Sanggup Jejas Kesihatan Kerana Nak Cantik, Cerdik - Bonda

Tuesday, 23 October 2018

Sanggup Jejas Kesihatan Kerana Nak Cantik, Cerdik


KUALA LUMPUR: Produk makanan tambahan atau suplemen berkaitan kecantikan, kecerdikan dan didakwa mampu menambah sifat kelelakian adalah yang paling laris dan mendapat permintaan tinggi pengguna di negara ini.

PENGERUSI Majlis Penasihat Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA), Dr Suhazeli Abdullah.
Pengerusi Majlis Penasihat Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA), Dr Suhazeli Abdullah, berkata ramai tidak menyedari bahawa tidak semua produk suplemen yang diambil mereka mampu diserap oleh badan.

“Apa yang kita makan akan dikumuhkan selepas zat dicerna dan itulah fungsi buah pinggang.

Jika ambil suplemen yang tidak diperlukan badan, ia hanya menambah beban kepada sistem perkumuhan dan fungsi buah pinggang.

“Sebagai contoh, suplemen kalsium perlu dicampur bahan lain untuk aktif dan bahan itu jika diambil akan dikumuhkan serta mendatangkan beban kepada buah pinggang pengguna,” katanya.

Mengenai ubat hospital yang didakwa turut memberi kesan sampingan, Dr Suhazeli berkata, ubat dibekalkan hospital diluluskan melalui kajian berterusan dan mematuhi tiga perkara utama iaitu kualiti, keberkesanan dan keselamatan produk.

“Tidak dinafikan kesan itu ada, tetapi hanya bersifat minimum kerana kajian sentiasa dilakukan.

Contohnya, satu ubat darah tinggi yang dipasarkan lebih 20 tahun di Amerika Syarikat ditarik balik baru-baru ini selepas kajian menemui sesuatu yang negatif pada produk itu.

Jamin kesihatan pesakit

“Itulah maksudnya kajian berterusan untuk menjamin kesihatan pesakit meskipun ubat itu sudah lama dipasarkan. Hal sebegini tidak berlaku kepada kebanyakan produk suplemen,” katanya.

Pemeriksaan BH mendapati penjualan produk makanan tambahan atau suplemen antara yang memenuhi pelbagai platform dalam talian dengan penjual menggunakan pelbagai strategi, paling popular adalah testimoni individu yang didakwa mendapat manfaat produk terbabit.

Ada juga peniaga mendakwa produk jualan mereka lebih berkesan untuk pesakit, malah lebih baik daripada ubat dibekalkan oleh pihak hospital.


Namun testimoni oleh individu didakwa bekas pelanggan serta dakwaan produk yang dijual berkesan untuk kesihatan dan lebih baik daripada ubat moden, langsung tidak disahkan atau disertakan sokongan kajian saintifik dan perubatan.

No comments:

Post a Comment