Penulisan ini ditulis Tuan Azwa Abdul Aziz di laman Facebook beliau dan pihak iluminasi mendapat kebenaran untuk mengulang siar penulisan ini untuk manfaat bersama. Penulisan ini telah disunting bagi memudahkan pembacaan. Di sini, Bondakids mengulang siar daripada Iluminasi bagi manfaat bersama.
Oleh kerana ramai yang meminta berkongsi bagaimana belajar di sini (Scotland) khususnya sekolah rendah, maka saya cuba menyiapkan serba sedikit coretan kembara anak perempuan kami, Aisya Qistina yang kini berumur 9 tahun.
Sekolah rendah di Malaysia
Aisya sempat bersekolah darjah 1 hampir 2 bulan sebelum kami bertolak ke UK dalam bulan 3. Saja nak bagi dia merasa dunia persekolahan di Malaysia dulu. Malah dia sendiri bersemangat nak masuk sekolah bila tengok orang lain membeli pakaian sekolah.
Alhamdullilah, hari pertama dia bersekolah tidak ada sebarang masalah. Malah sekolahnya antara yang mendapat liputan berita bagi pelajar tahun 1. Cuma apa yang agak menyedihkan ketika melihat dia bersekolah, adalah beg yang terlalu besar dari tubuhnya yang halus dan perlu ke tingkat 2.
Kemudian semasa waktu rehat, kesian juga sebab dia tidak pandai membeli makanan di kantin. Alhamdulillah sebelum sekolah dah bekalkan kuih. Sempat juga dia merasa persekitaran dan pembelajaran di Malaysia.
Sekolah di United Kingdom (Primary 2 - P2)
Sewaktu sampai di sini, dia sudah boleh bersekolah pada hari ke 3 kami di Aberdeen, Scotland. Aisya ini tidak tahu langsung berbicara dalam English. Hanya dua bahasa dia tahu. Bahasa loghat ganu yang memang dia bercakap dengan kawan-kawan dan bahasa Melayu baku jika ke rumah sepupu-sepupunya di Perak atau Kedah.
So ditanya sejauh mana dia nak ke sekolah . Dia sangat suka tapi risau dengan penguasaan bahasanya. Saya catatkan permerhatian saya dalam bentuk ‘point’ supaya mudah dihadam.
1. Sekolah di sini hanya ada satu guru kelas yang mengajar semua subjek. Hanya subjek-subjek yang spesifik seperti pendidikan jasmani sahaja yang dibantu orang lain.
2. Walaupun ada pakaian seragam, tetapi tidaklah terlalu ketat macam di Malaysia atau terlalu bebas macam di US. Aisya memakai tudung ke sekolah dan merupakan satu satunya murid di sekolahnya yang memakai tudung. Saja nak terap supaya dia bangga sebagai seorang Muslim dan guru-guru rakan-rakan tahu latar belakangnya.
3. Kelas Aisya boleh dikatakan sebagai kelas antarabangsa kerana pelbagai latarbelakang murid-murid. Scottish, Polish, Turkish, Ukrainian, Republic Czech dan banyak lagi. Muslim mungkin 2-4 orang dalam kelas tersebut. Sekolah Aisya bukan sekolah antarabangsa. Mungkin Aberdeen sebagai bandar minyak menjadi suasana sini bagi komuniti antarabangsa.
4. Bagi anak yang dari (Primary 1-4), ibu bapa wajib hantar dan ambil anak-anak. Tapi kalau ikut praktikal sampai darjah akhir (P7-darjah 6) pun mak ayah tunggu lagi. Cikgu hanya melepaskan anak-anak bila nampak muka penjaga.
5. Tiada pengawas yang ambil nama pelajar lewat. Pelajar lewat akan di isi dalam form dan yang akan dikenakan denda nanti bukanlah pelajar. (tapi mak ayah yang terima surat. Dah kenapa mak ayah hantar lewat).
Bercakap pasal denda, sekolah-sekolah di England berbeza sikit dengan Scotland. Kalau mak ayah tak hantar anak tanpa sebab yang kukuh boleh dikena denda berbentuk duit yang boleh dikatakan tinggi jugak nak bayar.
6. Guru dan kanak-kanak terlalu rapat.
Soalan maut daripada anak
Berbalik kepada kisah Aisya tadi, setelah seminggu dua sekolah ada satu pertanyaan yang bagaikan bom jangka untuk saya dan ibunya walaupun dia masih tidak boleh berbahasa Inggeris:
"Papa, kenapa budak kat sini, bila nampak sampah mereka ambil buang ke dalam bakul. Tak marah-marah dan cepat minta maaf. Sedangkan di sekolah Aisya dulu (merujuk di Malaysia), tak macam tu. Suka bergaduh, mengejek dan lain-lain, sedangkan kita orang Islam,".
Soalan ini sampai sekarang pun terkial-kial mencari punca. Bila diperhatikan betul-betul apa yang diajar di sekolah sini pada peringkat awal adalah apa yang dipanggil adab. Menghormati hak orang lain. Menjaga hubungan antara guru dengan murid, antara murid dengan murid lain.
Walaupun Aisya tidak tahu Bahasa Inggeris tiada kelas khas pun untuk dia. Sebaliknya hanya ada satu sesi khas kepada kanak-kanak yang bukan native speaker dan tidak fasih berbahasa Inggeris. Kelas ini pun tidak sampai sejam atau 2 jam sehari.
