Perancis Siasat Bayi Lahir Tangan Cacat - Bonda

Sunday 21 October 2018

Perancis Siasat Bayi Lahir Tangan Cacat

Agnes Buzyn 
PARIS: Kementerian Kesihatan Perancis hari ini mengumumkan satu siasatan baharu terhadap kelahiran beberapa bayi dengan kecacatan tangan di beberapa kawasan negara itu sejak beberapa tahun lalu, mengatakan alasan tiada punca ditemui ‘tidak boleh diterima.’

Menterinya, Agnes Buzyn berkata, beliau dan Menteri Alam Sekitar, Francois de Rugy memutuskan untuk meneliti lebih rapi punca yang menyebabkan 14 bayi lahir dengan tangan cacat atau tiada anggota itu sejak 2007, dua minggu selepas pihak berkuasa kesihatan berkata, mereka gagal mendapatkan penjelasan mengenainya.

Kes itu tertumpu di tiga kawasan pentadbiran Perancis iaitu Ain bersempadan Switzerland, mencatat tujuh kes antara 2009 dan 2014; Brittany di pantai barat, mencatat empat kes antara 2011 dan 2013 serta Loire-Atlantique, di selatan Brittany, mencatat tiga kes antara 2007 dan 2008.

Dalam satu laporan 4 Oktober lalu, agensi kesihatan awam Perancis berkata, ketika jumlah kes di kawasan Ain bukan di atas paras negara, jumlah kes di Brittany dan Loire-Atlantique dari segi statistik ‘agak melampau.’

Namun ia berkata, pihaknya tidak menemui ‘pendedahan semasa’ terhadap bahan kimia tertentu yang mungkin menjelaskan situasi itu.

Kurang 150 bayi lahir setiap tahun di Perancis dengan kecacatan anggota bahagian atas, berlaku sebahagian atau seluruh lengan, gagal terbentuk dengan lengkap ketika kehamilan.

Ketika punca kecacatan tidak diketahui, penyelidikan menunjukkan, pendedahan ibu terhadap bahan kimia tertentu atau ubatan ketika hamil boleh meningkatkan risiko.

Buzyn memberitahu saluran LCI, pakar alam sekitar akan menyertai pakar kesihatan dalam perbincangan mengenai kes itu untuk cuba menjelaskan fenomena berkenaan.

“Kita tidak boleh berpuas hati dengan mengatakan kita tidak menemui kes itu, ia tidak boleh diterima,” katanya.

Pada 1950-an dan 1960-an, ribuan bayi di seluruh dunia lahir dengan tangan cacat atau tanpa tangan dikaitkan dengan penggunaan ubat thalidomide, digunakan untuk merawat wanita hamil yang loya. Ia diharamkan pada 1960-an. -AFP

No comments:

Post a Comment