“Susah betul nak bergerak buat kerja lain. Baby ni dari tadi asyik terjaga, dengar bunyi sikit terkejut sampai menangis pun ada.”
Walaupun kebanyakan masa bayi baru lahir hanya akan tidur, dia juga mudah terbangun akibat terkejut. Biasanya apabila terdengar bunyi kuat atau apabila kita alih tempat tidurnya, tangan bayi akan mula terkapai-kapai dan akhirnya terjaga dari tidur.
Bukan setakat bunyi yang kuat, kadang-kadang bunyi yang sedikit dan pergerakan yang perlahan pun boleh dirasai dan mengganggu tidur bayi. Nak tak nak, ibu pun kena jadi ‘ninja’ – jalan berjingkit-jingkit dan kena buat semua perkara senyap-senyap tanpa mengeluarkan bunyi!
Kenapa bayi mudah sangat terkejut? Ini beberapa perkara yang ibu bapa perlu tahu tentang refleks terkejut pada bayi.
1. BAYI AMAT SENSITIF DENGAN BUNYI DAN PERGERAKAN
Pada awal-awal hari kelahirannya, bayi masih dalam proses menyesuaikan diri dengan dunia barunya. Setiap bayi normal mempunyai refleks terkejut yang menyebabkan bayi mudah terbangun dan ia berpotensi menggangu kitaran tidur bayi.Antara situasi yang biasa menyebabkan bayi terjaga adalah bunyi kuat yang mengejut seperti pintu tertutup dengan kuat, perubahan cahaya secara tiba-tiba seperti membuka langsir atau lampu ketika tidur, sentuhan mengejut seperti bangun daripada duduk mendodoikan bayi, atau pergerakan yang beralih yang membuatkan bayi rasa tidak disokong contohnya mengalihkan tempat tidur bayi dari pangkuan ke katil.
Dan mungkin yang paling susah – bayi juga mudah mengesan ketiadaan ibu apabila anda cuba ‘lari’ setelah selesai menyusukannya!
2. PUNCA SERING BERLAKUNYA REFLEKS TERKEJUT PADA BAYI
Tahukah anda sebenarnya refleks terkejut ini sebenarnya dinamakan Refleks Moro. Ia terjadi kerana tindak balas bayi untuk melindungi diri daripada persekitarannya yang baru.Refleks Moro |
Refleks Moro juga membantu bayi untuk bertindak terhadap rangsangan yang tidak menyenangkan dan mencetus tindak balas berpaut pada sebarang objek atau orang yang dekat padanya sebagai cara untuk melindungi diri daripada terjatuh.
3. CARA MENENANGKAN & MEMBANTU BAYI TIDUR LEBIH LENA
Ada sesetengah bayi yang sekadar terkejut seketika tetapi tidurnya tidak terganggu. Ada yang cukup terkesan sehingga terbangun dan menangis. Hal ini terjadi kerana bayi yang baru lahir masih menyesuaikan dirinya dengan persekitaran luas berbanding ruang sempit di dalam rahim.Apabila bayi terkejut, tenangkan bayi dengan mendekatkan lengan dan kaki yang terkuak pada badannya serta dakap erat sehingga bayi rasa lebih tenang.
Teknik membedung bayi juga sering dipraktikkan kerana ia memberi keselesaan pada bayi baru lahir dengan meniru suasana ‘dipeluk’ seakan-akan di dalam rahim. Membedung juga membantu bayi mengehadkan pergerakan lengan dan kaki lalu mengelakkannya mudah terjaga. Ini akan membantunya mendapatkan tidur yang lebih nyenyak.
4. SAMPAI BILA BAYI AKAN MUDAH TERKEJUT?
Refleks Moro memang biasa terjadi pada bayi baru lahir kerana ototnya yang masih berkembang serta masih menyesuaikan diri dengan persekitaran baru.Menurut HealthLine, apabila bayi berusia 3 hingga 6 bulan, bayi akan mula mahir mengawal pergerakan mereka dengan lebih baik. Maka, refleks terkejut yang dialami akan semakin berkurang dan akhirnya menghilang. Pada usia ini, otot bayi semakin kuat dan bayi semakin biasa dengan persekitaran.
Namun, seperti juga orang dewasa, mereka mungkin akan tetap terkejut apabila mendengar bunyi yang kuat. Cuma mereka tidak lagi mendepakan tangan atau memperlihatkan gaya ‘terkuak’ semasa terkejut.
5. IA ADALAH NORMAL & PETANDA BAYI ANDA SIHAT
Refleks Moro tidak perlu dirisaukan oleh ibu bapa. Asalkan ibu bapa dapat mengenal pasti punca refleks ini dan tahu cara untuk menenangkan bayi, ia adalah memadai.Sebaliknya, jika bayi tidak menunjukkan refleks secara normal, ia merupakan tanda kepada masalah pergerakan normal bayi. Contohnya jika refleks mengejut hanya terjadi kepada sebelah badan, ia mungkin disebabkan oleh bahu atau saraf yang cedera. Jika kedua-dua belah badan tiada refleks, ia mungkin berkait dengan masalah perkembangan otak atau saraf tunjang.
Ujian lanjutan mungkin diperlukan untuk menguji otot dan saraf bayi dengan lebih terperinci.
PASTIKAN MEMBEDUNG BAYI DENGAN CARA YANG BETUL
Jika anda suka membedung bayi, pastikan anda tahu cara melakukannya dengan betul. Elakkan mengikat dengan terlalu kuat dan jangan bedungkan kakinya hingga ia tak dapat bergerak.Menurut pakar, apabila kaki dan pinggul bayi tidak bebas untuk bergerak, ia akan meningkatkan risiko bayi terkena hip dysplasia, iaitu gangguan pembentukan sendi pinggul di mana bahagian atas tulang peha tidak berada tepat di soketnya. Untuk jangka masa panjang, ia dapat menyebabkan masalah perkembangan pada persendian kaki dan pinggul bayi.
Apapun, ibu tak perlu risau jika bayi kerap terkejut kerana fasa ini hanya sementara. Dalam sedikit masa lagi, biasanya bayi akan lebih terbiasa dengan rutin tidur mereka dan dapat tidur dengan lebih lena.
BACA JUGA : Cara Tidur Bayi. Selamat Atau Tidak?
Sumber: Sirap Limau
No comments:
Post a Comment