Bagaimana Galakkan Anak-Anak Baca Al Quran - Bonda

Friday, 27 October 2017

Bagaimana Galakkan Anak-Anak Baca Al Quran

Membentuk anak-anak soleh dan solehah adalah impian setiap ibu bapa. Dalam pada itu, ibu bapa memikirkan setiap aspek untuk anak-anak.  Mengaji al quran merupakan salah satu aspek yang dititikberatkan dalam kehidupan muslim. 
Jom ikuti tips yang dikongsikan oleh Puan Lina Karim dalam menggalakkan anak-anak membaca al quran. 
​Dalam membantu anak kita untuk mudah mengingati apa-apa surah yang akan dihafalnya, cara saya tetap sama sama ada untuk surah pendek atau surah panjang.
Mulakan dengan membiasakan anak dengan mendengar surah tersebut yang dibaca oleh qari yang kita sendiri suka akan lagu bacaannya.
Jadikan bacaan qari tersebut sebagai teman tidur dan teman perjalanan anak kita. Insya-Allah, mudahlah untuk mereka menghafal sesuatu yang telah biasa didengar berulang kali. 
Kemudian, baru ajar membaca surah tersebut. Ajar hingga dia boleh membaca dengan lancar/tiada kesalahan. 
Kemudian, baru suruh anak menghafal. Selalunya anak saya dapat menghafal  sehari dua selepas dia dapat membaca mana-mana surah dengan lancar sama ada surah panjang atau pendek.
Untuk diri saya, qari yang menyentuh hati saya adalah Qari dari Kuwait, Shaykh Mishary Rashid Ghareeb Mohammed Rashid Al-Afasy.

Sebelum menidurkan anak, CD tersebut akan dipasang dengan perlahan di radio dan tekan mode ‘repeat’. Ia akan ‘mengaji’ untuk anak kita sehingga dia terlena dan diteruskan hingga esok pagi. Pastikan volume perlahan (kalau kuat anak tak boleh tidur pula). Kita boleh pilih sama ada untuk diulang satu surah sahaja atau diulang bacaan satu CD tersebut.
Untuk di dalam kereta, saya letakkan CD surah yang telah dihafalnya supaya dia tidak lupa apa yang dihafalnya sebelum ini. Ini memastikan hafalan yang lepas terus kekal. Jika bila-bila masa saya membawa anak berjalan, ayat yang terhafal terdahulu yang akan saya pasang untuk mereka sepanjang perjalanan. Siaran radio atau CD lain hanya akan saya buka jika saya berseorangan memandu.
Mencorak anak-anak dalam pendidikan, akhlak, sahsiah diri bermula dari rumah, dari kita sebagai ibu dan bapa. Ia bukan bermula di sekolah atau tadika.

Memang ada tadika mahal dan tadika sederhana bayarannya tetapi semuanya sama iaitu mengajar kanak-kanak dalam bilangan ramai dan dalam masa yang serentak! Sedangkan setiap kanak-kanak itu adalah berlainan. Tiada guru yang boleh menandingi seorang ibu yang mengajar anaknya satu persatu dengan sabar hinggalah anak tersebut faham.
Bagi saya, adalah salah untuk melihat wang semata-mata boleh membeli pendidikan dan menjamin anak tersebut menjadi seorang yang terdidik dan berjaya. Kita ambil kisah daripada Imam Shafie. Beliau dilahirkan dalam keluarga yang fakir di Palestin. Bapanya meninggal dunia ketika beliau berumur 2 tahun. Ibunya adalah seorang yang gigih dalam mendidik anaknya.

Tiada tadika murah, sederhana atau mahal bagi ibu Imam Shafie, Hanya kegigihan beliau untuk mendidik anaknya hingga anaknya dapat menghafaz quran pada umurnya 7 tahun. Kemudian Imam Shafie berguru dengan beberapa ulama terkenal hinggalah beliau menjadi orang yang dikenali dengan kebijaksanaan ilmunya sehingga Mufti Mekah mengizinkan beliau memberi fatwa ketika masih berusia 15 tahun!

Sumber: Puan Lina Karim

By Bonda, Bondakids

No comments:

Post a Comment