Gugur Anak Kerana Kecewa - Bonda

Sunday 21 October 2018

Gugur Anak Kerana Kecewa


KUALA TERENGGANU: Seorang wanita membelanjakan RM600 bagi membeli 10 biji kapsul ubat gugur yang dijual menerusi Facebook demi menggugurkan kandungannya berusia 20 minggu selepas bekas tunangnya enggan bertanggungjawab dalam kejadian di Kuala Nerus.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi pada Jumaat lalu, suspek berusia 22 tahun menelan dua biji kapsul ubat gugur manakala lapan lagi dimasukkan ke dalam kemaluannya selain turut minum air berkarbonat.

Suspek dipercayai bertindak sedemikian selepas tertekan apabila bekas tunangnya tidak mahu bertanggungjawab dan pasangan itu dikatakan putus tunang pada Jun lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman, berkata suspek yang berseorangan di rumah sewanya mengalami sakit perut selepas satu jam mengambil ubat berkenaan.

Katanya, suspek melahirkan bayi lelaki yang cukup sifat seberat 304 gram dan sudah tidak bernyawa kira-kira jam 11 malam hari sama sebelum bertindak membersihkan bayi itu lalu membalutnya dengan tuala.

“Suspek kemudian mengambil keputusan ke klinik swasta berhampiran bersama mayat bayinya kira-kira jam 12 tengah hari untuk memaklumkan mengenai keguguran itu sebelum pekerja di klinik berkenaan memberikan nombor telefon individu untuk dihubungi bagi urusan pengebumian.

“Bagaimanapun, lelaki terbabit meminta suspek membuat laporan polis terlebih dahulu sekiranya mahu menyempurnakan urusan pengebumian menyebabkan suspek ke Balai Polis Gong Badak bagi melaporkan kejadian itu.

“Suspek turut membawa mayat bayinya yang diletakkan di dalam bakul motosikalnya,” katanya.

Suffian berkata, suspek yang berada dalam keadaan lemah dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.

Katanya, suspek kini dirawat di hospital dan kes disiasat mengikut Seksyen 315 Kanun Keseksaan kerana perbuatan dilakukan dengan niat hendak mengelakkan anak daripada dilahirkan hidup atau hendak menyebabkan ia mati selepas dilahirkan.

“Bagi kesalahan itu, suspek berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya.

Sumber : Berita Harian

No comments:

Post a Comment