Bahagian Lembut Kepala Bayi : Ubun-Ubun Bayi - Bonda

Sunday, 5 August 2018

Bahagian Lembut Kepala Bayi : Ubun-Ubun Bayi


Bahagian lembut ini dikenali sebagai fontanel atau ubun-ubun. Ada dua fontanel di kepala bayi yang baru lahir, dan saiznya berbeza sedikit. Fontanel di bahagian belakang kepala biasanya kecil sedikit dan berbentuk tiga segi. Ia dikenali sebagai fontanel posterior atau ubun-ubun kecil. Fontanel yang berada di atas kepala adalah lebih besar. Ia berbentuk seperti layang-layang dan dikenali sebagai fontanel anterior atau ubun-ubun besar.
Ketika lahir, tulang kepala bayi masih lembut dan dicantumkan oleh tisu-tisu. Dengan cara ini, apabila bayi melalui salur lahir, kepalanya boleh berubah bentuk apabila tulang-tulangnya saling berselisih. Ini akan membantu bayi anda melalui ruang yang sempit itu dan lahir ke dunia ini. Kepala ialah bahagian tubuh bayi yang paling besar, maka perkara ini merupakan kaedah semula jadi untuk membuatkannya kecil sedikit. Lama-kelamaan, tulang-tulang bayi akan bertemu dan bercantum, dan bahagian lembut ini akan tertutup.

Fontanel posterior atau ubun-ubun kecil agak sukar untuk dirasa dan ia biasanya tertutup menjelang usia bayi enam minggu, iaitu apabila tulang kepala bayi membesar.

Fontanel anterior atau ubun-ubun besar lebih jelas dan boleh dirasa dengan mudah sebagai sejalur kulit yang lembut di atas kepala bayi. Ia tidak akan tertutup dengan sempurna sehingga umur bayi melewati satu tahun, biasanya menjelang 18 bulan.

Selepas anda bersalin, pakar kanak-kanak akan melihat ubun-ubun bayi ketika membuat pemeriksaan ke atasnya. Biasanya, tidak ada masalah, tetapi jika ada masalah, beliau akan memaklumkannya kepada anda. Biasanya doktor akan memeriksa samada tulang-tulang kepala bayi membesar selari dengan tumbesaran keseluruhan badannya.

Perhatikanlah ubun-ubun bayi kerana ia boleh memberi petunjuk tentang tahap kesihatan bayi. Contohnya, ubun-ubun yang mendap mungkin menunjukkan bayi mengalami nyahhidrat, manakala ubun-ubun yang kembung boleh jadi simptom bagi meningitis.

No comments:

Post a Comment