Teringat ketika mula-mula dia masuk betapa dia dijaga oleh seorang kanak-kanak Polish yang bagaikan seorang kakak. Ini yang diberitahu gurunya. ‘Bonding’ dicipta mungkin kerana dia juga bergelut dalam kemahiran komunikasi peringkat awal dan beliau faham situasi yang dialami Aisya.
Silibus
Kalau diperhatikan di sini aktiviti banyak bermain sambil belajar terutama peringkat awal sekolah. Apa yang diutamakan adalah kanak-kanak boleh menyatakan dan berkongsi kreativiti. Tapi bukan bermakna tiada silibus. Yang pasti semua anak Malaysia akan suka sekolah di sini kerana:
1. Tiada buku teks yang berat pun nak bawa. Hanya buku latihan. Itupun semua subjek gabung satu buku sahaja.
2. Kerja sekolah dalam seminggu hanya diperuntukkan antara 1 hingga 2 jam dan kebiasaanya kerja tersebut dalam pemantauan ibubapa.
3. TIADA KERJA RUMAH apabila menjelang cuti sekolah panjang kerana cuti diberikan untuk kanak-kanak berehat dan bercuti.
Pembelajaran
Jadi apa yang dia belajar? Anda pasti terkejut dengan apa yang anak anda belajar. Nampak je macam main. Antara komunikasi yang saya ingat.
1. Mereka berbicara soal ‘FAIRTRADE’. Bapanya pulak terpaksa google cari apa dia FairTrade. Pembelian hasil pertanian bagi membantu petani untuk mendapatkan tawaran yang lebih baik (banyak dari negara maju). Jadi, kalau pergi pasar, buah-buahan fairtrade yang dia mintak cari.
2. Berbicara pasal bantuan kemanusiaan. Bagaimana menolong negara yang susah. Kadang-kadang hasil kerja mereka di hantar di Negara Afrika/Asia Tengah yang kebuluran atau peperangan bagi membuatkan mereka ada nilai kemanusiaan.
3. Ada sekali bila ke sekolah, diberitahu papa ”You know Papa, when we breathe we use oxygen, and we release carbon dioxide. Oxygen made by plants. So we need them”. Terkejut saya bukan dengan kata-katanya. Tapi lebih kepada apa yang diaplikasinya. Cuma saya bertanya kembali , “Who creates plant” ? supaya setiap yang dipelajarinya akan dikaitkan dengan faktor penciptaan.
4. Boleh berbicara berkenaan sistem solar dengan terang jelas.
5. Boleh kenal tulang-tulang dalam sistem anatomi badan dalam terma perubatan yang terpaksa mak ayah sekali lagi kena google.
6. Bila bercerita pasal sejarah, boleh bercerita sejarah VIKING dengan baik. Hebatnya di sini mereka bukan belajar sejarah secara menghafal tetapi menghayati dengan disambung dalam subjek lain seperti kraf (buat kereta, topi, istana Viking dll)
7. Dalam subjek agama, mereka lebih tekankan menghormati agama lain termasuk Islam. Pernah dipanggil ibu bapa beragama Islam untuk menunjukkan cara-cara berwuduk di dalam kelas. Jangan risau jika ada aktiviti gereja (kadang-kadang perhimpunan sekolah di buat di situ), sebab kita boleh kecualikan anak kita dari aktiviti tersebut bila-bila masa sahaja.
8. Berbicara mengenai sukan olimpik dan atlet dari yang anda suka dari negara anda. Sudah pasti Aisya memilih datuk Lee Chong Wei. Ada juga Aisya tanya sebab dia sertai Kelab Bolasepak, bagai mana dengan bolasepak Malaysia. Hebat tak? Saya hanya biarkan anda sahaja menjawab. Hehe.
NOT BAD FOR 9 YEARS GIRLS .... Based on early asumption banyak bermain.
Sistem ganjaran
Sebab tiada peperiksaan, maka tiadalah penyampaian hadiah atau apa-apa yang berkaitan. Ganjaran kebanyakkan adalah berbentuk stiker. Yang menarik banyak ganjaran itu bukan dari sudut akademik tetapi dari sahsiah.
Dan satu lagi yang menarik setiap ganjaran yang dapat akan turut menyumbang pada kumpulan (rumah sukan) anda. Kalau tengok cerita Harry Porter Grryfindor vs Slytherin itu. Begitulah rupanya.
Kalau hari sukan sekolah tak perlu beria-ria, tapi aktiviti menarik. Hadiah sekali lagi sticker.
Yuran
1. Percuma. Jika nak mohon derma 2 pound (lebih kurang RM2 – jangan convert) pun ayat penuh manis dalam kata-kata.
2. Primari 1 hingga 3 makanan adalah percuma. Vegetarian pun ada, tapi Aisya lebih selesa bawa bekal
3. Kalu ada aktiviti nak mintak pakai baju tema tertentu pun ayat berhati-hati. Tak perlu beli baru, pakai apa yang ada. Kalu tak ada boleh pakai apa sahaja.
4. Segala-galanya percuma
Sekian perkongsian yang sedikit ini. Banyak lagi nak cerita tapi penat nak taip. Sebab itulah dalam diari secretnya, ada coretan macam gambar di bawah bila tau nak balik Malaysia.
Adakah pendidikan United Kingdom yang terbaik? Ya dan tidak. Cabarannya lebih kritikal bila anak-anak di sekolah menengah. Adakah pendidikan di UK membuat kanak-kanak suka sekolah dan cintakan ilmu? Sudah pastinya ya.
Sumber : https://iluminasi.com
No comments:
Post a Comment