekolah dan pusat jagaan kanak-kanak di seluruh negeri ini berhubung penyakit HFMD.

"Memandangkan dua kes ini yang dilaporkan bagi tahun ini, jadi kita mengambil langkah berjaga-jaga.

"Kita juga menasihatkan ibu bapa kanak-kanak yang belajar di dua premis berkenaan untuk peka dengan perkembangan semasa anak-anak dan segera mendapatkan nasihat doktor sekiranya didapati anak mereka mengalami tanda awal penyakit HFMD," katanya.

Sumber : Berita Harian

No comments:

Post a Comment