Suplemen Undang Kesan Sampingan - Bonda

Tuesday 23 October 2018

Suplemen Undang Kesan Sampingan


JANGAN mudah terpengaruh dengan aliran terkini masyarakat untuk kekal sihat dengan mengambil makanan kesihatan tambahan atau suplemen kerana penggunaannya belum tentu menjamin kesejahteraan seperti didakwa.

Ini berikutan kesan pengambilannya bergantung kepada tahap kesihatan individu dan dikhuatiri pengambilan yang tidak sesuai mengundang kesan sampingan yang boleh memudaratkan kesihatan pengguna.

Kesannya bergantung kepada tahap kesihatan seseorang dan berbeza mengikut keupayaan sistem badan menerima bahan berkenaan yang didakwa meningkatkan kecergasan.

Bagi mengelak kejadian tidak diingini kesan pengambilan suplemen, Pengerusi Program Pemakanan dan Dietetik, Pusat Pengajian Sains Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kelantan, Prof Madya Dr Hamid Jan Jan Mohamed, menasihatkan pengguna berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Beliau berkata, rujukan awal penting bagi membolehkan doktor menilai tahap kesihatan mereka ketika itu mengenal pasti adalah mereka sesuai atau sebaliknya.

"Sebagai contoh, dalam keadaan wanita hamil kekurangan nutrien dan mengalami keperluan mendesak, suplemen vitamin dan mineral membantu mengekalkan kesihatan ibu dan bayi," katanya kepada BH.

Selain ibu hamil, Dr Hamid Jan berkata, individu yang disarankan mendapatkan nutrien termasuklah ibu yang menyusukan bayi, pesakit terlantar di hospital, kanak-kanak bermasalah tumbesaran dan warga emas kurang selera makan.

PENGERUSI Program Pemakanan dan Dietetik, Pusat Pengajian Sains Kesihatan USM Kelantan, Prof Madya Dr Hamid Jan Jan Mohamed. - Foto Mahzir Mat Isa
Beliau berkata, setiap pengguna mempunyai sebab munasabah mengambil suplemen, namun biasanya berkait rapat dengan kesihatan.

"Sebab lain dipercayai bertujuan mengekalkan kecantikan, melambatkan proses penuaan dan mengurangkan risiko serangan penyakit kronik," katanya.

Suplemen boleh dikategorikan kepada empat iaitu vitamin, mineral dan multivitamin; merawat penyakit tertentu, berasaskan herba serta berasaskan minyak ikan.

Dr Hamid Jan berkata, dalam pengguna mengejarkan impian berkenaan, harus diingatkan suplemen bukanlah pengganti diet seimbang.

"Individu yang mengambil supplemen mungkin merasakan mereka tidak mampu mencapai nutrien daripada diet normal atas sebab tertentu.

"Jika boleh, setiap individu perlu berusaha mendapatkan nutrien daripada sumber semula jadi iaitu melalui diet seimbang tanpa bergantung harap kepada makanan tambahan," katanya.

Pilihan diet lengkap kata Dr Hamid Jan, adalah daripada pilihan buah-buahan, sayuran, bijiran penuh, susu, ikan dan minyak. Pemilihan sajian sihat ini mencukupi untuk menampung keperluan nutrien harian.

Katanya lagi, diet seimbang mempunyai zat lengkap dan mempunyai komponen nutrien yang pastinya lebih menjamin kesihatan.

"Contohnya sayur-sayuran dan buah-buahan mempunyai vitamin, mineral, serat dan nutrien yang berupaya mencegah pelbagai penyakit.

"Manakala pil multivitamin hanya mempunyai vitamin dan mineral sahaja. Pengambilan serat yang tinggi secara saintifik terbukti mencegah penyakit kronik seperti kanser usus.

"Phytonutrient yang juga nutrien daripada sumber tumbuh-tumbuhan kaya bahan antioksidan juga membantu mencegah serangan penyakit kronik," katanya.

Info


  • Pengambilan suplemen tanpa menjalani pemeriksaan doktor dikhuatiri mengundang padah termasuk terdedah kepada risiko penyakit hati dan buah pinggang.
  • Tidak semua suplemen yang diambil boleh diterima badan kerana sebahagian daripadanya disingkirkan dan berlaku pembaziran memandangkan harganya yang mahal.
  • Tubuh menyingkirkan vitamin berlebihan (terutama vitamin larut air seperti vitamin B dan C) melalui air kencing.
  • Pengambilan disebabkan pengaruh strategi pemasaran dan testimoni pengguna mendorong mereka mengambilnya walaupun tidak perlu.
  • Faktor kesibukan tugas menyebabkan mereka beranggapan diet harian tidak lengkap dan tanpa menjalani pemeriksaan terus mengambil suplemen.

No comments:

Post a Comment